Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Perang kelas berterusan

Saya telah menulis bagaimana Amerika Syarikat negara ekonomi terunggul dan paling maju dalam dunia telah menjadi gaung kematian serangan Covid-19 paling wahid dalam dunia. 

Saya menunjukkan bagaimana sistem ekonomi kapitalis jenis Amerika telah gagal melawan pandemik korona. Saya juga menggambarkan bagaimana Malaysia pada tahap ini telah berjaya menangkis serangan korona. Walhal sistem ekonomi Malaysia juga berpaksikan sistem ekonomi kapitalis.

Ketika saya menulis pada Selasa 14 Julai 2020 – data Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menunjukkan angka pandemik seluruh dunia:

Seramai 12, 768,307 warga dunia sedang dirawat, seramai 215,539 baru dihinggapi dan seramai 566,654 warga dunia dari pelbagai negara telah mati akibat Covid-19. Di Amerika pada ketika ini data menunjukkan seramai 3,479,483 warga telah dihinggapi korona. 

Seramai 1,549,469 telah sembuh dirawat dan seramai 138,247 warga Amerika Syarikat telah mati akibat serangan virus korona. 

Sementara itu, di Malaysia pula data menunjukkan – jumlah keseluruhan kes 8725. Seramai 8520 orang telah sembuh dirawat. Ada 83 orang sedang dirawat dan jumlah kematian warga Malaysia hanya 122 orang. Amin.

Sebelum saya merungkai lebih dalam dan mengaitkan kematian dengan sistem ekonomi serta perang kelas ada satu lagi data yang wajib kita ketahui bersama.

Pada Khamis 9 Julai 2020 yang lalu badan badan bukan kerajaan (NGO) Oxfam telah mengeluarkan data terbaru mengenai Covid-19. Oxfam ialah sebuah organisasi bukan cari untung yang ditubuhkan pada tahun 1942 di Oxford England. Seramai 20 badan amal telah bergabung untuk melawan kemiskinan dan kelaparan. Nama asal ialah Oxford Committee for Famine Relief. Oxfam Antarabangsa ditubuhkan pada tahun 1995 - berpusat di Nairobi, Kenya.

Menurut laporan Oxfam hingga ke penghujung tahun ini kemungkinan setiap hari seramai 12,000 orang miskin kelaparan dalam dunia ini akan mati akibat dari serangan korona. Data menunjukkan pada bulan April yang lalu seramai 10,000 orang miskin telah mati setiap hari.

Virus kelaparan ini akan meningkat lebih dari 121 juta orang miskin ke tahap kebuluran. Angka kebuluran ini berkait rapat dengan sistem ekonomi kapitalis. Kilang ditutup – hilang kerja – hilang mata pencarian. Jadi papa kedana. Keadaan buruk ini diperburukan lagi dengan tergendala pengeluaran bahan makanan. Tanah pertanian tidak diusahakan kerana rantai ekonomi putus akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam sama yang sama bantuan amal jariah tidak kunjung tiba.

Serangan korona ini menjadi pukulan maut pada orang miskin yang sedang bertarung dengan pelbagai perang. Dalam masa yang sama orang paling miskin ini dibantai pula oleh bencana pemanasan cuaca.

Agih kemakmuran yang lucah

Dengan lucah kita melihat bagaimana agihan kemakmuraan dalam dunia kita tidak dikongsi. Yang miskin jadi papa kedana - yang kaya melambung kaya raya. Kelucahan ini menjadi-jadi hinggakan buruh tani tukang pengeluar makanan hidup tanpa dapat makan.

Dalam keadaan lucah sebegini kita menyaksikan bagaimana lapan buah syarikat minuman dan makanan terbesar dalam dunia telah membayar dividen lebih daripada 18 bilion dolar untuk pemilik saham mereka pada awal Januari 2022 ketika korona baru menyerang.

Syarikat ini ialah: Nestle, Pepsi, Coke, Kraft, Anheuser, Mondales, Danone, Diago, Archer dan Heineken. Syarikat ini memiliki harta kekayaan berjumlah lapan trilion dolar bersamaan 10 peratus daripada pendapatan dunia (GDP).

Ini adalah bukti bahawa apa yang berlaku hari ini adalah hasil dari sistem ekonomi yang dikenali sebagai sistem ekonomi kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalis kekayaan, makanan dan kemakmuran tidak dikongsi bersama. Dalam sistem ekonomi kapitalis juga akan wujud jurang kemiskinan dan kekayaan yang amat luas.

Aku - pemilik modal bekerja mencari keuntungan maksimum. Aku - tuan empunya kilang, aku - tuan pemilik syarikat akan bayar gaji paling minimum untuk buruh. Aku - pemodal jadi kaya. Kesenangan aku hanya untuk diri aku sendiri. Kamu yang miskin papa kedana adalah nasib dan rezeki kamu telah ditetapkan dalam Luh Mahfuz. Inilah hukum dan rukun kapitalisme.

Ketika tulisan ini digarap Oxfam telah mengenal pasti 10 buah negara yang akan kebuluran hasil daripada serangan korona. Negara tersebut adalah Yaman, Republik Congo, Afghanistan, Venezuela, Afrika Selatan, Ethiopia, Sudan, Selatan Sudan, Syria dan Haiti. Dari pemerhatian mata kasar, dapat dilihat bahawa kesemua negara ini bukan sahaja diserang korona tetapi sedang dalam kancah perang. Amin.

Saya ingin menyatakan bahawa saya berterima kasih kepada Covid-19 kerana telah membuka wacana perbincangan tentang sistem ekonomi, dasar ekonomi dan peranan daulah.

Bab ekonomi dan sistem ekonomi selama beberapa dekad kebelakangan ini telah dipinggirkan dalam memahami dan menganalisis apa yang berlaku hari ini. Jauh sekali untuk membuka wacana apakah ada sistem ekonomi yang lain selain dari sistem ekonomi kapitalisme.

Kolej, universiti dan tempat ilmu hanya menyebar dan mengulang kaji teori ekonomi dari mazhab Adam Smith atau Milton Friedman dan suku-sakatnya sahaja. Dalam banyak negara seperti Malaysia teori ekonomi lain dianggap ajaran sesat dan ditakrif sebagai musuh negara. Justeru teori ekonomi Karl Marx dan suku-sakatnya disekat seolah-olah tidak pernah wujud.

Padahal apa yang berlaku hari ini semuanya adalah hasil dan manifestasi dari sistem ekonomi kapitalis yang kita gunakan. Dari pandangan Marxis sistem ekonomi itulah yang menjadi asas dan punca segala pergerakan dunia kita. Manusia ialah sosok ekonomi. 

Perebutan manusia dan pergerakan manusia adalah untuk ekonomi. Merebut punca ekonomi ini melahirkan pertentangan antara kelas iaitu antara kelas yang memiliki harta dengan kelas yang tidak memiliki apa-apa. Pertempuran orang kaya dengan orang miskin. Inilah yang dipanggil perang kelas atau classwar. Khalas.

1% miliki lebih separuh kekayaan dunia

CNBC – stesen TV News Business Channel pada 14 November 2017 telah melaporkan data tentang bagaimana kurang daripada satu peratus warga dunia hari ini memiliki lebih daripada setengah daripada semua harta kekayaan dalam dunia kita. 

Kekayaan dan harta mereka meningkat 6 peratus untuk menjadi 280 trilion dolar semenjak tahun 2012. Lebih daripada setengah 16.7 trilion dolar harta kekayaan baru ini wujud di Amerika Syarikat.

Jutawan paling teramai dalam dunia kita ini - 15.3 juta orang – adalah warga di Amerika Syarikat. Ini diikuti oleh Jepun seramai 2.7 orang jutawan. Seramai 2.2 juta orang jutawan dari warga Britain. Ini diiringi oleh 1.9 juta orang jutawan dari warga China Merah.

Sepuluh sosok jutawan terkaya dalam dunia kita ini datang dari Amerika Syarikat. Awas! Kematian warga yang paling banyak dalam dunia kerana serangan korona adalah juga warga Amerika Syarikat.

Apakah data dan statistik yang saya paparkan ini tidak mengerakkan fikrah kita untuk bertanya, atau menyoal atau cuba mencari jawapan kenapa ini berlaku. Apakah selama ini kita telah menjadi bebal dan manai hingga kita gagal berfikir atau kita menjadi malas berfikir. 

Atau kita takut hendak berfikir. Mana tahu kalau bertanya-tanya dan mengkaji soal ekonomi ini akan tersasul dan terjumpa dengan teori ekonomi sosialis Karl Marx. Ini bahaya kerana Karl Marx tidak beragama.

Perbezaan antara ekonomi kapitalis dengan ekonomi sosialis cukup jelas. Kapitalis mengajukan keuntungan maksimum untuk kaum pemodal – tuan pemilik modal, manakala sistem ekonomi sosialis mengajukan ekonomi untuk kebajikan ramai. 

Kapitalisme bergerak maju untuk menguntungkan tuan pemilik saham. Individu kaya tuan pemilik saham. Manakala sosialisme pula bergerak untuk memajukan keuntungan pemilik saham. Tapi tuan pemilik saham sosialisme ialah orang ramai aka daulah aka kerajaan.

Justeru kekuatan sistem ekonomi sosialis ini dilihat menonjol dalam penentangan serangan pandemik korona. Contohnya di hadapan mata kita paling menonjol ketika ini ialah dalam sistem kesihatan awam.

Dalam sistem kapitalisme Amerika ada wujud sistem kesihatan awam. Kesihatan warga Amerika adalah bahan komoditi untuk dijual beli. Kesihatan adalah punca keuntungan. Banyak hospital terbaik dan klinik terulung di Amerika. Pusat kesihatan ini untuk mereka yang berkemampuan membayar khidmat kesihatan.

Justeru di Amerika dan di beberapa negara kapitalis hospital dan klinik memerlukan pesakit memiliki insurans untuk membayar. Tanpa insurans ertinya si pesakit tidak berduit justeru tidak akan diterima masuk hospital untuk mendapat rawatan walau dalam tenat.

Dalam sistem ekonomi kapitalis jika kamu sakit, kamu demam dan kamu mempunyai duit semua beres. Jika kamu tidak ada dana maka kamu wajib mati di tepi jalan. Dalam sistem ekonomi kapitalis yang diutamakan untung bukan kebajikan umat atau kesihatan rakyat.

Sakit ialah untung

Kesihatan ialah komoditi untuk diperniagakan. Sakit ialah untung. Lagi lama sakit lagi untung. Amin.

Ini agak berbeza dengan sistem perubatan awam yang digunakan di Malaysia. Kita ada konsep hospital kerajaan. Sistem - lembaga hospital kerajaan ini adalah peninggalan kuasa kolonial Inggeris. Ketika menjajah kuasa kolonial memerlukan buruh yang sihat maka hospital didirikan dan hospital kerajaan bukan berpaksikan keuntungan. Hospital kerajaan memberi khidmat kesihatan untuk menjaga kesihatan dan kebajikan orang ramai – semua anak bangsa dan agama.

Kita lihat ketika korona menyerang bagaimana hospital kerajaan bergerak dan bertugas. Hospital kerajaan menerima sesiapa sahaja yang sakit atau disyaki memiliki gejala Covid-19. Uji kaji tubuh badan pesakit dijalankan tanpa mengira sama ada si pesakit ada duit atau tidak. Semua anak bangsa dan pelbagai agama diberi khidmat kesihatan untuk kesejahteraan dan kebajikan bersama. Bukan hanya untuk keselamatan dan kesihatan mereka yang kaya dan yang berduit.

Lihat bagaimana kerajaan telah mengeluarkan dana membayar hotel untuk warga yang pulang dari luar negara. Mereka dikurantin di hotel atau dipusat yang disewa khas oleh kerajaan. Kos penginapan dan makan minum ditanggung oleh kerajaan. Apa yang telah dan sedang berlaku ini adalah ciri dan pola sistem kesihatan ekonomi sosialis.

Ini tidak berlaku di Amerika atau di negara yang menjual sistem insurans kesihatan. Khalas. Sistem kesihatan awan yang kita gunakan ini peninggalan kolonial Inggeris yang induknya masih ada di United Kingdom. Ia dikenali dengan nama NHS – National Health Service atau Khidmat Kesihatan Kebangsaan.

Biar saya surahkan di sini bagaimana kaum pemodal di United Kingdom –tauke insurans dan pelabur kesihatan mahu sistem hospital NHS ini dilupus atas alasan perbelanjaan mahal dalam bajet negara. 

Kaki lobi dan orang tengah kaum kapitalis ini telah bekerja kuat untuk menjadikan hospital di UK mengunakan sistem insurans kesihatan seperti di Amerika Syarikat. Kempen guna sistem - insurans kesihatan - ini menjadi tunggak kempen politik puak kanan dan kaum kerabatnya dari Parti Konservatif.

Bila korona menyerang maka terbukti sistem NHS lebih kukuh dan gigih. Perdana Menteri Boris Johnson pemuka dan jurucakap kaum pemodal merangkap tukang kempen sistem insurans kesihatan telah diserang korona. 

Data menunjukkan seramai 291,373 warga UK telah diserang dan seramai 44,968 telah mati. United Kingdom tidak seburuk Amerika Syarikat.

Justeru - pada ketika ini kempen dan lobi untuk memansuhkan dan mengubah suai sistem kesihatan awam NHS di United Kindom telah agak pudar dan lembik. Terima kasih korona.

Awas! Tanpa debat yang luas. Tanpa pencerahan yang melebar. Kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya menyelitkan sistem insurans kesihatan ini kepada sistem kesihatan awam kita. 

Mungkin fakta ini tidak diketahui ramai. Kaki lobi untuk syarikat insurans ini ialah YB Saudara Tony Pua setiausaha politik YB Saudara Lim Guan Eng bekas menteri kewangan. 

Sosok yang kena lobi dan bersetuju menerima pakai sistem insurans kesihatan ini ialah ialah YB Sudara Dr Zul yang ketika itu menteri kesihatan.

Bab ini akan saya huraikan dalam siri Merakam Sejarah. Sila tunggu.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.