Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Xenophobia - mencari jawapan

Saya mahu bertanya: Kenapa bekas Ketua Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) Christoph Mueller dari Munich dan Paul Stadler penasihat politik Najib dari syarikat Apco London dipanggil pekerja ekspatriat?

Saya juga ingin bertanya kenapa Sohel Rana, Israfial Hossein dan Shamin Miah dari Dacca dipanggil buruh asing?

Saya juga ingin tahu kenapa Budiono Gading, Jarut Kamajaya dan Jiharto Fanji dikenali sebagai buruh haram?

Soalan ini saya kemukakan sebagai salah satu manifestasi dari sikap xenophobia. Bukan hanya manifestasi xenophobia tapi ada lagi. Dalam kes Tanah Melayu aka Malaysia sikap tidak suka orang asing – benci orang asing ada bersangkutan dengan sejarah. Apabila kita rungkai sejarah Tanah Melayu maka kita akan sampai ke tahap persoalan nasional. Kajian sejarah ini akan memaparkan persoalan nasional yang saya takrifkan masih belum selesai-selesai.

Saya sering dan selalu menulis dan memperingatkan para pembaca tentang persoalan nasional yang belum selesai. Persoalan nasional yang belum selesai inilah induk permasalahan yang wujud di Tanah Melayu aka Malaysia. Politik dan salasilah politik serta latar politik kita hari ini ialah persoalan nasional yang belum selesai.

Kes terbaru yang sedang rancak dibincangkan pada ketika ini ialah kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan kelahiran Perikatan Nasional. Ramai tidak sedar. Ramai kurang arif untuk membaca realpolitik tentang runtuhnaya Pakatan Harapan. Tidak dapat tidak ia juga bersangkutan rapat dengan persoalan nasional yang belum selesai.

Manifestasi persoalan nasional yang belum selesai ini sedang menjana sikap benci terhadap pendatang. Pendatang dalam kes ini ialah pendatang lama aka Cina dan India. Kebencian terhadap pendatang lama ini diterjemahkan menjadi benci terhadap Demokratik Action Parti (DAP). Parti DAP dianggap Cina dan India. Cina dan India di Tanah Melayu ini adalah pendatang yang dibawa oleh Inggeris. Ini fakta sejarah. Khalas.

Kongres DAP pada 2017, gambar hiasan

Kebencian terhadap pendatang ini tenggelam ketika ekonomi rancak berkembang. Kebencian ini dibenamkan pada ketika ia tidak diperlukan. Bila diperlukan maka benci orang asing ini akan muncul merebak.

Kapal baru dari Rohingya

Apa hubungan persoalan nasional Tanah Melayu ini dengan sikap xenophobia terbaru? Apa sangkut pautnya dengan pendatang halal dan pendatang haram? Apa kaitan dengan kapal Rohingya?

Ketika saya menulis – Selasa 9 Jun 2020 - diberitakan sebuah lagi kapal Rohingya telah masuk menceroboh ke perairan Langkawi. Dilaporkan seramai 269 warga Rohingya penumpang kapal ini telah ditahan. Dalam kapal ini ditemui juga satu mayat.

Pencerobohan baru ini amat menarik. Kali ini kapal yang mereka tumpang telah dibocorkan. Enjin telah dipunah rosak sesampai sahaja mereka ke perairan Langkawi. Jelas terbukti pendatang Rohingya ini telah mengumpul pengalaman. Kapal terdahulu yang masuk menceroboh telah ditahan diberi makanan dan kemudian ditarik masuk kembali ke laut antarabangsa.

Bijak. Pendatang haram semakin bijak. Ini sama seperti taktik pendatang haram dari Nigeria. Media Inggeris di London selalu melaporkan berita kesampaian warga Nigeria dan warga Afrika. Sesampai sahaja di lapangan terbang di kota kota Eropah atau diperlabuhan Eropah mereka akan membakar dan memusnahkan pasport dan kad pengenalan mereka. Mereka terus meminta suaka. Tanpa pasport dan kad pengenalan mereka boleh mengakui bahawa mereka datang dari negara antah-berantah.

Taktik warga Nigeria dan warga Afrika ini telah merebak ke Rohingya.

Ops, jangan lupa sejarah. Wajib belajar dari pengalaman sejarah. Pada 26 April 711 soldadu Moroko telah berkapal masuk untuk menyerang Sepanyol. Mereka dipimpin oleh Panglima Tariq Ibni Ziyad. Legenda yang ditulis 400 tahun kemudian mensurahkan bagaimana sesampai di bumi Sepanyol Tariq telah membakar kapal yang membawa mereka.

Hakikatnya para soldadu tidak ada jalan pulang. Untuk selamat mereka wajib mara ke hadapan dan menakluk Sepanyol. Apakah si Rohingya ini juga bercadang untuk menakluk Tanah Melayu? Mustahil. Ini bukan niat warga Rohingya. Mereka sedang mencari pelindungan akibat dibantai dan diganyang oleh soldadu Myamar di kampung halaman mereka. Amin.

Ops, jangan lupa sejarah. Lihat bagaimana Raffles datang ke Temasik pada tahun 1819. Mengambil alih Temasik dijadikan Singapura. Kemudian membawa pendatang Cina masuk sehingga Lee Kuan Yew berani menganggap pulau Singapura hak mereka.

Tanjung Penaga

Awas! Inilah yang saya katakan persoalan nasional yang belum selesai. Pengalaman hilang pulau Singapura masih segar dalam ingatan Bani Melayu. Kini Bani Melayu sedang melihat Pulau Pinang sedang dalam keadaan yang sama kerana parti DAP mentadbir Tanjung. Justeru sikap benci DAP aka benci pendatang ini senang diapi-apikan.

Tanjung? Mana Tanjung? Jangan lupa sejarah, Tanjung Penaga ialah nama asal George Town. Pasti ramai yang tidak pernah mendengarnya, seperti tidak pernah mendengar nama asal Malaysia - Tanah Melayu.

Maka saya tidak hairan apabila Rais Yatim bekas menteri memberi pendapat dalam tweetnya pada 1 Mei 2020:

“Rohingya ini masa bilanganya kecil memang lunak perangai – pijak semut pun tak mati tapi bila jumlah mereka dah beratus ribu dibahamnya kita. Kaum lain yang datang ke mari zaman Inggeris 20-an gitu juga akhirnya. Kita sama-samalah belajar dari sejarah yang takat ini banyak menyebelahi oarag luar.”

Hanya mereka yang bebal sejarah, yang buta sejarah, tak mahu faham sejarah, tidak tahu asal usul mereka atau cuba dilihat demokratik - akan gagal memahami apa makna pandangan dari Rais Yatim ini. Atau buat buat tak faham kerana Rais Yatim berkicau dalam Bahasa Melayu – bahasa yang NGO jarang atau tidak pernah menggunakan. Untuk saya kicauan Rais Yatim ini ini adalah bukti bahawa sikap benci kepada pendatang terus wujud.

Terima kasih kepada Mat Kobid. Semua terjulur keluar. Sikap benci kepada pendatang muncul keluar – terbuka luas.

Sikap pentingkan diri

Maka persoalan timbul apakah sikap yang wajib kita ambil pada ketika ini. Pada masa dan ketika kita memerangi Covid-19. Pada ketika dunia sedang berkhalwat akibat dari virus korona.

Kita tidak perlu berlagak baik. Atau pun cuba dilihat penuh kemanusiaan. Apa yang jelas ialah kita wajib menyelamatkan diri kita dari mati akibat virus korona. Ini tujuan utama kita. Kita tak perlu bersandiwara atau menafikan akidah ini. Jangan berdolak-dalik. Sebagai matador kita wajib menangkap tanduk lembu dan patahkan leher lembu itu.

Mengikut pandangan Richard Dawkins - profesor untuk pemahaman orang ramai tentang sains (for Public Understanding of Science) dari Universiti Oxford, umat manusia, anak semua bangsa, kita semua ini memiliki selfish gene atau gene yang mementingkan keselamatan diri sendiri untuk tujuan menyambung zuriat.

Gene inilah yang menjadikan kita manusia. Gene ini wujud semenjak bertembongnya pelbagai kimia yang memberi nafas hidup kepada satu sel hingga berkembang menjadi manusia. Gene dan sel ini memberi perwatakan kepada kita sebagai umat manusia.

Sikap pentingkan diri dan keselamatan diri sendiri sedang memaksa kita. Justeru kita tidak boleh menafikan sesiapa sahaja yang berada di Malaysia pada ketika ini dari dipantau, dirawat dan diberi kemudahan kesihatan. Walaupun mereka warga Nigeria, warga Myamar atau pendatang haram atau halal. Semua wajib dilayan sama seperti warga Malaysia - dibantu dan dipantau. Diberi khidmat kesihatan.

Jangan lupa bagaimana kluster Tabligh di Jalan Klang Lama menjadi masalah besar. Ini kerana ada ahli tabligh ini pendatang haram. Apabila arahan untuk disaring sampai, ramai para Tabligh ini menghilangan diri. Mereka takut ditangkap imigresen.

Hakikatnya kita juga wajib mengumpul pengalaman untuk tidak mendikriminasi pendatang yang halal dan yang haram. Ini bukan kerana kita cinta kasih sayang pada Mat Bangla atau Neng Indonesia atau Mat Tabligh. Tidak. Kita lakukan ini untuk menjaga kepentingan diri kita sendiri dari dihinggapi oleh korona.

Virus korona tidak memilih pendatang haram atau halal. Maka kita wajib menyokong kerajaan Malaysia mengambil dasar sama seperti tabiat perangai korona – tidak ada diskriminasi.

Keselamatan mereka adalah keselamatan bersama

Jangan ada pendatang haram yang lari menyorok dari disaring. Keselamatan mereka adalah juga keselamatan kita bersama.

Semua ini belum menjawab pertanyaan awal ditentang kenapa Paul Stadler dipanggil sebagai pekerja eksptriat. Kenapa Sohel Rana ditakrif sebagai buruh asing dan kenapa Jiharto Fanji dari Semarang diburu sebagai buruh haram.

Dengan kita menggunakan konsep dan istilah ini maka tanpa disedari bahawa kita terjerumus ke dalam perangkap xenophobia. Istilah ekspatriat ini diwujudkan oleh kaum kapitalis dari Barat. Ini istilah kolonial. Dipaksakan ke atas anak tanah jajahan.

Kerana kulit Paul dan James ini putih. Maka mereka tidak pernah diburu untuk dimasukkan ke dalam kem tahanan Semenyih. Polis dan Imigresen tidak pernah menahan mereka kerana mereka duduk di Bangsar atau di Bukit Kiara Hartamas bukan berkumpul dalam satu flat 15 orang, hidup sempit berasak-asak di Selayang atau di Selangor Mansion.

Gambar Mat Salih beratur digari dari Penjara Jinjang ke Mahakamah Jalan Duta tidak pernah muncul dalam Metro, Berita Harian, Sinar atau Bacaria. Walaupun setiap malam dan malam hujung minggu mereka mabuk sakan di Changkat, Bukit Bintang. Malah ketika mabuk mereka menyumpah seranah terhadap polis, kerajaan dan budaya kita. Sayangnya polis kita tidak faham sumpahan itu.

Ramai Mat Salih yang dipanggil expats ini bekerja tanpa permit kerja. Paling celaka ialah mereka dibayar berpuluh kali ganda daripada Melayu-Bumiputera anak watan Tanah Melayu.

Tok Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau dan Dol Said telah wafat kalau tidak mereka akan angkat senjata sekali lagi. Mengamuk di Bangsar South.

Kenapa ini berlaku?

Pegawai PDRM dan imigresen telah dibelenggu oleh budaya kolonial. Polis kita amat berani minta permit kerja Mat Bangladesh atau Mat Indonesia. Tetapi mereka akan merasa gentar bila melihat kulit John dan Johnny yang putih. Ini hasil didikan budaya pascakolonial.

Dari sini kita melihat bahawa fahaman xenophobia ini berbeza-beza. Betul. Fahaman dan sikap benci terhadap orang asing, orang lain dan orang bukan orang kita bertingkah-tingah.

Sebenarnya benci orang asing - tidak suka orang asing ini ada hukum dan syarat. Ada asas, pola dan ciri. Serangan Mat Kobid ini menjulurkan semua keluar. Apa hukum dan asas kemunculan fahaman xenophobia? Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.