Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Perbilangan Adat Perpatih untuk Rais Yatim

Saya adalah salah seorang peminat Tan Sri Dr Rais Yatim. Minat saya terhadap idea dan gagasan beliau ialah kerana kecintaan beliau terhadap bahasa, dan budaya Melayu dengan berbumbukan Adat Perpatih. Sebagai seorang pengamal Adat Perpatih kerana akar keluarga sebelah ibu yang kuat bertunjang di Naning, saya amat terkejut membaca ciapan Dr Rais baru-baru ini.

Dalam satu ciapan Tan Sri Dr Rais, beliau mengujarkan; “Nampaknya Tun Mahathir masih kuat main politik menggasak Partinya sendiri. Beliau lebih kuat berpolitik hentam daripada membantu meredakan wabak Covic19 yg. meragut ratusan nyawa warga Malaysia. Tolong Tun cukuplah tu. Berdamailah. Amalkanlah petua murni yg Tun ajarkan kami dulu2.

Maaf Tan Sri Dr Rais, sebagai pengamal Adat Perpatih, saranan Tan Sri di atas adalah berat sebelah, tidak adil dan menyongsong arus Adat Perpatih di Negeri Sembilan yang “gemuk berpupuk segar bersiram”.

Saya berhak mengingatkan Tan Sri Dr bahawa menurut Tok Puteh Haji Ramly Shamsudin adat pada Adat Perpatih bermakna “adat merupakan hukum atau undang-undang yang menjadi panduan dan amalan serta pedoman hidup satu-satu masyarakat”. Secara mudahnya, ia adalah rule of law. Dalam hal ini Adat Perpatih adalah ‘peraturan hidup bermasyarakat sehari-hari’. Adat Perpatih juga, menurut Tok Puteh adalah “hukum yang terjelma dalam sistem sosial masyarakat di samping menjadi undang-undang dan perundangan”.

Kita pengamal Adat Perpatih tidak melanggar adat atau rule of law. Kita tidak mengubah adat dan membiarkan ia punah. Pada Adat Perpatih dinyatakan, “dianjak layu, dicabut mati”. Yakni kita sanggup melakukan yang benar, tidak menyebelahi keturunan demi menegakkan rule of law; iaitu ‘biar mati anak jangan mati adat’.

Apa yang Tan Sri Dr anjurkan dalam ciapan itu menyalahi adat atau undang-undang sedia ada di dalam organisasi politik Tan Sri sendiri. Sewajarnya Tan Sri melihat kepada yang benar, seperti dinyatakan dalam muafakat kita orang Adat Perpatih iaitu satu sistem demokrasi purba yang sebetulnya sangat terkehadapan. Dalam muafakat kita dinyatakan; “Penghulu beraja kemuafakat, muafakat beraja kepada yang benar; benar berdiri dengan sendirinya, nan dinamakan alur dan patut.

Apakah yang Tan Sri Dr lakukan?

Saya mesti mengingatkan Tan Sri Dr yang apa yang Tan Sri lakukan melanggar adat berkeadilan pada Adat Pepatih. Tan Sri Dr orang Negeri Sembilan, sungguh malu jika kita tidak tahu adat berkeadilan ini yang bunyinya;

“Kok mengukur biarlah sama panjang
Kok menimbang biarlah sama berat
Kok membahagi biarlah sama banyak
Tidak boleh dilebihkan untuk diri sendiri
Tidak boleh dikurangkan untuk orang lain.”

Tan Sri sepatutnya menghukum dengan rule of law dalam organisasi Tan Sri. Ingatlah jangan kita mengukur dengan pendek, dan menimbang berat sebelah selain membahagi melebih lampau. Masakan Tan Sri Dr tidak melihat apa yang terjadi? Jangan membutakan mata Tan Sri. Taburan GLC kata orang Kuala Klawang.

Arus keadilan

Memanglah dalam Adat Perpatih disebut-sebut kaedah mencari penyelesaian. Apakah kaedah mencari penyelesaian tersebut? Ia berbunyi:

Ibarat memalu ular di dalam benih
Benih tidak rosak tanah tidak lembang
Pemalu tidak patah namun ular mati jua
Bak ibarat menarik rambut dalam tepung
Rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Sayugia diingatkan kaedah di atas ada tafsiran lainnya yang perlu Tan Sri tekuni di sini, iaitu Tan Sri mesti menimbangkan pertama, akibat jika Tan Sri menentang arus keadilan. Apakah risikonya?

Kalau tak patah tiek
Kalau tak luka congek
Kalau tak pekong jingkek
Kalau tak ketulahan, tujuh lenggang
Hilang pusaka
Tujuh musim padi tak jadi.”

Ini kerana orang tua kita memesankan perihal ketidakadilan itu sangat mencederakan masyarakat kita. Ingatlah kita orang Adat Perpatih menjulang rule of law. Adat Perpatih memesankan kita begini:

Kena ke perut dikempiskan
Kena di mata dipejamkan
Tersauk ikan suka
Tersauk mangga bungkar masam muka.”

Janganlah masa tersauk ikan dulu Tan Sri Dr elok bersuka dengan beliau; akan tetapi di saat tersauk mangga masam, Tan Sri Dr lekas menarik muka. Kita orang Adat Perpatih tidak meninggalkan kawan di kala mereka tersepit.

Kita tidak boleh menurut dan menyokong pemimpin kleptokrat dan khianat. Adat Perpatih memesankan tentang adat pemimpin dengan tegas:

Batangnya tempat bersandar
Dahannya tempat bergantung
Buahnya untuk dimakan
Daunnya untuk berlindung
Bodoh Raja tergadai negeri
Bodoh Undang tergadai Luak
Bodoh Lembaga tergadai suku
Bodoh buapak tergadai anak buah.”

Apakah yang Tan Sri Dr lakukan?

Mengapakah Tan Sri Dr menulis ciapan sebegini? Tidakkah Tan Sri ingat satu ajaran Adat Perpatih berbunyi; “Jangan bawa resmi ayam jantan, kokok berderai-derai ekor, bergelumang tahi.”

Tan Sri, semua yang saya bawakan dari Adat Perpatih ini bukan diada-adakan kerana ia falsafah adat yang selalu disabdakan Yang Teramat Mulia Undang Luak Rembau dan merupakan terpakai ketika kerapatan Adat di Luak Rembau dan masih berlangsung sehingga kini.

Malulah kita dengan Tok Mat Hasan.

Sukacita diingatkan dalam era Melayu-Islam ini moleklah kita merujuk asas budaya kita. Melayu-Islam mengajarkan kita adil dan mematuhi asas rule of law.

‘Ceduklah di sumur yang jernih’

Bagaimana Tan Sri Dr menganjurkan penyelesaian akan meletakkan di mana kedudukan Tan Sri bila sudah tiada di dunia ini kelak. Adat Perpatih kita mengingatkan betapa “dalam mencari penyelesaian, biar kita alah beralah; ibarat orang menceduk air, ceduklah di sumur yang jernih”. Akan tetapi sangat menyampahkan Tan Sri tidak kembali merujuk rule of law dalam organisasi politik Tan Sri sendiri. Apa yang berlaku sekarang ialah seperti yang disebutkan dalam adat kita Adat Perpatih begini; “Kalau ditutup bendar di sawah, dikisar tanah batas; diubah batu sempadan, busungkan dada engkau; memperlihatkan engkau anak jantan.”

Saya tidak percaya Tan Sri Dr tidak pernah mendengar ini? Hal-hal anak jantan begini dalam Adat Perpatih sangat alarming sekali. Yang jelas ialah peraturan telah dilanggar yakni “diubah batu sempadan”. Ketidakadilan yang terjadi telah membolehkan kita orang Adat Perpatih untuk membusungkan dada dan tidak jadi orang betina. Sepatutnya itulah yang terjadi.

Siapa pun kita, kedudukan apa pun. Baik raja, bendahara, agamawan, menteri, penggawa, saudagar atau hamba buruh di jalanan. Kita jangan khianat. Orang khianat hidupnya tidak pernah senang. Tidurnya tidak pernah lena. Taubatnya putus di tengah kerana tidak dimaafkan. Matinya cela.

Apakah yang Tan Sri Dr telah lakukan? Kita jadi pengamal Adat Perpatih bukan baru semalam.

Saya ingin meninggalkan Tan Sri Dr Rais Yatim dengan satu perbilangan Adat Perpatih. Tan Sri mesti ingat ini betul-betul. Hidup mungkin boleh berlindung di sebalik pokok kundang tetapi bila mati nanti orang meludah. Perbilangan itu menentukan nama kita bila kita mati kelak. Kita semua terus tua dan menuju mati. Jadi jangan main-mainkan perbilangan ini. Kita orang beradat. Jangan menjadi seperti Rais yang lain, tiada adat tiada perbilangan menjadi panduan dalam hidupnya. Hidup mungkin boleh berlindung di sebalik pokok nona tetapi bila mati nanti orang meludah. Apa perbilangan itu?

Ia berbunyi:

Dalam mempertahankan hak dan kebenaran
Jangan setapak kau surut
Biar putus leher dipancung
Biar tanah bersimbah darah
Pertama engkau hilang
Kedua engkau akan terbilang.”

Tetapi Tan Sri, apakah yang Tan Sri Dr telah lakukan?


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.