Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KOLUM | Cari, gali dan faham

Tajrin Faruqi adalah seniman pelbagai displin yang harus diberi perhatian.

Karya-karyanya yang tidak konvensional membuatkan beliau kelihatan lebih menonjol berbanding rakan seniman lain yang seangkatan dengannya.

Pada masa karya seniman muda galak menjurus kepada karya popular, Tajrin mengorak langkah dengan mencipta suatu gaya yang tersendiri walaupun ia agak sukar digemarinya pada peringkat awal.

Beliau memilih untuk mempersembahkan karya yang memerlukan perhatian khusus apabila dipamerkan.

Hasil kerja Tajrin dibalut dengan seribu pertanyaan yang menjalani perbagai proses sebelum ianya disiapkan.

Semasa berkarya Tajrin memberi kredit kepada abangnya yang banyak memberi galakan selama ini.

Walaupun pada mulanya abang beliau - bahkan seluruh anggota keluarganya - menentang hasrat untuk menjadi seniman, setelah melihat kesungguhan yang dipamerkan, mereka akhirnya akur.

Mereka bersetuju dengan jalan yang dipilih Tajrin.

Pemilik ijazah sarjana muda undang-undang (perdagangan) itu pada mulanya kecewa apabila sijil yang beliau miliki tidak diiktiraf kerajaan.

Hal itu terjadi kerana universiti tempat beliau menimba ilmu didakwa melakukan penipuan dalam kesahihan akreditasi mereka. Namun hasil daripada kekecewaan tersebut membuatkan Tajrin bertekad untuk menumpukan sepenuh masa untuk berkarya.

Langkah pertama untuk menuju kepada cita-cita berkarya itu adalah dengan mempelajari seni cetakan saring (screen printing) daripada teman-teman sekolahnya semasa belajar di Maahad Hamidiah Kajang.

Namun setelah dipujuk oleh ibunya, beliau kembali semula ke rumah dan menjadikan bilik tidurnya sebagai studio.

Setahun setelah itu, Tajrin berjaya membuka sebuah studio yang lebih besar. Ia berlaku apabila hasil kerjanya mula mendapat perhatian ramai.

Hari ini Tajrin diperakui sebagai seniman daripada kelompok muda yang berjaya keluar dari kelaziman dalam berkarya.

Beliau lebih menumpukan kepada karya-karya yang konseptual. Seniman Rirkrit Tiravanija denga karya berjudul Pad Thai adalah pendorong kepada beliau menghasilkan karya-karya yang menjurus kepada "mencari, mengali dan memahami" sesuatu sebelum ianya dibentuk menjadi hasil karya.

Bertolak dari penelitian kepada karya seniman kontemporari Thailand itulah maka beliau muka membuka sebuah galeri virtual bersempena dengan zaman PKP ini.

Ia diberi nama Galeri Tenang sempena nama anak beliau yang berkongsi hidup bersama isterinya, Fiq Rashid.

Tajrin juga menjemput orang ramai untuk datang ke rumahnya (apabila selesai PKP) untuk sama-sama melihat dan memahami serta bertukar-tukar pandangan mengenai dunia seni catan.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis yang sejak bulan puasa dulu gemar menulis hal-hal berkaitan makanan. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.