Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Politikus kedaluwarsa

Lama kami tidak menulis di sini kerana selepas diteliti, kami mendapati tidak ada apa lagi yang perlu ditulis. Politik, misalnya, adalah sama. Partai mana sekalipun, selama mana masih belum memerintah adalah hero kepada rakyat, pembela marhaen yang akan duduk di sorga paling tinggi sejurus mati.

Di hati mereka - semasa mahu menang - hanya dipenuhi oleh keinginan untuk menjadikan negara ini lebih aman dan penduduknya nanti adalah manusia yang paling bertuah kerana diuruskan oleh insan kudus yang nyaris-nyaris nama mereka disebut dalam kita suci pilihan agama kamu.

Namun setelah memegang kerajaan, mereka sedikit demi sedikit berjalan untuk menjerumuskan diri ke dalam neraka.

Bukan kerana apa, tetapi kerana semua nilai perjuangan telah sampai kepada puncak paling tinggi. Dan seperti mana-mana pendaki, setelah berada di puncak mereka pun perlu segera turun.

Hari ini, semua partai yang berhasrat untuk menjadi kerajaan sudah pun merasai manisnya duduk di takhta paling atas politik negara.

Lalu kita telah lihat bagaimana mereka hanya akan terus-terusan kembali kepada tingkah laku yang serupa, yakni memenuhkan tembolok sendiri dan juga kaum keluarga. Selepas itu hanya sedikit diberikan kepada negara, itu pun jika mereka sudi.

Untuk apa sebenarnya kita bersusah payah menyokong apabila di hujung benak kita semua tahu bahawa semua politikus adalah tidak berguna.

Meter boleh terbakar, meletup

Kemudian kita lihat pula bagaimana penyakit sentiasa mengagung-agungkan bangsa sendiri melebihi bangsa lain tidak pernah berkurang. Kita berasa bahawa semua kita ini keluar melalui rahim emas dan sejurus dilahirkan, lalu dimandikan di dalam bejana perak sebelum dipakaikan dengan pakaian dari sutera terpilih dan dikalungkan segala jenis permata nilam.

Lalu kita pun dipersembahkan kepada umum sebagai suatu anugerah yang berhak ke atas segala yang berada di bawah langit dan di dalam bumi.

Semua harus dipersembahkan di dalam dulang emas.

Kerana itu juga maka kita adalah pemilik mutlak negara ini tanpa boleh dikongsi oleh siapa pun atau dari mana pun.

Menjadi rasis nampaknya adalah suatu sifat yang membanggakan hari ini. Kita gelarkan ini sebagai patriotisme. Jika ada meter yang digunakan untuk memgukur kecintaan kepada negara, bakal terbakar dan meletuplah meter itu oleh kerana besarnya kecintaan kita kepada negara bertuah ini.

Dalam kalut diserang wabak, politikus masih juga sibuk berebut kedudukan.

Apa yang tidak diketahui oleh semua politikus yang ada hari ini ialah, mereka semua sudah melepasi tarikh luput. Atau bahasa lainnya, kedaluwarsa.

Kehadiran mereka tidak lagi diperlukan. Semua orang sudah bosan dengan mereka, baik dari kumpulan pemerintah ataupun dari gerombolan pembangkang.

Orang yang mencintai mereka hanyalah puak yang beroleh keuntungan daripada kejayaan politikus terbabit. Dan puak ini selamanya akan menjadi macai.

Dalam suasana yang berpenyakit seperti sekarang ini pun masih terdapat kumpulan manusia yang saling membenci, lalu kita seperti tidak lagi mempunyai harapan untuk menjadi manusia optimistik kerana semuanya bergerak menuju kegagalan.

Seluruh dunia bercakap mengenai normal yang baru, sedang kita kembali kepada keadaan yang seperti dulu. Kita bergerak untuk kembali menjadi tidak normal.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang banyak belajar tentang erti rindu dan sunyi serta berasa tersakiti semasa berada di tanah seberang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.