Merakam sejarah – xenophobia oh Rohingya
Ketika saya menulis kolum ini, Isnin, 4 Mei, PKP telah menjadi PKPB. Perintah kawalan pergerakan bertukar menjadi perintah kawalan pergerakan bersyarat. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan kelonggaran PKP pada Jumaat Hari Buruh yang lalu. Kini telah ada kelonggaran perintah berkurung tapi dengan bersyarat.
Apa syarat yang dimaktub dalam PKPB saya kurang arif. Untuk pengetahuan terperinci sila rujuk dengan Majlis Keselamatan Negara. Apa yang saya tahu dan sedang saya amalkan ialah saya akan terus menjauhkan diri dari orang ramai. Ertinya saya masih berkhalwat. Amin.
Sayugia saya beritahu di sini bukan saya seorang sahaja yang terus ingin terus berkhalwat. Anak semua bangsa - dan bangsa semua agama - dari pelbagai negeri ingin terus berkhalwat. Ini dibuktikan dengan keengganan tujuh menteri besar dan ketua menteri untuk akur dengan arahan PKPB Muhyiddin Yassin.
Tujuh negeri ini bermakna lebih dari 60 peratus warga negara kita ini enggan patuh dengan PKPB. Orang ramai merasa was-was tentang arahan ini. Saya faham kenapa ini berlaku.
Pada awalnya polis, askar, tangkapan dan mahkamah telah digunakan untuk memaksa warga duduk di rumah. Menteri dan YB termasuk anak menantu bekas menteri telah dikutuk dan dimaki hamun oleh orang ramai kerana ingkar arahan PKP. Hasilnya orang ramai telah akur menerima arahan awal ini untuk keselamatan diri. Orang ramai sedar akan bahaya korona. Tatacara dan peraturan PKP masuk akal.
Tetiba PKPB sampai. Semua menjadi longgar. Tetapi ketakutan masih ada. Bukan takut pada polis. Hakikatnya lebih 60 peratus anak semua bangsa masih merasa gentar dan takut dengan korona. Justeru tujuh buah negeri enggan patuh dan tidak yakin dengan arahan PM.
Dalam politik apa maknanya ini?
Maaf tulisan saya minggu ini bukan cuba merungkai dan menganalisis sokongan orang ramai terhadap kerajaan Perikatan Nasional. Ini memerlukan tulisan yang lain. Mukadimah saya di atas hanya bertujuan untuk merakam sejarah tentang peralihan PKP kepada PKPB.
Hanya manifestasi
Tulisan kali ini bertujuan membuka perbincangan dan pencerahan tentang Rohingya. Maaf. Jangan salah tafsir. Bukan tentang Rohingya. Rohingya dalam analisis saya hanyalah manifestasi. Ada satu yang lebih besar yang perlu dicerahkan. Ada bas di belakang Kancil. Ada inti daging dalam dalam kuih pau. Ada yang tersorok dan terbenam yang perlu dicungkil dan dikupas.
Pekara ini ialah xenophobia. Ejaan perkataan ini membuktikan bahawa ia bukan berasal usul dari Tanah Melayu. Bunyinya “zenopobia”. Perkataan ini berasal dari bahasa Greek. Xeno bermakna orang asing. Phobia bermakna benci takut. Xenophobia benci dan takut pada orang asing.
Justeru xenophobia ini adalah sikap. Sikap benci pada orang asing. Tak suka orang asing. Tak minat orang asing. Asing ini maknanya bukan dari kelompok bangsa dan budaya yang sama. Yang asing dan yang lain – the other. Bukan orang kita.
Dari mana munculnya sikap ini? Sikap dan tingkah lalu dan adab tutur kata bukan wujud dengan sendirinya. Sikap adalah sebahagian dari pandangan dunia seseorang. Pandangan dunia ini tidak wujud dalam ruang kosong. Ada sebab. Ada musabab. Ada penyebab.
Sikap xenophobia ini dimiliki oleh anak pelbagai bangsa dari pelbagai negara. Ia bukan hak monopoli satu bangsa, satu kaum atau satu negara. Di mana-mana pun dalam dunia ini sikap xenophobia wujud. Melayu ada sikap xenophobia. Cina ada sikap xenophoba. India pun ada. Umat manusia dalam dunia ini ada memiliki sikap ini. Sikap ini terpendam gelap. Xenophobia akan muncul bila suhu dan suasana tepat. Seperti virus korona yang akan menyerang apabila suhu iklim tepat dan betul muncul.
Stesen TV Al-Jazeera pada 17 September 2017 telah melaporkan bagaimana warga Afrika Selatan telah membelasah orang asing dari Nigeria. Dilaporkan seramai 12 orang warga Nigeria telah dibunuh mati. Ini orang kulit hitam bunuh orang kulit hitam. Apa yang berlaku tidak ada kaitan dengan rasisme kulit putih.
Di Amerika suasana dan iklim xenophobia sedang subur. Sikap ini memang telah lama terpendam. Ia menjadi subur kerana suasana basah dari percikan air liur penghuni Rumah Putih yang bernama Trump. Di Amerika sikap benci dengan orang asing ie pendatang semakin menjadi jadi.
Kempen nyahkan pendatang haram
Kempen Trump mahu mendirikan tembok untuk menghalang kemasukan pendatang haram dari Latin Amerika amat popular di kalangan kelas buruh di Amerika. Kempen Trump mahu nyahkan semua pendatang haram kini satu slogan politik yang berjaya.
Di Amerika ada banyak jalur kanan – pandangan dunia kanan. Kita sering mendengar Ku Klux Klan (KKK) yang diwujudkan pada tahun 1865. Kumpulan ini lahir dari suasana era pasca Perang Saudara Amerika (1861-1865). Pembebaskana hamba abdi menjadi pemangkin kelahiran KKK. Kumpulan ini menentang pembebasan hamba abdi. Hingga ke hari ini agenda Perang Saudara ini masih belum selesai pada tafsiran beberapa kumpulan kanan.
Pada 5 April 2020 yang baru lalu, mengikut laporan akhbar The Guardian, London, satu kumpulan yang memanggil diri mereka The Boog telah keluar berdemo dengan membawa senjata. Mereka tidak mahu berkurung menentang Covid-19. Pada 1 Mei yang lalu di Michigan jaringan kumpulan yang sama telah keluar bedemo di Dewan Undangan menuntut ahli majlis memansuhkan arahan PKB.
The Boog sedang bersiap sedia dengan senjata untuk memerangi orang luar. Menghalau pendatang haram. Jika mereka degil M16 mereka akan mempercikkan air talkin.
Babak politik Brexit di Britain juga adalah manifestasi dari pandangan dunia yang sama – menolak pendatang asing. Penyokong Brexit berpendapat apabila UK keluar dari Kesatuan Eropah bermakna pendatang asing dari negara Eropah yang lain tidak boleh sawenang-wenang meloroh masuk mencari kerja di United Kingdom.
Apa sangkut paut semua ini dengan Rohingya?
Biar saya ingatkan kepada kumpulan Melayu yang mudah lupa bahawa Rohingya ini pernah menjadi raison d’etre antara parti Islam PAS dengan United Malays National Organistion. Atau untuk lebih senang difaham, lebih afdal lagi sahih jika saya nyatakan bahawa Rohingya ini adalah satu apps mencari pasangan. Si Rohingya ini adalah Tinder, Grindr atau Omi Chat untuk mempertemukan parti Islam PAS dan United Malays National Organistion.
Jangan lupa sebelum ini parti Islam dan United Malaya National Organisation bermusuhan. Kafir mengkafir. Melalui apps Rohingya dua musuh lama ini berkenalan. Parti Ketuanan Melayu dan parti Islam Arab ini bersegama dalam Muafakat Nasional. Siapa tok kadinya? Ingat atau tidak?
‘Bersanding di pelamin’
Agensi Bernama telah melaporkan pada 4 Disember 2016 Najib dan Hadi telah duduk bersanding di pelamin bersolidariti dengan Rohingya. Sah dan sahih dua parti ini berjaya bersenggama melalui apps Rohingya. Dan Tok Kadi pun Rohingya.
Rohingya oh Rohingya – solidariti Islam. Apps Rohingya telah mempertemukan parti ketuanan Melayu dengan parti ketuanan Arab.
Sayugia dingatkan bahawa pada satu ketika dulu parti ketuanan Melayu ini dianggap kafir oleh parti ketuanan Arab kerana berkongsi makan gulai kawah yang ada termasuk seketul daging babi. Daging babi ini mengikut pandangan parti ketuanan Arab ialah Malaysian Chinese Association yang berada dalam kawah Barisan Nasional. Amin.
Jeng, jeng, jeng - seperti perangai semua pengantin baru lepas kahwin terus ke ranjang. Pengantin lupa tok kadi. Apps terus dibuang dan dilupakan. Siapa yang belum kahwin pasti tak arif nikmat di ranjang. Parti ketuanan Arab masuk ke ranjang Perikatan Nasional. Baik punya, dapat lagi kerusi menteri.
Sedang enak bersegama dengan kerusi menteri tetiba tok kadi muncul kembali. Kali ini dalam sebuah kapal dengan ratusan orang pelarian. Orang pelarian Rohingya ini cuba mendarat di Langkawi untuk mencari perlindungan. Mereka diberi pertolongan. Diberikan makanan. Kemudian perahu Rohingya ini ditarik masuk ke perairan antarabangsa.
Jeng, jeng, jeng. Tok kadi Rohingya sudah dilupakan. Solidari Rohingya tercampak ke dinding. Tuan Haji Hadi Awang hilang kuah. Ops silap, hilang ukhwah Islam. Orang pelarian Rohingya tidak dibenarkan mendarat.
Heboh, heboh, heboh. Semua nak bercakap tentang Rohingya. Tetiba Rohingya dilihat cool. NGO yang mendapat dana dari luar negara pun mula berkokok. Kokok NGO memeriahkan lagi suasana. Ini ditambah pula dengan Ajinomoto dari parti lawan yang memperlekeh ulama yang bernama Tuan Haji Hadi Awang. Kah, kah, kah.
Maka Hadi Awang menjadi kelam kabut. Mencari ayat untuk bersilat lidah agar terus dilihat sebagai contoh alim ulama yang berilmu.
“Kita perlu membuat perhitungan secara bijak, kerana dalam kalangan Rohingya ada yang benar-benar berjuang, maka wajib disokong perjuangan mereka untuk menuntut hak kemanusiaan, kerakyatan dan beragama,” tegasnya.
Kata-kata Haji Hadi
Menurut Abdul Hadi, ada juga kumpulan yang tidak peduli dengan apa yang berlaku, hanya sekadar mahu menyelamatkan diri sahaja.
“Bahkan ada juga yang mencari kesempatan sehingga menimbulkan masalah sosial dan keselamatan kepada negara penerima.”
Kata-kata Haji Hadi ini saya pungut dari portal Suara Sarawak keluaran 27 April 2020 yang lalu.
Apa tujuan saya memaparkan semua ini?
Tujuan saya ialah untuk membuktikan bahawa rasa xenophobia itu wujud dalam sanubari umat manusia. Sama ada kamu alim, kamu ulama, kamu Islam, kamu Hindu, kamu Kristian atau apa sahaja – sikap xenophobia ini wujud.
Masa dan ketika akan menentukan.
Dalam perang, dalam pertempuran, tiga pekara akan lahir. Pertama kepimpinan. Kedua kemanusiaan. Ketika kebinatangan.
Pada ketika ini kita semua sedang bertempur dengan virus korona. Virus ini sedang menduga kita sesama kita. Virus ini boleh menyerlahkan kemanusiaan kita seperti yang dilakukan oleh barisan hadapan – para jururawat, para doktor, pihak hospital, PDRM, askar di jalan raya termasuk kumpulan NGO dan individu yang menyumbang dana dan makanan. Krisis Covid-19 menduga kemanusiaan kita.
Serangan korona ini akan juga berupaya mengoyakkan, meruntuhkan dan membogelkan segala topeng yang kita pakai selama ini. Topeng agama, topeng status, topeng menteri, topeng kedudukan akan koyak terbarai hasil serangan Covid-19.
Heboh-heboh Rohingya ini jelas hanya manifestasi. Apakah Tuan Haji Hadi Awang ini bersikap xenophobia? Kenapa xenophobia muncul. Dari mana sikap ini datang? Manifestasi ini apa induknya? Untuk pencerahan lanjut tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai