Tuhan tak akan bertanya tentang Rohingya?
[Nota: Tulisan ini berbentuk satira hendaklah difahami secara keseluruhan.]
SATIRA | Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana semalam kita sudah menderma beberapa ringgit cukup untuk membeli seketul roti gebu buat anak-anak gadis pelarian Syria yang putih melepak. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana jarak Palestina adalah di belakang laman rumah kita, sedang Arakan jauhnya di bintang Kejora. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka pengumpul besi buruk, dan wajah mereka akan membuat nasi sedang terjerang di dapur menjadi basi. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana miskin melarat dan cengkung pipi tidak membayangkan bidadari di sorgaloka.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kita hanya memerlukan Rohingya untuk satu drama politik. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kita hanya memerlukan Rohingya untuk mengejek dua tiga orang Cina ahli politik. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kita hanya memerlukan Rohingya supaya sedutan video di Insta kita sedang memikul beras cap Rambutan terlihat demikian berpahala padahal ganjaran dan azab hanya rahsia Tuhan. Tentu, Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana hak asasi manusia hanyalah untuk Melayu yang merupakan tuan buat selama-lamanya di muka bumi ini. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana di mahsyar kelak kita boleh memberitahu Tuhan bahawa Selayang bukan Cox Bazar, dan mereka boleh pergi mati.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana yang jahat adalah militari Burma membunuh dan menyeksa mereka, sedangkan kita hanya membunuh seorang dua mereka dengan membiarkan mereka terjemur di terik mentari dan lemas di luas lautan Hindia Selatan. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kekejaman kita dengan kekejaman junta tentera Burma sedikit berbeza. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana wanita mereka legam hitam dan layak diperkosa sedangkan wanita kita berkulit kayu manis dan anggun dalam jilbabnya. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kadang kala politikus kita akan bersuara tentang mereka sebagai umpan politik hangit Islam Melayu tiktok. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita ada Kak Long yang ke sini ke sana menjawab di sekatan jalan betapa sembilan dari sepuluh Muslim di negara ini murtad.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kisah umat Islam berhijrah ke Habsyah diterima Raja Najasyi itu tidak terdapat dalam teks Pendidikan Islam Tahun Enam. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Covid-19. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ia bukan Rukun Negara.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita bangsa Johor. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana bulan memerintah Kelantan dan ia serambi Mekah. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Rohingya bukan pun Melayu yatim piatu tiada beraja. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Papagomo ada bersabda jangan alpa dengan kebanjiran warga China. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ini salah Aung San Suu Kyi.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita tidak punya pilihan melainkan membiarkan mereka mati di lautan. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana rumah kita telah penuh. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ia salah sindiket bukan salah Perikatan Nasional. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana yang berhak selamat dari pandemik hanyalah bangsa Malaysia, kalau lain dari itu sila mampus. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka banyak merungut. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ada setitik meragut, merosak Rohingya sebelanga. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Rohingya bukan bumiputera. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana di mahsyar Tuhan akan bertanyakan nombor pasport dan kewarganegaraan.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka tidak menjaga penjarakan sosial. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ia salah ejen Dallal. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ini semua salah Guan Eng. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana apa yang abah lakukan bersama-sama Kitol itu patuh syariah. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita baik dan sudah menyimpan Zakir. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana akidah mereka mungkin terpesong dari Ahlus Sunnah wal Jamaah. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka makhluk asing. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka tidak tahu mengalunkan Yahanana.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka tiada kebenaran bekerja. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka meminta perlindungan insuran ketika bekerja sedangkan hanya Melayu yang layak punyai keistimewaan itu. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka menuntut dikurangi kos rawatan di klinik kepunyaan kita, padahal klinik kita yang punya. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka sering ditangkap ketika bekerja. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ia bukan urusan kartel.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana sesekali boleh diugut dan dikopek duit kopi seratus dua. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka mengkelepet bantuan. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka mengkelepet daging korban. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka suka menyemak mengemis zakat.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka selalu kehabisan makanan. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka kutu rayau. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana mereka selalu beranak. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana rahsia Sungai Naf telah membenam segala penderitaan mereka. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ia kerja OIC sedang OIC sudah lama digergaji Saudi. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Kesatuan Eropah sudah menyumbang 30 juta Euro dan jika Eropah kafir sayang sangat Rohingya mereka boleh ambil terus. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kata Najib sudah berdalih Saya tak hipokrit isu Rohingya. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana itu kerja mufti. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana cukuplah Perlis pernah membina lima masjid dan menggali telaga di Cox Bazar.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana pembersihan etnik tidak penting di negara ini, yang penting adalah menghalang Cina memerintah. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana apa itu eh xenofobia. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana ada petisyen Katakan Tidak Kepada Rohingya.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita berpuasa. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana puasa itu hanya menahan lapar dan berhenti makan dan minum di siang hari. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Caprice sudah memohon maaf kepada Adham Baba. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Vivy Yusof sudah memohon maaf serta tak berniat memperkecilkan golongan B40. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Razman Zakaria sudah memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana Tony Fernandes baca buku tentang akhlak Nabi jadi itu soalnya. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana air suam bisa menghapuskan Covid-19.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kami hanya suka berbahasa Arab seraya membayangkan bidadari berkemban dan terlupa ayat suci al-Quran di surah an-Nisa’ 97 bahawa “Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, [kepada mereka] malaikat bertanya: ‘Dalam keadaan bagaimana kamu ini?’. Mereka menjawab: ‘Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri [Mekah]’. Para malaikat berkata: ‘Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?’. Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali.”
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana jersi Liverpool penuh tergantung di rak lebai. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana di hadapan Tuhan kelak kita boleh sahaja berhujah bahawa kita memang tidak ambil peduli.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita sudah cukup bersembahyang. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita sudah genap berpuasa penuh kecuali uzur. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana duit sudah melimpah di Tabung Haji tetapi masih belum tersenarai untuk naik haji. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kenapa pula Tuhan ingin bertanya tentang Rohingya?
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kita yakin di akhirat kelak Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kemungkinan Rohingya yang bertanya kepada Tuhan tentang kita. Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kemungkinan Rohingya tidak bertanya kepada Tuhan tentang kita maka kita selamat di hadapan Tuhan.
Tuhan tidak akan bertanya tentang Rohingya. Kerana kami seumur hidup tidak pernah mendengar tentang Imam Mahdi dan ayat suci al-Quran di surah al-Qashash 5 bahawa:
“Kami menginginkan untuk menganugerahkan kepada mereka yang tertindas, dan akan Kami jadikan para pemimpin dan pewaris dunia.”
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai