Rohingya: Geopolitik kuasa besar
Saya terpanggil dengan lawak jenaka oleh ahli politik dan pelbagai pihak yang cuba meneguk di air yang keruh, cuba mempolitikkan isu Rohingya atas kepentingan masing-masing, maka akhirnya keliru, rancu dan bercelarulah pemikiran masyarakat di Malaysia.
Ramai yang cuba menjadi juara, memburukkan pihak yang lain dan mempertikai kebaikan yang dibuat ke atas Rohingya. Tidak kurang juga yang marahkan etnik Rohingya yang dilihat semakin membarah, besar kepala dan ‘naik tocang’ di Malaysia.
Saya diminta oleh pelbagai pihak untuk menulis tentang isu ini agar dapat memberikan serba sedikit pencerahan kepada apa yang sedang berlegar dalam isu Rohingya ini.
Maka pandangan yang saya berikan ini adalah pandangan dari sudut strategik, geopolitik dan keselamatan. Mungkin ada yang tidak menyetujui, akan tetapi cubalah berfikir di luar kotak dan ruang lingkup peribadi agar isu ini lebih mudah dihadam.
Apa yang sebenarnya perlu difahami oleh masyarakat umum adalah isu Rohingya sebenarnya isu yang sangat besar, rumit dan cukup sistematik, ia bukan sekadar di sebalik isu Pasar Borong Selayang atau Bandar Diraja Klang mahupun Setapak semata-mata.
Tetapi isu Rohingya sudah menjadi normal baru dalam masyarakat Malaysia. Melalui pengalaman saya bersama etnik Rohingya dalam misi kemanusiaan dan pelbagai program bersama NGO lainnya, maka saya kongsikan sedikit sebanyak informasi berkaitan yang mungkin boleh dijadikan pencetus kepada pemikiran kita bersama.
Perebutan kuasa besar
Etnik Rohingya ini tinggal di kawasan Rakhine, iaitu satu wilayah yang cukup stategik dari sudut ekonomi mahupun geografi. Kedudukan Rakhine ini di Teluk Bengal menjadikan ia rebutan beberapa negara termasuklah India, China dan Jepun.
Dari segi geopolitik, beberapa projek mega yang dirancang seperti Empangan Rakhine, Special Economic Zone (SEZ) dan pelbagai agroperniagaan berskala besar telah menjadikan wilayah ini amat penting dan menjadi rebutan.
Kelompok masyarakat ini perlu dikeluarkan agar pelbagai agenda politik dan ekonomi yang dirancang dapat dijayakan. November 2018, perjanjian pembinaan Pelabuhan Laut Dalam Kyaukpyu di dalam wilayah Rakhine telah termeterai diantara Myanmar dan China.
Ia terjadi selepas gagalnya projek yang sama di Pulau Sonadia, Bangladesh. Ini secara jelas memperlihatkan betapa China amat meminati wilayah Rakhine dan dibantu oleh Myanmar untuk mengeluarkan etnik Rohingya dari kawasan tersebut. Perkara yang sama juga berlaku di wilayah-wilayah konflik lainnya di rantau Asia Tenggara ini.
'Kebijakan' kerajaan Myanmar dalam mendepani isu Rohingya ini memang tidak dapat dinafikan. Hubungan baik dijalinkan oleh Myanmar dengan China, India termasuklah Amerika Syarikat, malah kepentingan dan peluang pelaburan yang besar diberikan kepada negara-negara ini.
China boleh dilihat akan meletakkan kepentingan ekonomi sebagai keutamaan, isu penghapusan etnik dan konflik tempatan tidak penting bagi China. Projek ‘One Belt One Road’ atau OBOR yang menghubungkan Myanmar dan China akan dijayakan melalui SEZ.
Laluan paip strategik yang akan menghubungkan barat dan timur akan dibina melalui pelabuhan Kyaukpyu ke Kunming, wilayah Yunnan, China. Laluan ini akan membolehkan minyak dan gas dipindahkan ke China dengan lebih cepat melalui laluan paip rentas negara.
China bakal menguasai laluan penting ini dan menjadikan mereka kuasa yang super-dominan di rantau timur. China juga menyatakan pelaburan AS$3.2billion termasuk pembinaan empangan Myitsone pada tahun 2017.
Perkara yang sama juga dilakukan oleh India, Amerika Syarikat dan Jepun, kesemuanya mempunyai kepentingan ekonomi dan perdagangan yang menjadikan wilayah Rakhine ini sangat strategik.
Situasi di Malaysia
Berbalik kepada situasi di Malaysia, mengapakah isu Rohingya tiba-tiba menjadi topik perbincangan besar oleh pelbagai kelompok? Apa agenda yang sedang dimainkan di sebaliknya? Dan mengapakah isu Rohingya ini menjadi polemik di musim Covid-19 dan pada bulan yang mulia, Ramadhan al-Kareem ini.
Setelah agak lama isu Rohingya ini senyap dan sepi, akan tetapi secara tiba-tiba ianya menjadi isu besar dan mendominasi media utama ketika ini. Ramai yang tidak cuba memahami apa agenda disebalik semua ini, maka tuduhan terus dilemparkan terutamanya kepada pihak berkuasa yang dianggap sebagai kejam dan bersikap di luar batas kemanusiaan kerana menolak kemasukan kapal yang membawa tidak kurang 200 etnik Rohingya ini.
Perlu difahami, isu Rohingya ini adalah satu perniagaan yang menguntungkan. Ia cukup sistematik dan melibatkan pelbagai pihak termasuklah pihak keselamatan sesebuah negara.
Ada laporan mendakwa pihak-pihak tertentu termasuklah pihak keselamatan di Myanmar, Bangladesh, Thailand dan Malaysia terlibat dengan satu sindiket yang besar dan terancang. Ia adalah satu perniagaan yang mewah dan pasti menguntungkan.
Benarlah seperti yang dinyatakan dalam salah satu babak filem Tiga Abdul lakonan Allahyarham P Ramlee, bahawa meniaga manusia labih menguntungkan.
Maka disebabkan itulah isu Rohingya ini dipelihara dan dinampakkan seperti amat meruncing agar mereka mampu terus mendominasi perniagaan yang menguntungkan ini. Malah industri ini dipelihara oleh kelompok-kelompok tertentu hingga isu-isu keselamatan akan dibelakangkan, janji ‘masyuk’.
Seterusnya, dari segi ‘trend’ atau ‘pattern’ kemasukan Rohingya ke Malaysia, biasanya bulan Ramadhan dipilih kerana kelemahan sistem pengawalan sempadan.
Faktor puasa dan kawalan yang agak longgar terutamanya semasa menghampiri waktu berbuka puasa, selepas isyak dan juga selepas subuh secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada lanun dan sindiket penyeludupan manusia ini.
Tekanan pada Myanmar
Seterusnya, faktor Covid-19 juga memberikan ruang yang luas terbuka kepada lanun-lanun ini kerana PKP dan ‘lockdown’ di sesetengah kawasan. Kumpulan sindiket ini tidak sama sekali takutkan virus, apa yang mereka takuti adalah apabila sempadan negara tidak dapat ditembusi.
Juga adalah tidak adil sama sekali menyalahkan kerajaan Myanmar semata-mata tanpa memahami apa yang telah dilakukan dan inisiatif holistik yang telah diambil oleh kerajaan Myanmar.
Memang kekejaman itu berlaku, akan tetapi dalam masa yang sama juga harus dilihat kebaikan yang cuba dihulurkan oleh pemerintah dan pelbagai NGO di Myanmar.
Beberapa penempatan khas, kem pelarian dan rancangan penempatan semula telah dilakukan oleh kerajaan Myanmar di Yangoon dan beberapa bandar lain. Walaupun secara halusnya ia bertujuan untuk menempatkan semula etnik Rohingya, akan tetapi inisiatif ini dipandang sepi oleh pelbagai pihak malah tidak pernah diiktiraf usaha baik yang dilakukan oleh junta tentera ini.
Pada masa yang sama juga kita dapat melihat bagaimana etnik Rohingya sendiri menolak semua inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini.
Selain itu kem-kem pelarian yang dibina oleh UNHCR di Kutupalong-Balokhali, Maungdaw, Sittwe, Bhamo, Teknaf dan Bhutidaung juga adalah antara tindakan yang diambil hasil kerjasama PBB dengan kerajaan Myanmar dan Bangladesh.
Kem-kem pelarian yang berdaftar ini telah diuruskan dengan baik dan teratur. Akan tetapi pada masa yang sama juga terdapat lebih ramai lagi yang menghuni kem-kem tidak berdaftar dan mempunyai sistem pengurusan yang teruk.
Walau bagaimanapun, pihak UNHCR dan pelbagai NGO lainnya dilihat membantu dalam kapasiti yang cukup besar walaupun tidak sesempurna mana.
Antara penyelesaian yang boleh diambil adalah dengan membuat tekanan kepada pihak Myanmar untuk mengambil tindakan yang lebih menyeluruh terhadap isu Rohingya ini.
Tekanan secara bersama dengan semangat ASEAN dan PBB perlu dilakukan. Etnik Rohingya perlu disokong untuk menerima pelan relokasi dan lain-lain inisiatif yang diambil oleh Yangoon dalam menangani isu ini.
Sekurang-kurangnya 34 kem pelarian yang tidak berdaftar di Teknaf, Balukhali dan wilayah-wilayah lainnya perlu diselenggarakan oleh UNHCR. Dalam masa yang sama juga, pelbagai kerajaan termasuk ‘duta’ khas Malaysia ke China harus membangkitkan isu ini kepada pemerintah China dari masa ke semasa, begitu juga kepada pemerintah India, Amerika dan Jepun.
Kerajaan Myanmar perlu digesa untuk membangunkan pelan yang lebih menyeluruh untuk penempatan Rohingya. Bukan membenci atau tidak tidak mengasihi, tetapi masalah Rohingya ini perlu diselesaikan di tempat mereka sendiri, bukannya di Malaysia.
Myanmar, Bangladesh dan Rohingya sendiri lebih mengetahui masalah dan jalan penyelesaian untuk mereka. Dengan jumlah yang sudah menjangkau ratusan ribu, pastinya ada segelintir etnik Rohingya yang terlibat dengan pelbagai jenayah dan membuat pelbagai permintaan yang berlebihan dan bersikap ‘kaduk naik junjung’.
Cukuplah pada kadar 200,000 Rohingya di Malaysia, jangan ditambah lagi walaupun dengan sebuah kapal. Kos saraan dan tanggungan ke atas mereka melebihi 1 juta setiap bulan, tidak termasuk lain-lain kos tersembunyi lainnya.
Sepatutnya wang ini boleh digunakan untuk rakyat Malaysia sebagai pembayar cukai, bukannya cuba menyelesaikan isu yang dicipta oleh pihak-pihak yang berkepentingan di wilayah Rakhine ini.
DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai