Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Merakam sejarah: Ibu Pertiwi bersuara

Minggu ini saya sambung kembali wacana Merakam Sejarah virus Karona. Anak semua bangsa dan bangsa semua agama - umat manusia - sedang berhadapan dengan serangan virus Karona.

Ketika saya menulis ini kita di Malaysia selesai memasuki hari ke-34 berkhalwat a.k.a peritah kawalan pergerakan (PKP). Kita hendaknya sedaya upaya mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Virus Karona sedang mengampuh dunia. Dan mengancam Ibu Pertiwi. Ibu Pertiwi? Siapa dan apa itu Ibu Pertiwi?

Pertiwi berasal daripada bahasa Sanskrit. Ini nama asal dewi yang ditugaskan oleh Dewata Mulia Raya untuk menjaga Bumi. Pertiwi ialah nama dewi penjaga bumi kita ini.

Daripada bahasa Sanskrit, konsep dewi penjaga Bumi ini dinusantarakan dan digenderkan untuk menjadi Ibu Pertiwi. Walaupun dewi ini telah menjadi ibu, ianya masih lagi menjaga bumi kita ini.

Akhirnya dewi penjaga Bumi ini dinusantarakan oleh masa: daripada ibu menjadi tanah air. Kemudian menjadi tanah tempat tumpah darah anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Nusantara.

Maka inilah sejarah asal-usul Ibu Pertiwi.

Dalam bahasa Inggeris Ibu Pertiwi ialah Mother Earth. Ibu Pertiwi ialah bumi manusia tempat kelahiran anak semua bangsa umat manusia.

Ia sudah lama menangis

Saya menulis Ibu Pertiwi dengan menggunakan huruf besar. Ini kerana ianya nama khas seperti Awang atau Kiah. Juga sebagai tanda hormat saya kepada dewi yang selama ini menjaga kehidupan kita semua.

Kenapa saya menulis tentang Ibu Pertiwi? Apakah sangkut-pautnya Ibu Pertiwi dengan virus Karona dan Covid-19? Biar saya perjelaskan.

Saya dalam kesedaran - atau lebih tepat lagi, dalam kesedihan - kerana ketika menggarap tulisan ini, Ibu Pertiwi sedang menitiskan air mata. Ibu Pertiwi sedang melihat anak semua bangsa di bumi manusia ini dalam kesusahan. Berani saya nyatakan di sini bahawa Ibu Pertiwi telah lama menangis.

Ibu Pertiwi bukan hanya menitiskan air mata malah ia sudah lama bersuara. Pasti ada yang bertanya dan menyoal: menangis? Bersuara? Bila? Apa buah butirnya?

Saya sedar diatas bumi ini tidak ramai yang terdengar esak tangis Ibu Pertiwi. Justeru soalan dan pertnyaan tadi tidak salah.

Sabenarnya kita di bumi manusia melihat dengan mata kita sendiri tanda tangisan Ibu Pertiwi tapi tidak memahami tanda-tanda itu. Hati dan jiwa umat manusia kurun ke-21 keras membeku hingga gagal membaca titisan air mata Ibu Pertiwi, gagal mendengar suara esakan Ibu Pertiwi.

Dewi penjaga bumi patuh mengikut arahan Dewata Mulia Raya. Ibu Pertiwi tidak pernah melupakan tugasnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan umat manusia. Ibu Pertiwi tidak pernah lalai atau lupa. Yang lalai, yang lupa dan yang angkuh ialah manusia sendiri.

Di mana Korona mengeram, menetas

Ibu Pertiwi dari awal lagi bersuara memberi ingatan. Ibu Pertiwi bersuara di Congo pada 1976 melalui Ebola. Kemudian pada 1998 Ibu Pertiwi bersuara di Bukit Pelanduk, Port Dickson.

Pada 2002 suara Ibu Pertiwi boleh didengar di Guandong China. Pada 2012 Mers muncul di Arab Saudi. Seawal 1918 lagi Ibu Pertiwi besuara. Hanya umat manusia lalai terlupa apa itu Spanish Flu.

Pada awal 2020 muncul virus Karona yang kini dinamakan Covid-19. Lalu dihebohkan dari mana asal usul sang Karona ini. Rumahnya di mana? Dalam negara mana sang Karona mengeram dan menetas?

Aduh! Soalan-soalan bentuk ini ini terus muncul. Tidak putus-putus soalan ini muncul dalam portal media baru. Semuanya menimbulkan sensasi agar mata manusia moden terperangkap untuk melayari berita yang hanya lima para dengan 400 patah perkataan.

Selainnya ialah iklan bujang bertemu janda atau hebahan memanjangkan alat sulit.

President Trump yang bersikap anti-China Merah memanggil sang Karona ini sebagai The Chinese Virus. Ada juga kumpulan media yang memanggil namanya sebagai Wuhan Virus. Wuhan ialah tempat awal virus ini muncul.

Ada juga media arus perdana yang memanggil ia sebagai Virus CCP. CCP ini ialah singkatan Chinese Communist Party. Ini tanda kemarahan kumpulan terbabit terhadap Parti Komunis China yang membenam berita serangan awal virus ini hampir satu bulan.

Malah telah ada beberapa kumpulan - termasuk angota Dewan Senat Amerika - menyaman Parti Komunis China. Untuk kumpulan ini, mereka menggangap CCP bertanggungjawab membiarkan Sang Karona merebak dan mengancam dunia. Jalur fikrah ini menyalahkan China Merah.

Untuk saya, asal usul sang Karona ini tidak penting buat ketika ini. Saya ulangi: buat ketika ini. Membincangkan asal usul virus ini akan membuang masa.

Bumi disusun dengan peraturan

Kita wajib ber-united front memerangi sang Karona. Jangan buang masa dan tenaga fikrah kerana ia hanya melambatkan kemenangan. Jumlah warga yang gugur terus bertambah dari semasa ke semasa.

Pada fikrah saya, ketika babi luka datang menyondol, adalah tidak masuk akal untuk kita bertengkar dan mencari siapa yang bertanggungjawab melukakan sang babi.

Langkah yang tepat ialah menangkap sang babi, kemudian ia dihantar terus ke Bali untuk dijadikan babi guling Ibu Oka. Khalas.

Apa yang penting untuk saya ialah Ibu Pertiwi memberi tahu dengan jelas kepada umat manusia bahawa alam maya ini bukan wilayah monopoli umat manusia saja.

Duduk sama di Bumi ini adalah unggas, ikan, anjing, beruang, bunga , pokok dan seribu satu macam mahkluk halus yang hanya diketahui oleh Ibu Pertiwi.

Bumi ini telah disusun dengan peraturan oleh Dewi Bumi. Hukum alam ini semuannya dirancang untuk menjadikan bumi manusia ini indah lumayan.

Sebelum ini, umat manusia hidup aman damai bersama alam. Untuk saya ini satu masa yang tidak lama dahulu. Masih segar dalam ingatan. Saya dari suku biduanda yang berasal-usul dari Orang Asli sedar, tujuh keturunan dahulu datuk nenek moyang saya hidup aman damai bersama alam. Pada ketika itu antara manusia dengan alam, tidak ada bezanya.

Ada satu pekara yang sampai hari ini masih kekal dalam ingatan saya. Ianya ialah amaran tok batin dan amaran kolektif Orang Asli tentang busung. Busung dianggap bahaya.

Apa itu busung? Sampai hari ini ianya hanya dianggap sebagai mitos Orang Asli. Busung dalam ilmu perubatan moden agak jauh berbeza daripada naratif busung Orang Asli.

Tetapi ingatan saya tebal tentang wilayah dan tempat-tempat yang dilarang masuk kerana ada busung. Justeru ada bukit, ada lembah, ada kawasan yang dianggap berbusung. Wilayah ini akan ditinggalkan oleh Orang Asli.

Hari ketika sang Karona menyerang busung berligar sekali lagi dalam kepala saya. Apakah busung ini virus? Hal ini kerana daripada surah yang saya terima, sesiapa mati terkena busung maka kuburnya akan ditinggalkan.

Kubur berbusung bahaya untuk didekakti. Naratif busung ini turun dari mulut ke mulut. Pada hemat saya ini adalah naratif daripada Ibu Pertiwi untuk menjaga bumi kita ini.

Manusia moden hari ini melupakan naratif busung Orang Asli. Kajian ilmiah moden mentakrifkan busung sebagai ascites . Busung yang saya surahkan ini bukan busung hasil kajian ilmu moden.

Pada hemat saya naratif busung Orang Asli datang dari Ibu Pertiwi dalam usaha menjaga hutan rimba daripada dirobek dan dijarah balaknya. Dengan wujudnya naratif busung di wilayah itu maka hutan akan selamat. Bukit itu selamat.

Manusia panggil keluar makhluk halus

Di sini kita kembali kepada persoalan asal-usul sang Karona atau sang Ebola atau virus HIV. Hakikatnya makhluk halus dan busung-busung ini wujud bersama kita. Semenjak kun fayakun - semenjak Big Bang - makhluk halus ini wujud bersama umat mansuai bersama alam.

Kenapa muncul sekarang?

Apabila soalan ini ditanyakan maka kita - umat manusia - wajib melihat diri sendiri. Makhluk halus virus ini selama jutaan tahun terperosok dalam hutan belantara, dalam padang pasir, dalam gunung glasier, dalam perut bumi tanpa diusik tanpa disentuh. Ibu Pertiwi mengetahui hal ini.

Sang Ebola muncul di Congo bukan secara tidak sengaja. Bagitu juga Mers, Sars dan Nipah. Kemuculan virus, busung dan makhluk halus ini semuanya hasil kerja tangan umat manusia.

Umat manusialah yang bertanggungjawab memanggil keluar makhluk-makhluk halus ini.

Harus kita sedari bahawa perangai, budaya dan sikap yang kita miliki pada 2020 ini baru berumur 260 tahun. Budaya, perangai, gaya hidup dan nilai yang kita miliki hari ini semuanya hasil daripada pembentukan sosial, atau dibina oleh alam sosial sekeliling.

Justeru pembinaan sosial dan budaya yang kita amalkan hari ini bermula dengan Revolusi Industri (1760-1840). Pada masa kurang lebih 100 tahun gaya hidup moden menjemput datang virus Spanish Flu.

Jangan silap faham. Namanya Spanish Flu tapi kajian pada 2018 membuktikan ianya berasal dari Kansas, Amerika Syarikat. Soldadu AS membawa virus itu ke Eropah ketika Perang Dunia Pertama.

Sang Karona - yang sedang menyerang umat manusia hari ini - akan sampai ke tahap mana?

Saya bukan terdidik dalam ilmu bomoh dan tabib moden. Justeru saya tidak dapat memberi pandangan ilmiah yang bersangkutan dengan perubatan.

Apa yang saya percaya sang Karona ini ialah suara Ibu Pertiwi. Saya sedang mendengar esak tangisan umat manusia yang sedang terkurung berkhalwat.

Saya juga telah lama melihat Ibu Pertiwi sugul bersedih. Jika umat manusia menangis dan Ibu Pertiwi menangis sama, apa akan berlaku kepada busung dan makhluk halus ini? Tunggu minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.