Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kesian mak cik Kiah

SATIRA | Bengang betul mak cik Kiah. Terguris perasaannya. Kecil hati betul dia.

Mak cik Kiah baru sahaja jadi famous. Kira glamor jugalah, sejak diangkat oleh perdana menteri tempoh hari.

Tentu kita ingat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggunakan mak cik Kiah sebagai contoh. Malah dijadikan semacam ikon masyarakat kita. Lebih tepat lagi mak cik Kiah ditonjolkan PM sebagai contoh rakyat Malaysia yang walaupun bukan orang senang tetapi berusaha gigih menghadapi cabaran hidup menyara keluarga. The average Malaysian, bukan tipikal ya.

Ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi untuk meringankan keperitan rakyat menghadapi tekanan ekonomi yang tercetus akibat wabak Covid-19, Muhyiddin memberitahu seluruh negara bahawa mak cik Kiah, si penjual pisang goreng di tepi jalan, akan mendapat pelbagai faedah daripada pakej yang beliau umumkan.

Syukur daripada ramai ramai rakyat Malaysia, mak cik Kiah dipilih sebagai “model” untuk PM menghuraikan kebaikan pakej rangsangan ekonomi berkenaan. Betullah sekarang ada Madam Lee, Surjit Kaur. Haji Salleh penjual mi kolok pun diketengahkan. Tapi hakikatnya semua bermula dengan mak cik Kiah.

Rupa-rupanya anak mak cik Kiah, si Rosnah sudah berumah tangga. Ayob nama suami dia. Rasanya menantu mak cik Kiah, si Ayob ini kerja OK juga. Baru-baru ini Ayob pulang dari luar negara atas urusan kerja.

Tiba di lapangan terbang, Ayob dinasihati pegawai perubatan supaya kuarantin diri sendiri selama 14 hari sebagai langkah pencegahan. Manalah tau kan, masa-masa Covid-19 ini.

Tapi Ayob tak ambik pot. Dia buat dek, lalu terus jumpa anak dan isteri, bergurau senda, bermesra-mesra. Maklumlah lama tak jumpa gamaknya. Dua hari kemudian Ayob batuk-batuk.Tanda-tanda dah sakit.

Rosmah pula pergi bertemu ibunya, mak cik Kiah untuk bagi ole-ole yang Ayob beli di luar negara khusus untuk mak cik Kiah. Happy dan bangga mak cik Kiah. Berpeluk-peluk mak cik Kiah dengan Rosnah. Anak-beranaklah katakan.

Beberapa hari kemudian, mak cik Kiah pula sakit. Terlantar di atas katil. Jirannya Gayah datang ziarah. Picit-picit badan untuk legakan mak cik Kiah.

Kemudian Gayah pergi ke pasar pula. Di sana Gayah jumpa kawan baiknya Siti. Tak lama kemudian Siti dijangkiti. Dahlah Siti memang ada penyakit diabetes. Kesian.

Kisah ini diuar-uar menerusi klip video di TV bertujuan diteladani orang ramai. Disiar setiap hari diulang beberapa kali. Ini yang buat mak cik Kiah bengang. Iyalah dulu ada orang kasi nasihat supaya mak cik Kiah jangan terlalu gembira bila terima bantuan kewangan kerajaan. Mungkin indah khabar dari rupa kata mereka. Mak cik Kiah tak kisah semua itu. Lantaklah nak kata apa pun.

Tapi kali ini lain cerita. Yang buat mak cik Kiah kecil hati ialah keluarga beliau diumum pembawa virus. Dihebah kepada khalayak ramai bahawa mak cik Kiah dan keluarga telah menjangkiti orang lain dengan virus Covid-19. Walaupun disebut keluarganya mengjangkiti orang lain tanpa sedar, mak cik Kiah tersinggung. Malah marah.

Sedih kerana daripada ramai ramai orang rakyat Malaysia beliau dan keluarganya dijadikan contoh. Adakah patut? Bukankah beliau dijadikan contoh baik sebelum ini oleh PM? Mengapa dijadikan contoh penyebar Covid-19 pula sekarang?

Sabar sajalah mak cik Kiah. Semoga cepat sembuh.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.