Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Muay Thai lwn kung fu China di alam maya

Tatkala satu dunia berhempas pulas memerangi wabak Covid-19, satu “perang mulut” tercetus di alam maya. Ia bermula dari cumbuan satu pasangan artis Thai, berakhir dengan pertikaman lidah antara netizen Thai dan China.

Pelakon Thai, Bright menjadi terkenal di China baru-baru ini dalam kalangan peminat drama cinta lelaki (boy-love) berjudul 2gether: The Series yang diterbitkan mulai Februari 2020. Maka setiap gerak-gerinya di laman sosial diperhatikan. Bright pernah ditemui menekan “Like” pada gambar pemandangan Hong Kong dengan caption yang menyenaraikan Hong Kong sebagai “negara”. Akhirnya Bright memohon maaf setelah didesak oleh netizen China.

Tidak lama selepas Bright “dimaafkan” netizen China, teman wanita Bright dalam realiti, iaitu Weeraya pula didapati retweet satu hantaran berkenaan Covid-19 dengan tuduhan bahawa virus tersebut mungkin berasal dari makmal penyelidikan di Wuhan.

Pelakon Thailand Bright Vachirawit

Namun, apa yang mencungkil saraf netizen China adalah cumbuan pasangan ini di Instagram Weeraya, pada tahun 2017. Bright pada ketika itu memuji pemakaian Weeraya yang disifatkannya sebagai “gaya gadis China”, namun dibalas Weeraya, “Apa?” Setelah ditanya lagi seorang netizen apakah gaya pakaiannya, Weeraya pula menjawab, “ala-Taiwan.”

Dasar ‘Satu China’

Sebagaimana yang diketahui, China amat sensitif ketika Hong Kong dan Taiwan diungkit. Sejarahnya panjang, tetapi China berpegang teguh kepada dasar “Satu China”, iaitu Hong Kong dan Taiwan adalah sebahagian daripada China. Namun, setelah menikmati kebebasan dan demokrasi untuk sekian lama, masyarakat Hong Kong dan Taiwan agak keberatan untuk menerima campur tangan China dalam pentadbiran di wilayah mereka.

Hong Kong misalnya, melancarkan protes yang berlanjutan lebih setengah tahun sejak Jun 2019, lantaran ketidakpercayaan mereka terhadap ketua eksekutifnya yang menyebelahi kerajaan China. Tuntutan yang dikemukakan dalam himpunan massa disahut dengan kekerasan polis. Rakyatnya bertembung dengan polis, malah hubungan masyarakatnya dirobek lantaran perbezaan pendirian politik.

Setelah mengamati apa yang berlaku di Hong Kong, rakyat Taiwan yang masih memiliki hak mengundi, telah memilih presiden dari parti yang lebih tegas pendiriannya untuk mempertahankan autonomi Taiwan, dalam pemilihan yang berlangsung pada Januari 2020. Jelas, Hong Kong dan Taiwan umpama jarum dalam genggaman China. Semakin ketat digenggam, semakin sakit tangannya. Semakin diungkit isu ini, semakin terguris hati rakyatnya.

Serang balas China-Thai

Berbalik kepada kisah Bright dan Weeraya. Serangan netizen China kali ini mencetuskan kemarahan netizen Thai, maka bermulalah serang balas sindir-menyindir, maki hamun, dan sebagainya. Netizen China mempertahankan kenyataan bahawa Taiwan milik China, umpama Chiang Mai milik Thai, lantas dibalas netizen Thai, “Kami tidak perlu memohon visa untuk ke Chiang Mai, tetapi mengapa kamu memohon visa untuk ke Taiwan?”

 Netizen China seterusnya menasihat agar netizen Thai mengulang kaji sejarah, tetapi dibalas dengan nakal, “Sejarah inikah yang anda maksudkan?”, sambil ditunjukkan gambar kejadian Dataran Tiananmen pada 4 Jun 1989. Sindiran ini kena pada tempatnya kerana sememangnya kerajaan China cuba memadam sejarah hitam ini, yang menyaksikan kereta kebal dihantar untuk mematahkan kebangkitan gerakan siswa yang menuntut demokrasi ketika itu. Pantangnya kerajaan China terhadap peristiwa pembunuhan di Tiananmen boleh dilihat apabila tarikh 4 Jun 1989, atau angka seperti 6-4, 89 diharamkan dari media sosial menjelang ulang tahun kejadian ini. China mempunyai mekanisme tersendiri untuk menapis mesej-mesej sensitif yang dianggap boleh mengancam kestabilan rejim komunis China.

Terdapat juga serang balas yang bersifat kebudak-budakan. Misalnya, China menyindir Thai sebagai negara yang miskin (your country is poor), tetapi dibalas pula oleh netizen Thai, your country is Pooh. Pooh yang dimaksudkan adalah Winnie The Pooh, watak kartun beruang yang mirip rupa Presiden China, Xi Jinping. Pihak kerajaan China gagal menghayati “humor” ala-Barat ini, yang mengaitkan imej Xi Jinping dengan Pooh, lantas kartun ini diharamkan di China. Pengharaman yang tidak masuk akal ini merangsang lebih ramai untuk menggantikan nama Xi Jinping dengan Pooh.

Setelah gagal menghina netizen Thai yang sudah biasa dengan realiti bahawa negara mereka sememangnya miskin, netizen China mengalih serangan terhadap Raja Thai, dengan andaian maruah warga Thai akan tercabar kali ini, “Raja kamu hodoh”. Tanpa disangka, dengan santainya rakyat Thai membalas, “Pooh kamu comel”, sekali lagi merujuk kepada Xi Jinping.

Bertalu-talu netizen China membedil pelurunya, tetapi seolah-olah tidak terkesan oleh netizen Thai. Apabila dikritik Raja Thai, netizen Thai pula bertepuk tangan, malah minta agar “diteruskan” kerana netizen Thai sendiri dilarang mengkritik Raja Thai sungguhpun tidak berpuas hati terhadapnya.

Lebih kelakar apabila netizen China mencemuh “Mak kau dah mati” (NMSL, singkatan untuk bunyi dalam bahasa Cina), netizen Thai pula membalas, “Saya mempunyai 20 orang emak.” Reaksi ini seakan-akan sindiran halus terhadap rajanya yang berkuarantin di hotel mewah Jerman, kononnya ditemani 20 orang gundik ketika musim wabak Covid-19 menular.

Netizen China kalah?

Situasinya memihak kepada netizen Thai, yang sebahagiannya berasal daripada generasi yang terdedah kepada suasana kebebasan di alam maya. Lebih-lebih lagi mereka membesar dalam suasana media yang sarat dengan iklan kreatif, sebagaimana yang kita tonton melalui media sosial.

Berbeza dengan netizen Thai, netizen China sebenarnya hidup dalam suasana kebebasan yang terkurung. Mereka terpaksa menggunakan aplikasi tertentu untuk akses kepada media sosial seperti Facebook, Twitter, Youtube dan sebagainya, kerana kesemuanya diharamkan di China. Dunia mereka terkongkong, hanya terdedah kepada maklumat, (atau lebih tepat: propaganda) yang cuba disuapkan kerajaan China kepada mereka.

Dari contoh serang balas yang dirakamkan di atas, sesetengah netizen China jelas gagal mengasingkan antara negara China dengan kerajaan komunis. Andaian mereka, jikalau mereka cintakan tanah air, maka mereka wajib bertaat setia kepada kerajaan dan pemimpinnya. Lebih parah, mereka menganggap dunia di luar China semuanya berputar mengikut logik sebegini. Seandainya pemimpin China pantang dihina, maka netizen Thai akan terguris jikalau Raja Thai dihina. Malangnya (atau lebih tepat: Mujurnya), dunia telah berubah. Semakin ramai warga dunia mampu memisahkan antara kerajaan dengan negara, tidak lagi terpedaya untuk mentaati pemimpin secara membuta tuli semata-mata untuk membuktikan semangat “patriotik” dalam jiwanya.

Perlu diingatkan, bahawa sesungguhnya perang mulut ini tidak memberi gambaran menyeluruh dari kedua-dua pihak. Dengan kata lain, jangan sesekali kita mengandaikan bahawa kesemua rakyat China dan Thai berperangai sebegini. Ia cuma satu manifestasi perwatakan segolongan masyarakat dengan perkembangan budaya dan politik yang berbeza.

Apapun, sebagai pihak ketiga yang tiada kena-mengena dalam “perang mulut” ini, barangkali kita boleh mengambil iktibar daripada pengajaran ini. Penapisan yang keterlaluan akan membantutkan pemikiran masyarakatnya. Jelas, netizen China gagal memahami “musuh” yang sedang dilawan, sehingga mereka terpinga-pinga kerana hilang akal untuk berdepan dengan kreativiti dan kenakalan netizen Thai. Mereka masih hidup dalam dunia yang digambarkan oleh kerajaan komunis China kepada mereka.

Sebaliknya, netizen Thai lebih selesa dengan suasana kebebasan. Mereka tidak lagi dibebankan dengan pemikiran feudalisme nenek moyang mereka. Mereka mungkin tidak terdaya untuk menentang rajanya, tetapi mereka tahu apa yang sedang berlaku dan tidak taat membabi buta. Mereka tahu sejarah negara lain dan menjentik pada tempatnya. Saraf mereka tidak tegang, mereka sentiasa bersahaja untuk berdepan dengan kritikan dan sindiran, malah mereka mampu menyindir diri sendiri.

Untuk sekian lama kita pandang ke Timur, malah menimba ilmu hingga ke China. Mungkin masanya kita mendongak ke utara, untuk mengenali semula negara jiran kita, yang barangkali miskin, tetapi memiliki kehebatan tersendiri.

LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.