Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Usaha dulu, sekarang dan mendatang

Ikut bahasa Melayu ia dinamakan mesin juruwang automatik. Tapi lazimnya kita guna istilah “ATM”, singkatan kepada automatic teller machine. Ia digunakan untuk pindah atau transfer duit dan lebih kerap keluar duit. Istilah popular – cucuk kat ATM.

Di Vietnam khususnya di kota Hanoi baru baru ini dicipta sejenis ATM . Tidak ada kad diperlukan. Pengguna perlu tekan nombor (seakan PIN) tapi bukan duit yang keluar bila dicucuk. Sebaliknya beras yang melimpah.

Beras ini bagi membantu golongan miskin meringankan beban akibat dihimpit kesusahan yang datang akibat wabak Covid-19.

ATM beras itu dicipta oleh Hoang Tuan Anh, seorang jurutera yang pakar dalam bidang arkitek pintar dan elektronik. Ketika wabak melanda ramai orang memerlukan bantuan keperluan asas dan makanan.

Namun usaha mengagihkan bantuan biasanya dijalankan oleh ramai sukarelawan. Begitu juga golongan yang menerima. Mereka pun ramai. Lantas untuk memastikan social distancing dilaksanakan ketika memberi dan menerima bukan sesuatu yang senang.

ATM besar di Hanoi, Vietnam.

Maka timbul ilham Hoang mencipta ATM khas untuk mengeluarkan beras. ATM beras ini dibuka 24 jam setiap hari. Oleh itu penerima bantuan tidak perlu datang beramai ramai untuk mendapatkan bekalan beras.

Mereka perlu datang mengikut waktu yang mereka selesa. Huoang menggunakan khidmat tiga pembantu untuk mengendalikan urusan. Apa yang perlu dilakukan si penerima bantuan ialah beratur mengikut jarak yang ditentukan mengikut petak yang disediakan.

Bila tiba giliran si penerima akan diberi nombor khas. Selepas itu penerima mesti berdiri menghadapi kamera untuk dirakam gambarnya. ini bagi memastikan tidak ada sesiapa yang datang lebih daripada satu kali sehari untuk menerima bantuan.

Selesai gambar diambil penerima menekan butang di ATM dengan nombor yang diberi. Terus beras 1.5 kilo mencurah untuk dibawa pulang. Bekas menadah beras mesti dibawa sendiri si penerima.

Ladang di bumbung rumah pangsa

ATM beras ini menarik perhatian ramai. Kini pelbagai syarikat atau dermawan individu membekalkan ATM ini dengan ratusan kilo beras setiap hari untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Kini ada rancangan untuk mencipta lebih banyak ATM beras untuk ditempatkan di beberapa kawasan di Hanoi. Mungkin juga akan dikembangkan ke bandar bandar lain bila keadaan mengizinkan.

Beralih ke Singapura. Republik yang bertaraf negara maju itu tidak menghadapi masalah kekurangan makanan. Bekalan makanan mencukupi walaupun Singapura tidak menghasilkannya sendiri. Bahkan bekalan makanan bergantung terhadap bekalan yang diimport dari beberapa negara termasuk Malaysia.

Pun begitu menurut satu laporan The Straits Times Singapura, Februari tahun lalu sebuah “ladang” sayur diusahakan di kawasan Ang Mo Kio. Apa yang menarik ialah “ladang” atau farm sayur berkenaan terletak di tingkat atas sebuah lapangan letak kereta sebuah bangunan rumah pangsa.

Konsepnya ialah penjimatan tenaga dan ruang. Ia dikendalikan sebuah syarikat tempatan dengan bantuan agensi kerajaan. Ia menggunakan aqua organic system. Bekalan air dan bahan nutrien disalurkan menerusi rangkaian batang paip.

Ladang itu boleh menghasilkan 25 jenis sayuran. Pengeluaran pertama ialah dua bulan selepas ladang dibuka iaitu April tahun lalu. Hasil tanaman dijadikan bekalan makanan untuk 1,600 orang setiap bulan.

Ini adalah projek perintis mengenai apa yang dipanggil commercial urban farming atau peladangan di kawasan bandar secara komersil. Golongan warga emas diambil bekerja. Hasil tanaman dijual di kedai berdekatan rumah pangsa berkenaan.

Rooftop farm seperti ini juga sudah dibuka di sebuah lagi kawasan rumah pangsa di Kang Ching Road.

Jelas usaha ini lebih mengutamakan konsep berkomuniti bukan komersil secara besar besaran. Tidak dapat dipastikan bagaimana ia beroperasi dan peranannya dalam keadaan wabak sekarang ini.

Bercakap mengenai ladang atas bangunan mengingatkan saya akan bekas menteri pertanian allahyarham Sanusi Junid.

Kisah allahyarham Sanusi

Semasa allahyarham menjadi menteri pembangunan negara dan luar bandar, allahyarham pernah menziarahi rakan lamanya, menteri pembangunan industri kecil dan sederhana Taiwan.

Semasa di kediaman rakannya itu, allahyarham mendapati rakannya itu menanam padi di bumbung rumah sebagai hobi.

Untuk memendekkan cerita apabila allahyarham Sanusi memegang jawatan menteri pertanian bermula tahun 1986, allahyarham meminta Mardi cuba usahakan tanam padi atas bumbung.

Mardi turuti arahan itu. Usaha dijalankan secara senyap. Namun apabila umum termasuk media mengetahui perkara itu allahyarham Sanusi dikritik dan diejek. Ideanya diperlecehkan. Lantas usaha Mardi terbantut.

Pun begitu Mardi memberitahu pak menteri, eksperimen mereka berjaya. Namun oleh kerana tanah terbiar ketika itu masih banyak di Malaysia masa itu rancangan tanam padi atas bumbung difikirkan belum tiba masanya untuk dilaksankan.

Allahyarham Sanusi setuju. Tamat kisah itu disitu.

Bukan niat saya menganjurkan kita semua tanam padi di atas bumbung kediaman, walaupun di Singapura mereka tanam sayur atas bumbung flat.

Kawasan untuk sawah padi masih luas di negara ini. Kita tidak ketandusan tanah lapang. Sebaliknya seperti tahun allahyarham Sanusi dulu banyak tanah masih terbiar di negara ini.

Kita tidak akan mampu mengambil alih usaha dan sumbangan golongan tani tanah air selama ini walaupun jika kita berduyun-duyun tanam padi atas bumbung. Disamping itu soal kos dan kaedah terbaik mesti diambil kira.

Namun, ketika kita menghadapi wabak Covid-19 sekarang ramai cendekiawan dunia sudah bercakap mengenai amalan atau “orde baru” selepas wabak ini berlalu.

Mungkinkah tanam padi dan sayur atau bumbung dan ATM untuk keluarkan beras dan bahan lain boleh dijadikan sebahagian “orde baru” atau apa yang dianggil the new norm?

Untuk sedikit sebanyak membantu kita menghadapi masalah atau cabaran mendatang ?

Wabak ini akan berlalu insya-Allah. Para saintis meramalkan wabak lain pula mungkin timbul pada suatu ketika yang tidak tahu bila. Nauzubillah min zalik.


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.