Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemahaman agama ketika wabak

Di tengah-tengah isu Covid-19 yang sedang melanda dunia, kita dapat melihat bagaimana golongan yang berfahaman ekstremis dalam mempraktikkan agama mampu menjadikan isu ini besar dan mengancam seluruh dunia.

Melalui penelitian melebihi dua dekad dalam kajian ekstremis berasaskan agama, dapat dilihat bahawasanya fahaman ekstrem dan radikal meresapi semua ajaran agama termasuk Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain. Manusia hilang satu sifat yang disebut toleran atau toleransi. Penganut agama menjadi hilang pertimbangan apabila berbicara dan mempraktik agama sehingga memperlecehkan agama lain dan hanya mahukan khalayak memahami mereka, tanpa mereka berusaha memahami masyarakat atau agama lain.

Agak lama masa diambil untuk menulis rencana ini, jika tak ditulis ia tetap fakta, jika ditulis dianggap musuh agama. Begitulah sandiwara dunia.

Akan tetapi hakikatnya, memang ada yang ekstrem dalam beragama hingga menafikan kewujudan virus ciptaan Tuhan sekalian alam. Seluruh pelusuk dunia menyaksikan bagaimana Covid-19 menyelinap, bergabung, menyerang dan akhirnya membunuh penganut agama dalam majlis-majlis keagamaan. Beberapa kluster perhimpunan agama dibincangkan di bawah:

Kluster Tabligh Seri Petaling 

Kita semua maklum tetang kluster jemaah Tabligh Sri Petaling, dianggap sebagai pemangkin dalam membiak dan melahirkan sekurang-kurangnya lima generasi kontak rapat sehingga kini. Maka ramailah yang menyalahkan ahli jemaah Tabligh ini, hingga dilemparkan kata-kata nista, kejian dan hinaan. Malah tuduhan juga dikaitkan ke atas jemaah Tabligh sebagai punca kepada perintah kawalan pergerakan (PKP). 

Akan tetapi apa yang pastinya bagi jemaah Tabligh ini, jika mereka juga mengetahui bahawa virus Covid-19 ada dalam kalangan perhimpunan mereka, dan seterusnya berkembang hingga menjadi masalah kepada negara, pastilah mereka juga tidak setuju dan menentang serta mengelakkan perhimpunan di Sri Petaling pada akhir Februari lalu.

Kluster Perhimpunan Tabligh Sedunia Sulawesi

Tidak berapa lama selepas itu, muncul pula satu isu berkaitan perhimpunan Tabligh di Sulawesi Indonesia, lalu timbul isu baru. Ada yang berkata “sudah diberitahu jangan berhimpun tapi berhimpun juga. Tak belajar dari apa yang berlaku di Sri Petaling?” Dan macam-macam lagi kata nista dan kejian kepada kelompok tabligh ini. Apabila diselidiki, didapati ahli-ahli jemaah Tabligh ini telah memulakan perjalanan mereka lebih awal lagi sebelum pengumuman PKP oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 16 March 2020. 

Akan tetapi, selepas ‘pecah’ isu Sri Petaling dan ancaman Covid-19 di seluruh dunia, pihak penganjur perhimpunan Tabligh Sedunia di Sulawesi tetap ingin meneruskannya hingga membawa kepada campur tangan pelbagai pihak termasuklah kerajaan Indonesia. Akhirnya perhimpunan diteruskan walaupun cuma sehari.

Kluster Tabligh Nizamuddin, India

Tidak cukup dengan itu, kemudiannya tercetus pula isu perhimpunan jemaah Tabligh di India, sekurang-kurangnya 75 rakyat Malaysia terlibat dalam perhimpunan tersebut. Sekali lagi, selepas diselidiki rupa-rupanya mereka telah memulakan perjalanan seawal Mac untuk perhimpunan selama tiga hari bermula pada 13-15 Mac di Nizamuddin, New Delhi. Masih ramai yang tinggal di markaz ini telah dikenakan perintah berkurung oleh pemerintah India mulai 22 Mac. 

Pada kebiasaannya, peserta perhimpunan Tabligh akan hadir lebih awal dan pulang agak lewat untuk merasai suasana dakwah yang sebenar. Akan tetapi kadaan ini secara tidak langsung telah menjadi masalah besar di kalangan mereka termasuklah di negara India sendiri.

Apa yang menjadi lebih parah ialah ketiga-tiga kluster jemaah Tabligh ini melibatkan peserta dari pelbagai negara di seluruh dunia dan dalam jumlah yang mencecah puluhan ribu. Tanpa dinafikan bahawa ada juga di kalangan ahli yang mengetahui tentang Covid-19 tetapi mengambilnya secara mudah. Malah ada juga yang percaya wabak ini tidak perlu ditakuti, akan tetapi Allah Tuhan semesta alam yang seharusnya ditakuti mengatasi segalanya. Malah di peringkat awal, penganjur penhimpunan Tabligh di Sulawesi dan India berkeras tidak mahu membatalkan perhimpunan tersebut hingga mencetuskan isu dengan pemerintah di kedua-dua negara.

Ceramah dan perhimpunan umum mahupun kecil dengan jelas menolak ancaman Covid-19 ke atas umat Islam. Covid-19 asalnya dituduh sebagai balasan Allah ke atas pemerintah China yang dilihat bertindak kejam ke atas Muslim Uyghur. Keadaan yang sama juga dikatakan menimpa Amerika Syarikat kerana bertindak kejam ke atas negara-negara Islam. Tetapi bagaimana pula apabila Covid-19 juga menular negara-negara Islam lainnya? Maka tiba-tiba suara yang menghentam China, Amerika dan lain-lain negara Barat menjadi senyap tidak berkata apa-apa.

Bagaimana pula dengan sikap segelintir umat Islam yang masih menghadiri perhimpunan, majlis keagamaan dan solat jemaah di surau dan masjid? Ada yang jelas menolak PKP hingga mengakibatkan bencana yang lebih besar. Malah ada juga yang mengatakan siapa yang perlu menanggung dosa untuk tidak hadir ke masjid dan mendirikan solat jemaah?

Apakah mereka memberikan hujah dengan tidak menyemak dalil Quran dan Sunnah, adakah mereka menafikan hadis Rasulullah SAW yang menyeru untuk tinggal diam dalam tempat yang ada wabak dan juga jangan masuk ke tempat yang sedang dilanda wabak? Keadaan dan hujah dangkal ini kemudiannya senyap apabila kerajaan Arab Saudi juga mengarahkan agar Masjidil Haram, Makkah dan Madinah juga ditutup.

Selain itu, disenaraikan juga beberapa perhimpunan keagamaan yang dilakukan dan telah menjadi kluster yang memberi kesan dahsyat kepada penyebaran Covid-19 di seluruh dunia. Antaranya:

Kluster Perhimpunan Gereja di Kuching, Sarawak

Peserta perhimpunan gereja di Emmanuel Baptist Church mengadakan perhimpunan beberapa hari sebelum PKP diisytiharkan hingga membawa kepada kematian pastor dan sejumlah pengikutnya. Kluster ini telah menjangkiti sekurang-kurang lima generasi hingga ke hari ini.

Kluster perhimpunan gereja Korea Selatan

Shincheonji Church of Jesus tetap mengadakan perhimpunan walaupun telah dilarang oleh kerajaan Korea Selatan. Pastor Lee-Man Hee disiasat kerana tetap menggalakkan mengikutnya berkumpul secara dekat dan tidak memakai topeng muka. Ribuan dijangkiti Covid-19 dari kluster ini.

Kluster Haredim – Ultra Ortodoks Yahudi

Menafikan semua arahan oleh pemerintah Israel. Perhimpunan tetap diadakan dan sekolah serta rumah-rumah ibadat tidak ditutup. Kelompok yang dikenali sebagai Ultra-Orthodoks ini telah menjadikan jumlah kes Covid-19 di Israel melebihi 4,000 setakat kini. Dipercayai puluhan ribu rakyat Israel telah dijangkiti dan mampu memberikan ancaman besar kepada negara dengan kepadatan penduduk tujuh juta ini.

Kluster Masjid Calgary, Canada

Dikala kebanyakan negara sudah mengenakan perintah sekatan perjalanan termasuklah pemerintah Kanada, masjid utama di Calgary ini masih meneruskan sembahyang jumaat pada 20 Mac 2020. Kluster ini dikatakan sebagai penyebab utama kepada perkembangan Covid-19 di Kanada.

Kluster Gereja Baton Rouge, Lousiana

Pastor gereja ini telah menyiarkan siaran langsung untuk terus mengadakan perhimpunan gereja walau apa pun terjadi. Malah beliau juga menyatakan akan melanggar arahan kerajaan yang dianggap sebagai usaha menyekat amalan dan perkembangan ajaran Kristian di bumi Amerika. Kluster ini menyebabkan ribuan dijangkiti Covid di sana.

Kluster Grace Assembly of God, Paya Lebar, Singapura

Kluster ini menjadi penyebab terbesar kepada peningkatan kes Covid-19 di Singapura. Peserta perhimpunan termasuk yang baru pulang dari Wuhan dianggap sebagai pencetus fenomena ini. Lima generasi terkesan melalui kluster ini.

Kluster perhimpunan gereja Brazil

President Brazil Jair Bolsonaro tidak menghalang perhimpunan gereja, ia dianggap sebagai ‘keperluan’ walaupun dipercayai atas dasar kepentingan politik kerana pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi. Akan tetapi ia memberikan kesan hingga kepada peningkatan lebih 20,000 kes covid-19 di Brazil kini.

Kluster gereja di Salerno, Itali

Kematian yang mencecah 15,000 nyawa diakibatkan oleh siri-siri perhimpunan gereja yang berterusan di Itali termasuklah di wilayah Salerno. Gereja Katolik di bandar Belizzi ini mengakibatkan peningkatan kes yang besar di selatan Itali.

Sebenarnya dipercayai keadaan yang sama juga bakal melanda India yang mana kuil dan masjid masih dikunjungi oleh penganut mereka. Malah keadaan yang sama juga dilihat sedang memuncak di negara-negara majoriti penganut Buddha seperti Thailand, Vietnam, Myanmar dan Sri Lanka. Indonesia berada di landasan yang sangat mencabar, aktiviti keagamaan di kampung-kampung masih dilangsungkan dan banyak kematian yang dikebumikan dengan cara biasa, bukan kaedah yang lebih teliti sebagaimana yang perlu dilakukan ke atas jenazah pesakit Covid-19.

Akhirnya, masyarakat dunia ini yang majoritinya menganuti agama dan mempunyai pegangan hidup dan amalan tersendiri, haruslah tidak ekstrem dalam beragama. Bukannya anda perlu menjadi liberal, tetapi perlu memahami ajaran agama masing-masing dengan lebih mendalam. Pelajari agama melalui kitab dan sumber yang tepat, bukannya melalui ketua-ketua agama semata-mata. Malah mempercayai seorang iman atau paderi atau sami sahaja tidak mencukupi, seharusnya mempelajari agama dari pelbagai sumber dan rujukan yang tepat dan betul.

Covid-19 adalah ujian ke atas manusia seluruhnya agar kembali mendekati tuhan sang pencipta, bukannya menjadikan kita semakin bongkak dan menolak ajaran agama atas kesombongan dan sikap ekstremis yang dimiliki secara tidak disedari. Jangan kerana kesombongan dan kenaifan sendiri, akhirnya agama yang dianuti dijadikan bahan tohmahan dan fitnah sebagai sebab penyebaran Covid-19.


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.