Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Merakam sejarah - Paksaan dari korona

Hari Selasa 7 April 2020 anak semua bangsa warga Malaysia telah selesai berkhalwat aka melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga minggu. Arahan baru bersambung hingga ke 14 April.

Apakah arahan berkhalwat untuk menjarakkan diri ini akan berterusan selepas 14 April nanti? Disambung hingga ke bulan puasa? Hingga selepas hari raya?

Pada ketika ini masih belum ada jawapan. Semuanya bergantung kepada langkah dan perjalanan serta tindak tanduk virus korona. Ke mana virus ini akan menyusup? Amin.

Bayangkan hari ini kita semua ditahan atas tuduhan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati kerana memiliki bahan terlarang itu. Hukuman ini bukan hanya boleh menahan warga Malaysia tapi sedang menahan seluruh warga dunia.

Dalam dunia ini ada 195 buah negeri yang diiktiraf sebagai negara oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Sebanyak 180 negara sedang diserang oleh Covid-19. Serangan Covid-19 ini sama seperti hukuman 39B akan mensabitkan hukuman mati kepada sesiapa yang bersalah membawa berkilo ganja, kokain atau syabu.

Tetapi inilah perasaan umat manusia di seluruh dunia ketika berhadapan dengan virus korona.

Cuak, takut dan was was

Semua umat manusia merasai diri mereka sedang menunggu hukuman 39B. Ertinya kita sedang berhadapan dengan maut. Akibat dari 39B ini kita diarahkan berkhalwat di rumah.

Tetapi hidup kita dalam kerisauan dan tidak tentu masa depan. Perasaan gentar, cuak, takut dan was was berterusan saban hari. Kita merasa sangsi apakah sosok di hadapan kita ini akan membawa kita ke 39B? Apakah jiran di sebelah rumah akan membawa 39B?

Kita boleh tidur tapi dalam keadaan kurang selesa. Resah gelisah. Kita bersendirian melayan fikrah bertanya apa akan terjadi sesudah ini. Kita semua sedar di atas tangga 39B sedang menapak. Bila-bila pintu akan diketuk.

Apakah tulisan saya kali ini begitu pesimis. Terlalu fatalistik. Tidak. Saya tidak pesimis. Saya juga tidak fatalistik. Saya realis tetapi risau. Saya juga dilamun oleh angst. Kerana saya juga sedang berhadapan dengan Akta 39B.

Berkhalwat dalam budaya Melayu bertujuan bersendirian untuk mencari ketenangan. Berkhalwat tahun 2020 bermakna menjarak diri daripada bakal pembawa 39B. Saya sedar bahawa kita sedang berkhalwat dalam suasana tidak menentu.

Tetapi pada hemat saya ketika berkhalwat inilah masa munculnya peluang terbaik untuk kita sesama berfikir dan menilai kembali arah diri. Membaca tujuan hidup. Bertanya makna hidup.

Virus korona sedang memaksa kita umat manusia – anak semua bangsa – dan bangsa semua agama bertanya: Umat manusia ini dari sini kita hendak ke mana?

Korona telah memaksa umat manusia untuk bertanya akan soalan soalan hakiki yang selama ini tidak kita endahkan. Soalan yang selama ini kita simpan dalam almari. Soalan yang sering pulang tersepak pergi terlanggar. Muzik kehidupan moden terlalu bising untuk kita bertanya dan memikirkan soalan ini.

Kita anggap soalan dan wacana hakiki tentang arah hidup ini hanya dikupas oleh sosok yang memiliki fikiran kritikal. Atau ini persoalan dan perbincagan ahli falsafah. Atau majoriti warga adalah daripada kaum kerabat pak turut yang hanya mengikut apa kata orang surau.

Atau soalan sebagini hanya ditimbulkan oleh mereka yang bukan CEO bank atau pengarah GLC atau tidak memiliki kerjaya lumayan. Kita memperlekeh soalan sebagini kerana ianya disuarakan oleh para gagalis yang tidak memiliki banglo di Taman Tun atau tidak memiliki kondo di sebelah KLCC.

Soalan hippie dari zaman John Lennon yang tak perlu diambil pot.

Sebenarnya jawapan terhadap persoalan hakiki tentang makna hidup ini cukup enteng. Jawapannya ada di hadapan mata kita. Saban hari kita terbaca tentang persoalan ini. Hanya ramai yang gagal untuk memahami apa yang tersadai di hadapan mata mereka.

Dari mana asal usul korona?

Yakinlah semua jawapan persoalan ini ada pada virus korona. Memahami virus korona adalah memahami falsafah kehidupan umat manusia hari ini.

Virus ini barangkali dari unta. Virus ini mungkin datang dari tenggiling, dari kelawar, dari burung, dari babi atau pun dari bilik makmal.

Dari mana asal usul sang korona ini pada tahap ini tidak penting. Yang penting ialah kita umat manusia wajib memahami perangai dan tingkah laku virus ini. Kita wajib mengamati sifat dan kelakuan sang korona.

Dari tenggiling sang korona mahu berpindah. Darah dan tubuh badan sang tenggiling tidak manis lagi. Korona memerlukan tuan rumah baru untuk bertapak. Justeru sang korona pindah untuk mendapat tuan rumah baru. Paling cocok ialah tubuh badan manusia.

Setibanya sahaja di wilayah baru ini, sang korona mula bercucuk tanam dan beranak pinak. Mula membiak. Membuat tamadun. Membuat jalan. Hisap sana. Hisap sini. Gali sana gali sini. Tebuk sana dan tebuk sini. Berusaha untuk mendirikan lebuh raya baru untuk terus membiak.

Jika tuan rumah marah maka sang korona akan memperkuatkan diri. Jika tuan rumah melawan atau mendapat bantuan maka sang korona akan menjadi kebal. Berubah wajah. Bercambah dengan rupa bentuk baru tapi watak perangai masih sama. Hisap sana. Hisap sini.

Sang korona terus membiak dan beranak pinak. Daripada beberapa kumpulan kini Sang Karona telah berbilion bilon. Hisap, gali, salur dan sedut untuk mendirikan tamadun baru. Kini korona ialah satu tamadun untuk seluruh alam.

Akhirnya, tuan rumah tidak berupaya menampong tamadun sang korona. Akibat daripada gali sana korek sini akhirnya tamadun sang korona menjadi begitu berat.

Manusia tamu di bumi

Tuan rumah mengaku kalah. Maut datang menjemput. Bila tuan rumah mati maka sang korona pun mati sama. Sang korona mati bersama tuan rumah. Dan belum sempat berpindah mencari tuan rumah baru.

Mustahil tidak faham kisah sang korona ini.

Untuk saya umat manusia yang pada hari ini adalah virus. Manusia ini adalah virus. Tingkah laku dan perangai umat manusia hari ini sama saperti perangi virus. Manusia dan virus adalah sama.

Apakah ini kata-kata lucah lagi kasar dari Hisamuddin Rais. Kenapa berani menyamakan umat manusia dengan virus?

Hishamuddin Rais akan membuktikan kevirusan umat manusia. Khalas.

Kita adalah pendatang di bumi ini. Umat manusia hanya ada satu bumi. Umat manusia adalah tamu kepada bumi ini. Bumi ialah tuan rumah umat manusia.

Sila lihat apa yang sedang umat manusia lakukan kepada bumi ini. Umat manusia dengan rakus lagi gelojoh sedang menjarah bumi ini. Sama seperti yang sedang dilakukan oleh Covid-19 kepada tuan rumahnya.

Tamadun manusia moden sedang menggasak bumi ini. Atas nama ekonomi umat manusia merobek bumi ini. Atas nama pembangunan dan kehidupan umat manusia mengoyak rabakkan bumi ini. Gaya hidup umat manusia moden sedang mengancam dunia ini.

Seperti sang korona yang hidup membiak dengan memakan darah tuan rumah. Umat manusia juga sedang menghisap darah mumi manusia ini. Syarikat minyak sedang menyedut darah bumi. 

Bijih timah, tembaga, perak, emas sedang digali. Lombong dan loji bangun di sana sini. Loji dan lombong ini mencurahkan seribu satu macam kimia.

Hutan dirobek. Bukit didatar. Gunung ditebuk. Semua untuk membuat lebuh raya. Hasilnya jutaan kereta menghitamkan pasir yang puteh.

Arang yang digali kemudian dibakar. Asapnya sedang mengancam bumi Manusia. Lombong menjadikan bumi ini lopong sama seperti paru-paru manusia yang lopong kerana diserang Covid-19.

Tidak jauh dari rumah kita – di Kelantan - hutan hujan dara ialah wilayah pengeluar oksigen yang bersih. Tiba-tiba hutan dara ini digasak untuk memastikan 'Pak Lebai dan Tok Imam mendapat fulus'. Akibatnya banjir melanda. Ini sama saperti perangai Covid-19 menyerang alat penafasan mangsa sehingga tidak dapat bernafas.

Tidak jauh dari rumah kita – di Gebeng – racun dibawa dari Australia. Semua dilakukan atas nama modal, teknoloji dan kekayaan. Dolar, ringgit dan dinar menjadi jurumudi kehidupan manusia moden.

Tidak cukup dengan hutan dara dirogol kita juga mengancam diri kita sendiri dengan budaya tidak puas puas memiliki.

Sang korona tidak puas hati. Apabila masuk ke tubuh badan manusia sang korona juga berlawan-lawan untuk memiliki sebanyak mungkin wilayah untuk digasak. Sang korona menggasak tubuh badan manusia untuk terus hidup dan membiak. Manusia menggasak bumi atas nama kehidupan untuk membiak.

Hari ini, umat manusia di seluruh bumi ini sedang berhadapan dengan Akta 39B. Di hadapan umat manusia adalah maut yang akan datang bila-bila masa.

Sebenarnya sang maut telah lama duduk di atas tangga. Tetapi umat manusia ini cukup degil sama seperti degilnya mereka yang ditahan polis kerana melanggar PKP.

Umat manusia yang degil ini gagal memahami kenapa berbulan-bulan hutan di Australia terbakar. Umat manusia gagal memahami kenapa katak hijau hilang dari sawah. Anak sekolah di kampung hari ini tidak lagi ternampak burung but but dan burung tempua.

Sang korona ketika membaham tuan rumah akan mengeluarkan racun bisa yang akhirnya akan mematikan tuan rumah. Manusia juga sama perangainya saperti sang korona.

Umat manusia menimbun tambah bumi ini dengan plastik. Ini adalah racun yang akan membunuh bumi kediaman manusia. Sama saperti sang korona yang pasti mati bersama tuan rumah. Umat manusia juga akan mati bersama bumi ini.

Apakah masih ada pembaca yang tidak yakin bahawa perangai umat manusia moden hari ini tidak ada bezanya dari perangai dan kelakuan koronavirus baru Covid-19.

Dari mana datangnya virus ini? Kenapa umat manusia memiliki perangai sama seperti sang korona? 

Soalan ini adalah bukti bahawa iklan wayang telah selesai dan kita sedang masuk ke permulaan babak pertama wayang yang saya janjikan minggu lalu. Babak seterusnya tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.