Kalah perang
Istilah "kalah perang" merupakan kata yang digunakan oleh golongan seniman di Jogja bagi mengambarkan seseorang seniman yang berhenti berkarya dan mula membuat kerja lain.
Ia menjadi istilah yang ditakuti. Kerana itu juga kita akan dapati ada seniman yang rela duduk dalam apa keadaan sekali pun demi untuk masih dikenal sebagai seniman.
Hal ini - kepada orang luar - adalah sesuatu yang dihormati, yakni apabila seseorang itu menjadi seniman secara total.
Dilihat sebagai seniman total tentu saja sesuatu yang idealis. Agaknya itulah yang diharapkan oleh orang banyak, iaitu sesiapa yang mengaku sebagai seharusnya 100 peratus dunianya hanya dalam seninya.
Hanya dengan menjadi seniman secara sepenuh masa sajalah seseorang itu akan dianggap sebagai manusia istimewa, tanpa mengira sama ada mereka boleh bernafas lega atau terpaksa berkarya ketika sedang lapar misalnya.
Seolah-olahnya seniman itu harus menderita untuk menghasilkan mahakarya.
Menurut Zaenal Arifin (gambar atas), itulah cara suatu kelompok merancang - sejak lama dulu - untuk mengawal para seniman. Seniman yang termakan mantra itu akan sentiasa bertahan walaupun mereka dalam kepapaan.
Kerja kena teliti, lama
Apabila seniman terbabit berada dalam keadaan terdesak, maka karya mereka tidak lagi dinilai pada mutu sebenar, bahkan ianya dibeli dengan harga kemiskinan seniman itu sendiri.
Kerana itu, menurut Zaenal lagi, seniman harus keluar daripada pemikiran kolot berkenaan. Mereka mesti mencari jalan keluar daripada kesusahan atau hanya mengharapkan jalan rezeki melalui karya.
Sepatutnya tidak memalukan apabila seorang seniman berniaga atau berkerja tetap sambil menghasilkan karya. Kerana itu juga seniman harus menguasai tiga "R".
Itu kata Argoo Pratomonugroho (gambar, bawah), seorang wartawan senior yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam dunia seni rupa Indonesia.
Beliau mendakwa menjadi seorang daripada pelopor - bersama beberapa orang wartawan - bekerjasama menaikkan karya seniman Indonesia di mata dunia.
Kerja menaikkan nama para seniman Indonesia dilakukan dengan teliti oleh satu kumpulan pengemar seni rupa, dan ianya memakan masa hampir 30 tahun.
Hasilnya dinikamti oleh generasi seniman hari ini.
Banyak ‘muslihat’ yang perlu dilalui pihak yang terlibat dalam rancangan tersebut, namun kisah lanjut mengenainya adalah untuk artikel yang lain.
Tiga "R" yang dimaksudkan oleh Argoo ialah rekayasa artistik, rekayasa sosial dan juga rekayasa bisnes.
Artis, menurut Argoo, tentu saja perlu menghasilkan karya yang bermutu. Setelah itu perlu pula ada kumpulan yang membicarakan karya berkenaan melalui media agar ia segera sampai kepada khalayak yang lebih banyak.
Diskusi-diskusi seni juga perlu selalu diadakan. Setelah itu perlu pula ada kumpulan yang mahir dalam perniagaan masuk ke kumpulan artis serta wartawan dan memasarkannya.
Terima tempahan dari kerajaan
Kerjasama ketiga-tiga pihak adalah jalan yang harus ditempuhi oleh mana-mana pihak yang mahu memajukan seni.
Argoo juga berpendapat, Malaya agak ketinggalan dalam usaha mempromosi karya tempatan apabila senimannya agak lama menumpukan perhatian dalam mempertingkatan ekonomi negara melalui jalan lain.
Sedangkan hasil karya seni juga sebenarnya adalah satu lorong dalam memperkayakan ekonomi negara.
Hal itu disedari oleh negara-negara di Eropah. Korea Selatan pula - sebagai contoh - menjadikan bidang seni sebagai bahan eksport. Kini telah terbukti Korea Selatan berjaya.
Zaenal Arifin dan Argoo bersetuju bahawa karya seniman Malaya mempunyai mutu yang tinggi.
Agung Pekik (gambar), seorang seniman total, pula berpendapat bahawa yang dipanggil seniman itu seharusnya tahu mempelbagaikan karya mereka. Agung sendiri - selain melukis di kanvas - juga menerima tempahan membuat mural.
Kerja-kerja mural ini banyak membantu. Begitu juga seniman-seniman lain di Jogja ini.
Ramai antara mereka menerima tempahan daripada kerajaan, misalnya, dan ia bukan saja terhad kepada lukisan dan arca seni halus. Malah mereka menerima apa saja tempahan daripada pemerintah seperti membina patung negarawan, hiasan di pintu gerbang dan sebagainya.
Mereka - yang menerima kerja-kerja tempahan itu - masih lagi dianggap seniman, selama mana mereka masih ikut berpameran.
Dapatkan perkembangan terkini wabak Covid-19 dari Malaysiakini menerusi penjejak di sini.
Kita di Malaya dikira masih beruntung kerana istilah 'kalah perang' tidak langsung menjadi aral, malah kita langsung tidak mempunyai apa-apa istilah untuk memperkatakan hal yang sedemikian.
Seniman yang berhenti daripada berkaya cuma ‘ditangisi’ oleh teman-teman rapat serta mereka yang pernah memiliki karyanya.
Teman berasa kehilangan sementara mereka yang memiliki karyanya pula berasa kerugian apabila seniman yang mereka dukung itu berhenti berkarya di tengah jalan.
Namun demikian bukanlah sesuatu yang mengaibkan apabila seorang seniman membuka warung sambil berkarya, atau mereka yang berkerja tetap sambil melukis, misalnya.
Kestabilan ekonomi tidak sepatutnya menjadi halangan seorang seniman menghasilkan karya yang baik. Kemiskinan pula bukanlah sebab seseorang seniman itu boleh menjadi seorang maestro.
ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis, penyair dan pemerhati seni merangkap pemerhati sawah setiap pagi kerana masih terkandas di Jogjakarta.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai