Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Komunis dan sejarah kiri

Minggu lalu saya menulis tentang kelahiran sikap antikomunis. Saya menerangkan bagaimana di Tanah Melayu ini komunis dianggap Bani China dan Bani China itu dicap komunis. 

Sikap ini memiliki sejarah. Ianya tidak muncul secara tersendiri. Ada perancangan licik untuk memunculkan sikap ini.

Parti Komunis Malaya (PKM) ditubuhkan di Kuala Pilah – di Batu Kikir pada 30 April 1930. Bapa Revolusi Vietnam, Ho Chi Minh hadir sebagai wakil Communist International (Comintern).

Pak Cik Ho – nama manja rakyat Vienam - telah datang ke Batu Kikir untuk merasmikan penubuhan PKM.  

Daripada buku ingatan Abdullah CD (1923) sejarah merakamkan pada perasmian itu ada hadir buruh Tionghua, ada penoreh getah Tionghua dan hadir sama penoreh getah Melayu dan disertai juga oleh kaum tani Melayu.

Bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya, Abdullah CD.

Ideologi PKM ialah Marxisme. Maknanya dasar dan perjuangan PKM ialah untuk mendirikan Tanah Melayu yang bebas merdeka daripada cengkaman penjajah Inggeris. Mengamalkan sistem ekonomi sosialis. Mendirikan Republik Tanah Melayu.

Pada tahun 1930 ketika PKM ditubuhkan Tanah Melayu adalah tanah jajahan Inggeris.

Ideologi komunis mengajukan sikap internasionalisme – umat sejagat tanpa bangsa. Slogan – Buruh Sedunia Bersatulah - tidak ada yang hilang kecuali rantai penindasan. Slogan ini kukuh mengegar dunia termasuk di Tanah Melayu.

Ajaran Marxis mendidik umat manusia untuk menerima bahawa bumi ini adalah bumi milik bersama umat manusia. Dunia ini adalah milik anak semua bangsa. 

Semangat merdeka

Ini fahaman dan ajaran yang dipegang oleh semua parti-parti komunis dalam tahun-tahun 1930an. Ini dalam era pasca Revolusi Bolshevik 1917 dan sebelum munculnya Republik Rakyat China pada tahun 1949.

Di Tanah Melayu gerakan komunis dan gerakan kiri cukup ampuh. Gerakan yang paling tersusun adalah kesatuan sekerja kaum buruh. 

Buruh ladang getah dan buruh lombong bijih disusun dalam kesatuan buruh. Kesemua buruh ini adalah buruh import – pendatang dari China dan India. Bani Melayu pada tahap ini hanya kaum tani.

Kehadiran penjajah Inggeris di Tanah Melayu ini menimbulkan kesedaran nasionalisme. Semangat mahu bebas. Semangat mahu bertuankan diri sendiri. Semangat mahu merdeka lahir akibat adanya penjajah Inggeris.

Bani Melayu bangun berjuang mahu tanah air mereka dipulangkan kepada mereka. Bani Melayu tidak mahu dijajah. Manakala kaum buruh China dan India mahu upah buruh yang berpatutan, adil dan bebas daripada penindasan tuan ladang dan tuan lombong.

Justeru wujud kepentingan bersama mendobrak Inggeris. Kamu buruh menentang kaum pemodal yang menindas. Bani Melayu mahu merdeka. Ini bibit-bibit United Front – Barisan Bersatu demi kepentingan bersama masing-masing.

Justeru laungan merdeka pertama di Tanah Melayu datang daripada Kesatuan Melayu Muda – KMM (1938-1945). KMM dibubarkan pada tahun 1945. 

Sebuah parti politik baru - Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan sebagai ganti pada tahun 1945.

Tarikh 17 Oktober

PKMM meneruskan laungan merdeka. Ketika PKMM melauangkan merdeka – parti United Malays National Organization masih lagi berenang dalam kerandut telor Inggeris.

Sila ambil perhatian tarikh PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945. Tarikh 17 Oktober adalah tarikh keramat untuk kaum buruh sedunia. 

Pada tarikh inilah berdirinya negara sosialis pertama dalam dunia melalui Revolusi Oktober atau Revolusi Bolshevik yang dipimpin oleh Lenin (gambar, bawah) dan Trotsky di Rusia pada tahun 1917.

Tarikh 17 Oktober 1945 penubuhan PKMM membuktikan bahawa para pemimpin PKMM mengetahui dan sengaja memilih tarikh keramat ini. Ini mensahihkan bahawa pemimpin politik nasionalis Melayu memahami gerakan komunis. Malah ideologi komunis itu tidak jauh daripada perjuangan kaum nasionalis Bani Melayu.

Jika ideologi komunis dan sosialis tidak jauh daripada nadi perjuangan Bani Melayu kenapa hari ini dihebohkan bahawa Bani Melayu itu antikomunis?

Senang sahaja jawabnya. Negara ini nama asalnya ialah Tanah Melayu. Tanah Melayu ialah penggabungan beberapa negeri Melayu yang beraja sendiri. Dalam istilah Melayu, Negeri Bergajah Tunggal. Negeri-negeri ini bergabung, sama seperti negara Bani Arab yang dipanggil Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Penduduk asal Tanah Melayu ialah Bani Melayu. Justeru nama asal Malaysia ialah Tanah Melayu – The Land of the Malays.

Bahaya gerakan buruh 

Buruh China dan buruh India adalah kaum pendatang. Mereka tidak ada pertalian dengan budaya dan sensitiviti dengan bumi Tanah Melayu. Mereka datang cari makan. Mereka datang dibawa sebagai buruh paksa. 

Kalau mereka menentang Inggeris mereka boleh dihalau pulang ke negara asal. Ini berlainan jika yang bangun melawan Inggeris itu adalah anak watan Bani Melayu.

Pada ketika ini, kaum buruh dari China dan India telah tersusun dalam kesatuan buruh. PKM telah berjaya menyusun kaum buruh ladang dan buruh lombong dengan jaringan Pan Malayan General Labour Union (GLU).

Kesatuan sekerja GLU ini amat bahaya untuk ekonomi Inggeris. Jika berlaku mogok buruh – diladang atau dilombong maka kepentingan ekonomi Baginda Queen pasti terjejas.

Dalam masa yang sama PKMM telah berjaya menyusun kaum tani Melayu. Pada 7 Julai 1947 di Kajang Selangor, PKMM telah menubuh sayap tani yang dipanggil Barisan Tani Malaya (BTM).

Bayangkan kaum buruh telah disusun oleh PKM. Kini melalui BTM, kaum tani pula disusun oleh PKMM. Menurut ajaran Marx wajib ada kerjasama kaum buruh dan kaum tani untuk melahirkan revolusi. Dua kelompok ini adalah ejen yang akan membawa perubahan hakiki.

Karl Marx (1818-1883) anak watan Jerman mendapat suaka politik di London. Menulis teori perjuangan kaum buruh di Perpustakan London. Rujukan teori Marxis berasaskan kapitalisme Inggeris.

Jauhkan kerjasama buruh Melayu, Cina, India

Rujukan buruh Marx adalah buruh di Manchester, England. Pastilah kuasa kolonial Inggeris mengetahui dengan dalam dan luas garis perjuangan yang dicadangkan oleh Marx.

Justeru strategi induk untuk menentang ideologi Marxis ini ialah kaum tani Melayu wajib dijauhkan daripada bekerjasama dengan kaum buruh China dan buruh India.

Cari dan usahakan bentuk dan sebab musabab agar petani Melyu dan terus was was dengan buruh China dan buruh India. Ini dilakukan oleh kuasa kolonial Inggeris dengan teratur dan berstruktur. Khalas.

Wajib diberitahu bahawa nama-nama seperti Ahmad Boestamam, Abdulah DC, Shamsiah Fakeh, Musa Ahmad, Wahi Anwar, Rashid Mydin, Mokhtaruddin Lasso, Mat Indera, Ishak Haji Muhamad, Ibrahim Yakob – adalah nama-nama nasionalis kiri Melayu. Nama-nama mereka ini diketepikan dari sejarah. Ini kerana suara merekalah yang melaungkan merdeka. Dan merekalah juga yang mengangkat senjata melawan penjajah Inggeris.

Kuasa kolonial Baginda Queen sedar bahawa komunis Melayu atau nasionalis kiri Melayu lebih merbahaya daripada komunis China atau komunis India.

Dalam perang melawan Inggeris seorang gerila Melayu dianggap sama tahapnya dengan lapan orang gerila bukan Melayu. Ini bukan penglibur lara Hishamudin Rais. Ini daripada rujukan sejarah yang boleh diselongkar di Pejabat Kolonial Inggeris ketika apparatchik penjajah melancarkan perang saraf.

Perang saraf ini teratur disusun. Jabatan kolonial yang melancarkan perang saraf ini memerlukan pengetahuan mendalam tentang budaya, bahasa dan agama anak tanah jajahan. Pengetahuan ini amat diperlukan untuk melawan pandangan kaum Marxis dan nasionalis.

Maka daripada Jabatan Kolonial perang saraf ini lahir School of Oriental and African Studies (Soas) pada tahun 1916. Gedung ilmu ini khusus memberi ilmu pengathuan tentang budaya dan bahasa warga Asia, Afrika dan Timur Tengah. Tanpa Soas mustahil Inggeris dapat menjalankan dasar pecah perintah. Mustahil dapat menakhluk lebih dari tiga per empat dunia ini.

Kesatuan Komanwel adalah bukti di mana Inggeris berjaya menjajah 52 buah negara dalam dunia ini.

Justeru penjajah menjalankan propaganda bahawa komunis ini bahaya. Bahawa komunis ini antiagama. Bahawa komunis ini antiraja. Melalu kajian mereka mendapati bahawa Bani Melayu – sayangkan Raja. Budaya feudal Melayu kukuh. Justeru kuasa kolonial Inggeris memahami bahawa jangan disentuh dan diusik Raja-raja Melayu. Maka kuasa Inggers bersubahat dan bersekongkol dengan Raja-raha Melayu untuk menjalankan projek penjajahan.

Kolonial Ingeris juga faham akan peranan Islam. Malah sebelum ini, kuasa kolonial Belanda, Portugis telah berhadapan dengan gerakan antikolonial yang dipimpin oleh imam dan tok guru agama Tok Janggut, Mat Kilau dan Datuk Bahaman, Raja Haji, Dol Said pastilah watak yang amat dikenali oleh penjajah Inggeris.

Jadi dari mana pula datangnya labun dan lawak mengatakan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah?

Biar Hishamuddin Rais terangkan bahawa Datuk Nenek Moyang Khoo Kay Kim – masih di Tanah Besar China apabila Dol Said melancarkan Perang Naning (1831). Khoo Kay Kim masih belum lahir ketika Datuk Bahaman dan Mat Kilau melawan Inggeris pada tahun 1891. Ketika Tok Janggut bangun melawan soldadu Benggali upahan Inggeris pada tahun 1915 – ayahanda Khoo Kay Kim masih lagi kanak-kanak.

Bagaimana pula dengan labun Tun Hanif seorang polis pencen yang baru-baru ini berkata bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah? Tentang polis pencen ini sila tunggu minggu hadapan untuk pencerahan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.