Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Abu Chin Peng

Baru baru ini bumi Malaysia heboh dengan abu Chin Peng. Chin Peng salah seorang pemimpin gerakan nasionalis antifasis Jepun. Dia juga adalah setiausaha agong Parti Komunis Malaya (PKM). Nama sebenarnya ialah Ong Boon Hua. Lahir di Sitiawan Perak pada tahun 1924.

Chin Peng adalah nama perjuangan Ong Boon Hua. Ini sama seperti nama Ernesto Geuvera de La Serna yang menggunakan nama Che ketika bergerila melawan rejim Batista di

Cuba. Atau Josip Broz menggunakan nama Tito ketika memimpin perang gerila anti-fasis melawan Nazi dari Croatia.

Atau Kusno Sosrodihardjo menggunakan nama Bung Karno pejuang nasionalis Indonesia. Atau Abu Ammar nama untuk Yasser Arafat pemimpin gerila Palestin. Dalam gerakan bawah tanah ramai pejuang nasionalis, antifasis dan pejuang antiimperialis mengubah nama agar gerak kerja mereka tidak diciumi musuh.

Dari akhbar Parti Komunis Australia (CPA) saya terbaca namanya Lainaz. Mengikut laporan akhbar komunis ini, Lainaz ialah nama bawah tanah Samad Ismail. Saya terbaca berita ini pada ketika Pak Samad ketua pengarang kumpulan New Straits Times Press ditangkap oleh Ghazali Shafie di bawah ISA pada tahun 1977.

Chin Peng meninggal dunia pada 16 September 2013 di kota Bangkok. Sebelum meninggal dunia Chin Peng telah meminta kebenaran untuk pulang ke tempat tumpah darahnya - di Sitiawan Perak. Permintaan telah dinafikan.

Semua anggota PKM dan gerila PKM yang berasal usul dan dilahir di Tanah Melayu dibenarkan pulang ke Tanah Melayu. Kecuali Chin Peng. Kebenaran untuk pulang te tanah air tanah tumpah darah mereka berasaskan Perjanjian Damai Hat Yai yang telah ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya dan disaksikan oleh kerajaan Siam pada tahun 1989.

Bila Pakatan Harapan menjadi kerajaan maka abu Chin Peng dibenarkan dibawa pulang ke Sitiawan Perak. Abu mayat Chin Peng ditabur di laut Lumut dan hutan sekitar Sitiawan. Ini permintaan terakhir Chin Peng.

Bila saya terbaca berita abu Chin Peng ini saya teringat perkara abu mayat yang sama berlaku kepada Svetlana Losiffovna pada tahun 1967. Berhari-hari saya baca berita tentang abu mayat ini dari akhbar Utusan.

Svetlana ini anak Stalin pemimpin Parti Komunis Soviet Union. Svetlana telah memadu kasih dan berkahwin dengan Brajesh Singh seorang komunis warga India yang bertugas di Moscow sebagai penterjemah. Brajesh meninggal dunia di Moscow pada tahun 1966. Permintaan akhir Brajesh ialah abu mayatnya hendaklah ditaburkan di Sungai Ganges.

Pada tahun 1967 Svetlana mendapat kebenaran pergi ke India untuk menaburkan abu mayat suaminya. Selesai menjalankan upacara agama, anak gadis Stalin ini telah meminta suaka politik di Amerika. Dunia menjadi heboh. Ketika saya membaca berita abu mayat Brajesh Singh ini saya tidak faham kenapa dunia menjadi heboh.

Seterusnya ialah sejarah.

Tulisan kali ini bukan hendak membincangkan tentang abu mayat Chin Peng atau abu mayat Brajesh. Atau kenapa Chin Peng guna nama Chin Peng dan tidak dipanggil Mister Ong.

Abu Chin Peng ini pada pendapat saya hanyalah manifestasi. Abu Chin Peng ini ada percikan dari satu pekara yang lebih besar. Abu Chin Peng hanyalah rintik-rintik. Ada gajah di belakang nyiru. Ada cupcai di belakang lori.

Pertama : Manifestasi abu Chin Peng yang saya maksudkan muncul dari inti pati sikap antikomunis. Kedua ia muncul kerana asas percubaan memesongkan sejarah. Dan ketiga – persoalan nasional yang masih belum selesai. Saya akan cuba merungkaikan satu persatu. Pada hemat saya tiga perkara ini kait mengait.

Membincangkan dan menghebohkan manifestasi sahaja untuk saya tidak mencukupi. Saya pernah memberi pencerahan bahawa manusia ini bergerak dan bercakap dalam tiga asas.

Asas pertama - manusia bercakap tentang orang dan benda. Siapa Siti Nurhaliza? Siapa suami si polan dan si polan? Siapa tidur dengan siapa? Untuk saya perbualan di tahap ini menjadikan kita manusia paling rendah. Tahap tabloid Bacaria.

Tahap kedua manusia bercakap dan berbincang tentang tempat dan babak. Ooo… KLCC cantik. London menarik. Manchester United menang dengan Liverpool. Kalau ada duit nak melawat Korea boleh jumpa artis K-Pop. Ini menjadikan kita manusia masih lagi di tahap yang rendah.

Perbincangan dan perbualan yang afdal dan bermaruah sewajibnya ialah membincangkan konsep dan falsafah. Bukan heboh mengumpat bergosip tentang orang, babak atau tempat. Justeru tulisan ini membuka wacana tentang falsafah dan konsep. Maknanya membincangkan apa di belakang manifestasi.

Manifestasi senang dibaca. Senang dilihat. Kilat petir sabung menyabung - kita nampak kilat dan kita dengar petir. Tetapi tidak semua boleh menghuraikan bagaimana kilat dan petir berlaku. Kita hanya memahami manifestasi i.e melihat kilat. Maka untuk kita kilat hanya pancaran cahaya, manakala petir ialah bunyi sesudah pancaran cahaya kilat. Semua ini tanda hujan akan turun. Khalas.

Itu sahaja yang difahami. Yang pada hemat saya ini pemahaman tahap ini agak baik. Berbanding dengan pandangan pada satu ketika dahulu manifestasi kilat dan petir ini dianggap tuhan marah. Dewa di langit marah. Kemarahan dewa dan tuhan ini perlu pengorbanan. Maka akan disemah lembu atau kambing untuk mententeramkan kemarahan dewa dan tuhan. Ini contoh pemahaman kabur dan gelap tentang manifestasi kilat dan petir.

Abu Chin Peng juga adalah manifestasi daripada pemahaman yang kabur dan gelap. Ia tidak ada beza dari pemikiran manusia dahulu kala memahami petir dan kilat.

Pandangan kabur ini lahir kerana sikap antikomunis, antisosialis dan antigerakan kiri. Sebenarnya amat ramai sosok-sosok yang antikomunis dan antikiri ini tidak pun memahami apa itu komunis. Dan apa itu sosialis. Mereka membabi buta menjadi anti. Anti mereka tanpa merungkai sejarah yang tuntas, jauh sekali dengan panduan pandangan ilmiah yang masuk akal.

Selalu kita dengar bahawa komunis dan sosialis ini tidak percaya kepada agama. Sayugia dingatkan bahawa dalam sistem kapitalis yang kita guna pakai hari ini ramai yang tak percaya kepada agama dan tuhan. Tidak percaya kepada tuhan dan agama bukan monopoli milik kaum komunis. Atau kaum sosialis sahaja. Pak Cik Vegan pun ada yang tidak percaya pada agama dan tuhan. Amin.

Tidak percaya kepada perkara karut marut lagi tak masuk akal bukan satu jenayah. Ia tanda satu tahap kemajuan pencapaian fikrah manusia. Tidak percaya bahawa kilat dan petir itu tanda tuhan marah adalah bukti bahawa fikrah manusia berevolusi untuk terus maju berfikir degan ilmiah.

Propaganda antikomunis telah lama menyerap masuk ke Tanah Melayu. Sikap antikomunis ini memiliki sejarahnya. Sikap antikomunis dan antisosialis di Tanah Melayu berkait rapat dengan sejarah Inggeris menjajah Tanah Melayu.

Untuk ketika ini kita lupakan dahulu hujah Pak Cik Kang Kong , Mak Cik Kang Kong dan Pak Cik Pencen yang mengatakan bahawa Tanah Melayu ini tidak pernah dijajah.

Anggaplah kenyataan Tanah Melayu tidak dijajah sebagai komedi lawak berdiri titik tanda ucapan selamat jalan 2019. Dan selamat datang 2020. Amin.

Kuasa kolonial Inggeris datang untuk mengambil harta kekayaan Tanah Melayu. Portugis dan Belanda datang untuk rempah rampai. Ini permulaan sistem ekonomi kapitalis yang dipanggil Merchant Capitalism. Kapitalisme awal ini baru bermula apabila Ferringgi menyerang Melaka pada 15 Ogos 1511.

Juragan dan saudagar dari negara atas angin datang mencari bahan untuk dibawa pulang ke negara asal. Di Melaka mereka mengambil rempah rampai. Di Tanah Besar China mereka mengambil tembikar, sutera dan teh. Barang-barang ini dibawa pulang untuk dijual. Juragan dan saudagar ini meraih keuntungan dari menjaja barangan yang tidak wujud di negara atas angin.

Ini sejarah yang saya rasa senang difahami. Dari sinilah bermula penjajahan. Feringgi melanggar Melaka, Belanda melanggar Melaka – semuanya untuk berniaga.

Perniagaan adalah pemulaan sistem kapitalisme. Dari kapitalis saudagar ini muncul kapitalis moden. Wajib waspada kapitalisme moden ini bukan muncul dalam setahun atau dua tahun. Sebelum sistem ekonomi kapitalis wujud sistem feudal telah sedia ada beratus tahun. Sebelum sistem feudal ini wujud telah ada sistem hamba abdi.

Biar saya beri tahu di sini – sistem ini berubah atau beralih bukan dengan hati terbuka. Ada berlaku perlawanan. Ada berlaku pertempuran. Ada yang mati dan ada yang dipancung kepala. Setiap sistem ini ada pemuka dan ada penyokong.

Saya melakar perkara ini untuk memberi pencerahan bahawa setiap sistem itu akan ada penentang. Ini hukum alam. Dalam padangan kaum Marxis hukum alam ini dipanggil kontradiksi. Kontradiksi ini wujud. Sama ada kamu mahu atau tidak. Sama ada kamu beragama atau tidak kontradiksi tetap wujud. Hukum kontrdiksi ini sentiasa bergerak.

Alam dan dunia kita bergerak mengikut hukum kontradiksi. Khalas.

Apa sangkut paut semua ini dengan abu mayat Chin Peng?

Semuanya kait mengait bersangkut paut dalam usaha untuk memberi pencerahan. Saya tidak mahu para pembaca hanya memahami manifestasi tanpa memahami sebab musabab yang melahirkan manifestasi itu. Dalam konteks yang luas abu mayat Ching Peng ini juga adalah rintik debu manifestasi daripada sistem ekonomi kapitalis.

Umum dan sejarah tahu bahawa Chin Peng adalah salah seorang daripada protoganis utama di Tanah Melayu yang bangun untuk melawan penjajah Inggeris. Chin Peng memimpin PKM untuk menentang Inggeris. PKM berjuang untuk menetang kapitalisme.

Ada apa dengan penjajah Inggeris? Ada apa dengan kapitalisme? Tunggu minggu hadapan. Ucapan selamat menyambut hari Krismas.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.