Membumikan stigma teroris
Pengalaman saya tinggal dan bermotosikal di Indonesia bersama dengan kelompok bekas teroris jelas amat berbeza sekali.
Mereka amat disenangi oleh negara dan masyarakat, malah mereka juga diterima sebagai sebahagian dari entiti penting komuniti dan diberi sokongan yang mantap oleh setiap segenap lapisan masyarakat.
Malah hubungan rapat polis Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia terhadap kelompok bekas teroris ini perlu dicemburui.
Di jalanan, mereka juga mempopularkan istilah teroris hingga adanya Nasi Goreng Teroris dan Sambal Teroris serta Gojek Teroris. Istilah teroris bukan asing dan dibumikan sebaiknya, stigma teroris sebagai buruk dan jelik sudah tidak relevan bagi masyarakat Indonesia.
Keadaan yang amat berbeza di Malaysia, teroris adalah satu istilah yang tabu dan tidak disenangi oleh banyak pihak tanpa mengira agama dan etnik.
Bila disebut saja teroris, yang terlintas di benak fikiran adalah Islam dan Muslim sebagai teroris, akan tetapi teroris sebenarnya bukanlah satu perkara yang perlu ditakuti, teroris seharusnya dimurnikan dalam masyarakat ini.
Istilah teroris moden dipopularkan pada zaman revolusi Perancis 1793-1794. Catatan berkaitan Regime De La Terreur telah merekodkan 16,594 kematian dengan sebahagian besarnya adalah warga Perancis yang telah dibunuh dalam aksi-aksi kejam dan diluar kewarasan manusia pada ketika itu.
Kepala pemimpin dan penyokong dipenggal dan diarak di sekitar Paris hinggalah kejatuhan rejim Maximillien Robiespiere pada July 1794. Sejak itulah penggunaan istilah teroris menjadi amat signifikan dan mempengaruhi semua negara bangsa hingga kini.
Dari segi historikalnya, teroris ini telah berlaku awal lagi, iaitu sebelum revolusi Perancis. Kejadian pembunuhan Habil dan Qabil bolehlah dikategorikan sebagai perbuatan teroris yang pertama, kemudiannya berkembang dengan pertambahan jumlah umat manusia di dunia ini hingga mengakibatkan terjadinya pelbagai perbuatan yang berkaitan dengan terorisme.
Tujuan politik
Dari masa ke semasa, dunia melihatkan siri peperangan dan pembunuhan yang besar dan kejam. Perang saudara dan perang dunia juga adalah termasuk dalam kategori keganasan oleh kelompok-kelompok ini.
Akan tetapi kita harus fahami, ada tiga komponen penting dalam menafsirkan perkara berkaitan terorisme. Dari segi istilah mudah yang boleh saya berikan adalah “Terrorrism is a polically motivated using violence towards non-combatant”.
Elemen utama adalah adalah kepentingan atau tujuan politik. Apa yang dimaksudkan politically motivated adalah mempunyai matlamat politik, tujuan atau matlamat akhir yang dimahukan oleh individu atau pergerakan tersebut.
Tidak semestinya untuk menubuhkan kerajaan khilafah Islamiyyah atau daulah islamiyyah semata-mata, akan tetapi jika bermatlamat untuk berkuasa, menonjol diri dan dapat mengawal kelompoknya maka ia memenuhi ciri pertama teroris.
Malah teroris juga mahu supaya lebih dikenali dan dapat menarik perhatian massa terhadap perjuangan mereka.
Malah dibesarkan lagi skop ini dengan memasukkan elemen mempunyai ideologi atau berfahaman tertentu seperti komunis, sosialis, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan menghidupkan semula kerajaan lama atau kesultanan tertentu juga boleh dimasukkan dalam kategori teroris ini.
Ciri kedua yang perlu ada ialah using violence atau berasaskan kekerasan dan kekejaman. Kelompok teroris ini akan melakukan perbuatan pembunuhan atau kematian dan kerosakan dengan cara yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan.
Sebab itulah kematian sering diakibatkan oleh perbuatan teroris terutamanya dengan cara letupan dan pengebom berani mati. Malah teroris juga menembak, memenggal, membakar dan apa sahaja kekejaman terhadap manusia dan haiwan sering menjadi sasaran mereka.
Kategori kedua ini juga boleh difahami bahawa serangan berbentuk non-conventional seperti aksi tikaman, melanggar pejalan kaki, menyekat saluran air, mengurung hingga mati, meracuni empangan, menyimbah asid, menghalang kapal berlabuh dan apa-apa sahaja serangan tanpa senjata api juga boleh dimasukkan dalam kategori terorisme.
‘Siapa saja boleh jadi teroris’
Maka sebab itulah sesiapa sahaja boleh menjadi teroris kerana apa sahaja yang bersifat konvensional boleh dijadikan senjata yang mengakibatkan kematian yang besar.
Kriteria ketiga yang jelas sekali adalah perbuatan terorisme ini bersifat non-combatant atau mensasarkan orang awam dan masyarakat sivil yang tidak bersenjata.
Tidak ada aksi perang antara kelompok teroris dengan kelompok askar atau pemerintah. Teroris akan menyerang masyarakat awam yang lemah dan tidak mempunyai keupayaan untuk melawan.
Maka oleh itu sering kita melihat serangan terhadap penganut agama tertentu di masjid, gereja dan kuil.
Serangan juga berlaku di sekolah, stesen kereta api, stesen bas, kawasan pelancongan dan mana-mana tempat tumpuan umum.
Serangan dalam kategori ini juga mensasarkan aset mudah dan lemah terutamanya kenderaan awam seperti bas, keretapi dan kapal terbang.
Aset tidak bergerak seperti bangunan sekolah, rumah ibadat, cinema dan pusat-pusat hiburan juga sering menjadi sasaran.
Maka dapat dilihat bahawa tafsiran teroris itu amat luas dan subjektif Akan tetapi tidak dapat dinafikan bahawasanya tiga elemen utama perlu ada dalam mana-mana pihak mengkategorikan sesuatu perbuatan atau individu dan kelompok itu termasuk dalam kategori teroris.
Pertama bermatlamat politik, kedua aksi secara kejam dan ganas, dan ketiga mensasarkan orang awam. Apabila ada ketiga-tiganya maka mereka-mereka ini boleh dimasukkan dalam senarai pengganas.
Akan tetapi yang menjadi dilema dalam masyarakat hari ini adalah ketika membicarakan isu terorisme. Bagi Muslim terutamanya, takut dilabel sebagai pengkhianat kepada agama sendiri, malah stigma sebegini juga berlaku di kalangan penganut agama-agama lain.
Untuk mencari tokoh yang berani membicarakan isu terorisme ini dalam lindungan agama dan etnik sendiri amat sukar. Malah masyarakat juga amat taboo dan takut untuk bercakap isu berkaitan terorisme.
Takut bayang-bayang
Maka kita akan melahirkan masyarakat yang takut dengan bayang-bayang dan patuh membuta tuli terhadap agama dan pemerintah.
Natijahnya ramai golongan naif yang tidak ada asas pengetahuan agama yang mencukupi telah dipengaruhi dan akhirnya menjadi teroris dan terhukum melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Keganasan (Pota) mahupun Akta Pencegahan Jenayah 2012 (Poca).
Sudah sampai masanya kerajaan membumikan terorisme ini, masyarakat harus dijelaskan berkaitan apa itu terorisme, mengapa ianya bahaya dan bagaimana mereka boleh dipengaruhi.
Malah peranan setiap individu sebagai agen ‘pencegahan’ terorisme amatlah diperlukan dewasa ini. Terorisme bukan lagi kerja dalaman polis semata-mata, akan tetapi masyarakat umum juga perlu bersama-sama menghapuskannya.
Terorisme boleh dijadikan subjek perbincangan dan diskusi umum agar mudah difahami dan dijelaskan kepada semua lapisan sosial.
MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai