Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Masuk balai polis Thailand

Awal bulan Oktober lalu, saya ke Thailand. Sambil menghabiskan cuti tahunan, saya juga membuat laporan mengenai langkah kerajaan negara jiran itu menghalalkan penggunaan ganja untuk perubatan.

Saya diberikan kontak Pengarah Koperasi petani organik Green Net, Vitoon Panyakul untuk dihubungi.

Bangkok seperti biasa padat dengan manusia dan sentiasa sesak lalu lintas.

Saya menginap di sebuah rumah inap berhampiran Jalan Khao San. Keadaan jauh berbeza selepas lebih sepuluh tahun saya tidak menjejakkan kaki ke kawasan di pusat kota Bangkok itu.

Sejak dahulu lagi, Jalan Khao San memang pusat tumpuan pelancong tetapi kini ia telah dinaik taraf menjadi pusat hiburan ala Bukit Bintang bagi memenuhi selera para pelancong milineal yang berpusu-pusu di situ.

Saya bertemu Vitoon pada 2 Oktober lalu di Bangkok Central Plaza. Saya sempat mewawancara pakar pertanian organik yang mendapat pendidikan di Australia itu. Melalui beliau saya memperolehi kontak Pengerusi Yayasan Khaokwan di Suphan Buri, Dayca Siripatrta, tokoh ganja perubatan Thailand yang terkenal.

Pengarah Koperasi petani organik Green Net, Vitoon Panyakul.

Malangnya, waktu tidak mengizinkan saya bertemu Daycha, memandangkan beliau sedang dalam perjalanan ke Laos, maka wawancara beliau, saya buat melalui panggilan telefon saja.

Sementara itu, Vitoon juga memberikan saya kontak Hospital Chaopaya Abphaibhubjer di Prachin Buri, jaraknya hampir 200km dari Bangkok.


BACA BERKAITAN:

Kenali 'doktor ganja' di hospital herba Thai

Menyemai ganja di hospital Thailand


Saya tidak tahu siapa yang akan saya wawancara di hospital itu, melainkan saya diberikan nombor telefon dan nama Nueng sebagai orang hubungan.

Selain nama dan nombor telefon Nueng, Vitoon menulis nama terminal bas Mochit serta destinasi ke Prachin Buri dalam bahasa Inggeris dan Thai di atas kertas sebagai rujukan.

Sambil-sambil itu saya melakukan carian google mengenai hospital Prachin Buri.

Menurut Vitoon, beliau pernah membuat latihan pertanian organik di ladang herba hospital itu.

"Di Terminal Bas Mochit, dapatkan van ke Prachin Buri," pesannya lagi sebelum kami berpisah.

Esoknya, saya bergerak dari Khao San ke terminal bas Mochit.

Turun di stesen minyak

Kurang lebih jam 11 pagi 3 Oktober, saya menaiki van berlepas ke Prachin Buri dari terminal bas Mochit di Bangkok. Saya mengambil tempat di bahagian belakang sekali, di bahagian kanan, bersebelahan tingkap. Saya terus menghantar mesej pesanan Whatsapp kepada Nueng, bahawa saya baru bergerak dari Bangkok.

"Sampai di Prachin Buri, boleh hubungi saya atau naik tuk tuk ke hospital," balas Nueng dalam bahasa Inggeris melalui Whatsapp.

Van yang saya naiki belum penuh seluruh tempat duduknya dan berhenti beberapa kali mengambil penumpang.

Memandangkan tidak cukup tidur pada malam sebelumnya, saya terlelap.

Sedar-sedar, van berhenti di sebuah stesen minyak dan sedang mengisi minyak. Jam di telefon bimbit menunjukkan pukul 12 tengah hari. Semua penumpang keluar ke tandas dan kedai serbaneka di stesen minyak itu.

Saya tidak tahu di mana saya ketika itu dan tidak peduli. Saya ikut turun untuk ke tandas.

Apabila saya keluar van telahpun tiada di stesen minyak itu. Saya keluar dari stesen minyak itu ke jalan besar. Saya lihat ia kawasan pekan kecil.

Saya cuba mencari-cari kalau van itu meletak kenderaannya di tempat lain berhampiran stesen minyak. Memang hampeh, saya sudah terlepas van.

Berbagai persoalan muncul dalam fikiran saya. Bagaimana van itu boleh meninggalkan saya? Tidakkah pemandu akan mengira penumpang? Tapi mungkin kiraannya akan sama jika ada penumpang baru menaiki van itu.

Saya menyeluk saku seluar dan baju. Saya ada cuma telefon bimbit. Saya jadi tidak keruan. Bagaimana wawancara saya?

Apa lagi memikirkan passport, dompet dan komputer riba di dalam beg yang terlepas bersama van yang telah meninggalkan saya itu.

Semua ini silap saya juga. Ke mana saya mahu pergi? Saya memikirkan tentang banyaknya urusan yang perlu saya selesaikan akibat terlepas van dan kehilangan itu.

Saya menapak ke hadapan dari stesen minyak ke satu persimpangan jalan tidak jauh dari situ. Saya bertemu sekumpulan penunggang teksi motosikal.

Saya cuba bercakap dalam bahasa Inggeris kepada mereka mengenai masalah saya. Hampeh, tak ada seorang pun yang faham bahasa Inggeris.

"Oh Malaysia," kata salah seorang penunggang teksi apabila saya katakan saya dari Malaysia dan tidak tahu berbahasa Thai.

Dihantar ke balai

Saya cuba berkomunikasi dalam bahasa isyarat. Mungkin faham yang saya sedang dalam masalah.

Salah seorang penunggang berkata, "polis, polis."

"Yes," jawab saya dan dia mengajak saya naik ke atas motosikalnya.

Saya membonceng motosikal teksi itu meninggalkan kawasan pekan. Saya melihat jam sudah 12.30 tengahari.

Kemudian motosikal itu membelok ke kawasan kampung, melalui jalan tanah merah kecil dan kemudiannya laluan denai serta seterusnya melalui titi kecil menyeberang anak sungai. Di kiri dan kanan saya kawasan sawah padi.

Timbul juga pertanyaan di dalam kepala saya, ke mana pula mamat ni hendak membawa aku?

"Jauhnya balai polis, kenapa tidak berada di kawasan pekan tadi," kata hati menerbitkan syak wasangka.

Tak lama kemudian, dari jalan kampung kembali ke jalan tar dan saya sampai ke Balai Polis Chalongkrung.

Tiba di balai, penunggang teksi motosikal mengangkat tangan dan terus berlalu tanpa dibayar.

Saya masuk ke dalam balai polis. Tak ada anggota yang boleh berbahasa Inggeris. Yang mereka faham perkataan Malaysia dan saya tidak ada sebarang dokumen pengenalan diri bersama saya.

Jam sudah satu tengah hari, saya mendail nombor telefon kontak saya, Nueng dari Hospital Prachin Buri.

Panggilan saya berjawab, suara seorang wanita di dalam talian. Saya menceritakan masalah saya terlepas van dan kesemua barang saya termasuk dokumen perjalanan ada di dalam beg di dalam van itu sambil memintanya membantu menterjemahkan kepada anggota polis di sana.

Tersadai di Minburi

Telefon diserahkan kepada seorang anggota di sana. Tak lama kemudian anggota polis itu menyerahkan semula telefon kepada saya dan saya bercakap dengan Nueng.

Kata Nueng, polis akan cuba membantu saya tetapi mereka memerlukan beberapa butiran seperti nombor plat van, warna van, berapa ramai penumpang, profil penumpang lain, tempat duduk saya dan di stesen minyak mana saya terlepas van.

Saya cuma ingat tempat duduk saya di bahagian belakang van di sebelah kanan di tepi tingkap dan di sebelah saya ada seorang pemuda berbaju kuning.

Maklumat yang saya ingat cuma van berlepas dari Terminal Bas Mochit di Bangkok sekitar jam 11 pagi.

Kemudian seorang anggota polis yang memperkenalkan dirinya sebagai Leftenan Winai Chaton mengambil gambar saya melalui telefon bimbitnya.

Saya diminta menunggu. Selepas melakukan carian di Internet barulah saya tahu lokasi saya. Saya berada di daerah Minburi, masih di Bangkok tapi sudah di pinggirannya. Dari daerah Minburi ke wilayah Prachin Buri, jaraknya lebih kurang 150 km.

Saya masih menunggu. Saya keluar dari balai sebentar. Melihat bendang di hadapan balai. Petak sawah baru dibajak menunggu semaian.

Kemudian, seorang anggota memperkenalkan dirinya sebagai Kapten Wattana Manipan menawarkan saya sebatang rokok dan kami pun merokok.

Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menaip melalui penterjemah Google.

Saya tersenyum, di dalam hati mentertawakan diri sendiri, apa gunanya teknologi jika tidak digunakan.

Melalui penterjemah google di telefon bimbitnya dia bertanya, "kamu tidak lapar? Selepas ini kita pergi makan tengah hari."

"Ok," jawab saya.

Ketika itu jam sudah pukul 2 petang, maksudnya sudah dua jam barang saya terlepas.

Di dalam kepala saya, dalam masa dua jam macam-macam hal boleh berlaku, apalagi van tersebut berhenti-henti mengambil dan menurunkan penumpang.

Masuk semula ke dalam balai, leftenan tersenyum berkata beg saya sudah ditemui sambil menunjukkan gambar melalui aplikasi Whatsapp meminta pengesahan.

Anggota polis bertugas yang membantu penulis.

Saya cukup gembira tetapi masih berharap supaya barang yang penting seperti dokumen perjalanan masih ada.

Sekitar jam 2.30 petang, saya menerima panggilan telefon daripada pihak hospital, kali ini seorang lelaki bercakap dengan saya memperkenalkan dirinya sebagai Pinyo (Juntavong, beliau pengarah ladang organik Hospital Chao Phya Abhaibhubejhr).

Katanya, pihak hospital sedang dalam perjalanan untuk mengambil saya. Saya terkedu.

Kira-kira jam 3 petang, saya keluar makan tengahari bersama kapten Wattana dan koperal Jirath Adhisorn yang mengambil laporan kehilangan saya.

Ketika menikmati makan tengah hari, kapten mendapat panggilan.

Melalui penterjemah google dia memberitahu pihak hospital sudah sampai di balai. Jam 4 petang kami kembali balai.

Leftenan memberitahu melalui terjemahan Pinyo, kami akan ke stesen minyak menunggu van sampai dalam jam 5 petang membawa beg saya dan dia meminta saya memeriksa jika ada sebarang kehilangan dari beg saya.

Ketika beredar meninggalkan balai, saya mengucapkan terima kasih kepada kapten, koperal yang membantu saya.

Kami ke stesen minyak itu. Sementara menunggu van, kami minum kopi bersama di kafe di stesen minyak itu.

Tidak lama, van sampai dan pemandu membawakan beg. Saya memeriksa beg. Tidak ada satu pun barang yang hilang. Saya menarik nafas lega lantas mengucapkan terima kasih dalam bahasa Thai kepada semua, kap kun kap.

Bersama Pinyo kami bergerak ke Prachin Buri. Wawancara saya ditunda keesokan harinya.

Betapa budi baik itu merentas sempadan negara, agama dan bangsa. Kebaikan dan keburukan ada di mana-mana, barangkali takdir lah yang menentukan nasib apa yang mendatangi kita.


RAHMAT HARON ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.