Apa selepas al-Baghdadi?
Amerika berjaya membunuh tetapi gagal menyelesaikan masalah! Itu ungkapan yang sesuai untuk saya gambarkan keadaan yang berlaku di Iraq dan Syria pada masa ini.
Skrip yang sama juga diulangi sebagaimana yang telah berlaku di Afghanistan, konflik berpanjangan yang tidak ada kesudahannya.
Donald Trump, presiden Amerika mengambil masa 48 minit untuk menyatakan secara terperinci tentang kematian Abu Bakar al-Baghdadi ketika sidang media yang berlangsung pada 28 Oktober lalu. Ia amat berbeza dengan Obama Laden.
Pengumuman kematian Osama pada 2011 di Abbotabad, Pakistan cuma mengambil masa 12 minit. Mengapa Trump sangat beriya-iya dalam operasi pembunuhan al-Baghdadi? Adakah kerana pemilihan presiden akan berlaku pada tahun hadapan?
Serangan pasukan elit oleh tentera Amerika pada pagi 27 Oktober lalu telah mengorbankan al-Baghdadi, pemimpin tertinggi IS yang diburu sejak 2014.
Hadiah sebanyak 25 juta dollar juta ditawarkan ke atas pemberi maklumat berkaitan al-Baghdadi.
Kematian al-Baghdadi merupakan sesuatu yang amat ditunggu oleh Amerika, sekutu-sekutu dari Kesatuan Eropah dan juga pejuang Syrian Defence Force (SDF), iaitu tentera bersekutu yang disokong oleh Amerika.
Kematian Al-Baghdadi juga adalah merupakan kejayaan terbesar Trump dalam perang terhadap pengganas yang dimulai oleh Gearge W Bush pada tahun 2002.
Akan tetapi perkara yang perlu diperhalusi ialah apakah kesan yang berlaku dengan kematian al-Baghdadi ini, adakah Iraq dan Syria akan kembali aman atau sebaliknya?
Pastinya ada pihak yang beroleh untung dan ada juga yang menerima kerugian yang besar.
Apabila melihat dari sudut yang jelas dan logik, pastinya kematian al-Baghdadi akan memberikan kesan yang lebih buruk kepada dunia secara global.
Kerana apa yang berlaku pada hari ini bukanlah peperangan terhadap fizikal IS, Al-Qaeda, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), Komunis dan lain-lainnya, akan tetapi ia lebih kepada peperangan terhadap ideologi.
Indoktrinasi yang berlaku ke atas seseorang itu akan menjadikan mereka menganuti fahaman bersifat radikal. Kita mungkin boleh memenjarakan fizikal terroris, akan tetapi ideologi yang dianutinya akan terus berkembang dan berpotensi disebar ke pihak yang lain.
Ancaman IS di Iraq dan Syria masih signifikan dan terkesan. Data terakhir menyatakan lebih dari 34,000 pejuang IS masih berada di kedua-dua negara tersebut.
Seramai 18,000 daripada mereka adalah merupakan pejuang jihad dari negara luar termasuklah sebahagian besarnya adalah golongan yang baru mengenal Islam atau muallaf.
Kira-kira 12,000 pejuang IS di percayai masih berada di penjara-penjara yang dikawal oleh SDF. Ketika ini dilaporkan ramai dari tahanan ini telah melepaskan diri dan menyusup masuk di kalangan masyarakat tempatan.
Puluhan ribu tentera IS ini juga dipercayai berasimilasi dengan penduduk tempatan hingga sukar mengenali mereka. Ini pastinya menjadikan keadaan di Iraq dan Syria lebih berbahaya, kerana musuh berada di kalangan masyarakat awam yang boleh melakukan serangan ganas pada bila-bila masa dan dalam apa keadaan sekalipun.
Selain itu, kadar jenayah juga didapati meningkat secara signifikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini terutamanya apabila perjuanga ISIS menghadapi masalah yang besar dengan kehilangan sebahagian besar kawasan taklukan mereka.
Rekod menunjukkan ‘penculikan untuk pampasan’ menjadi antara sumber utama mereka. Selain daripada itu, siri-siri demonstrasi berdarah hingga membawa kematian juga dapat dilihat dalam beberapa insiden terakhir ini di Baghdad.
Kejadian letupan berani mati dan serangan-serangan berbentuk gerila juga berlaku yang menjadikan keadaan di Iraq dan Syria amatlah tidak selamat. Pastinya kematian Baghdadi akan menyebabkan kelompok ini bertindak dalam sel yang lebih kecil dan melakukan apa sahaja yang boleh demi kelangsungan hidup mereka.
Kematian al-Baghdadi juga sebenarnya bukan penamat kepada perjuangan IS. Pada tahun 2017, al-Baghdadi telah memberikan satu fatwa khusus kepada semua pengikutnya agar melakukan serangan di negara mereka sendiri, perjuangan IS bukan hanya di kedua-dua negara tersebut tetapi ia memasuki fasa global dan perlu dilakukan dimana-mana sahaja.
Maka atas dasar inilah IS telah melahirkan lone-wolf atau terroris yang bergerak dan bertindak secara sendirian sebagaimana yang berlaku di pelbagai pelosok dunia hari ini.
Kelompok ini juga dikenali sebagai virtual jihadists yang berada dalam pemerintahan virtual caliphate yang bergerak tanpa batas sempadan dan negara. Sel mereka tidak bercantum tetapi mempunyai agenda yang sama dan jelas.
Rangkaian besar IS di Libya, Mesir, Afghanistan, Afrika Barat dan Asia Tenggara termasuklah Malaysia dijangka akan memainkan peranan aktif dalam menyelesaikan tuntutan ‘jihad’ menurut acuan mereka.
Satu pihak lagi yang pastinya tidak berpuas hati dan mengalami kerugian yang amat besar adalah SDF yang telah dijanjikan dengan pemerintahan dan berkerajaan sendiri oleh pihak Amerika.
SDF telah bersekutu dengan Amerika untuk mengalahkan ISIS hingga kemuncaknya berjaya membunuh Al-Baghdadi, akan tetapi akhirnya mereka ditinggalkan begitu sahaja oleh pihak Amerika tanpa menunaikan janji yang telah dibuat sejak zaman Obama lagi.
Akibatnya, pastilah SDF akan terus berjuang untuk menubuhkan kerajaan sendiri terutamanya di wilayah yang dikuasai oleh etnik Kurdistan yang berjumlah hampir 30 juta orang. Siri-siri pertempuran dijangka akan terus berlaku di antara SDF dan kelompok pro Assad dan prokerajaan Iraq serta sel-sel kecil IS kerana perebutan kuasa yang bakal berlaku.
Kesan besar seterusnya adalah konflik di antara SDF dan Turki. Sebagaimana yang dimaklumi, SDF dianggotai oleh etnik Kurdish yang memperjuangkan kerajaan Kurdistan di kawasan sempadan Turki, Iraq dan Syria.
Kumpulan ini telah dibekalkan dengan senjata, latihan dan kewangan yang mencukupi untuk bertindak sebagai sebuah gerakan yang mantap dan tersusun. Gerakan ini dilihat semakin mengancam kedaulatan Turki yang secara historikalnya menghadapi masalah yang cukup besar dengan kelompok pemisah ini.
Siri-siri serangan dan pengeboman yang berlaku di Ankara, Istanbul dan Izmer sejak beberapa tahun lalu adalah diakibatkan oleh kumpulan ini. Maka dijangkakan bahawa SDF akan mempunyai ruang dan peluang yang cukup besar untuk menubuhkan kerajaan sendiri.
Maka atas dasar inilah kita dapat melihat bahawa Turki telah menggerakkan tenteranya masuk ke sempadan wilayah IS sehari selepas Amerika mengumumkan pengunduran mereka.
Turki akan mewujudkan sempadan selamat seluas 30 kilometer di sepanjang sempadan Turki, Syria dan Iraq. Serangan yang berlaku baru-baru ini di Idlib dipercayai mengakibatkan tidak kurang 7,000 tahanan ISIS terlepas bebas dan hilang di kalangan masyarakat awam.
Kini, karektor terroris yang paling dikehendaki dunia, al-Baghdadi telah berjaya ditamatkan riwayatnya. Jasad beliau akan dilepaskan di laut akan tetapi ideologi yang dibawanya akan kekal dan menjadi sumber inspirasi kepada gerakan terroris lainnya.
Amerika telah membuktikan satu lagi kegagalan dalam mengekalkan keamanan, malah semakin banyak kerosakan dan kekacauan akan melanda rantau Asia Barat. Iraq dan Syria akan melalui malapetaka dan kerosakan yang berkekalan untuk jangka masa yang lama sebagaimana Afghanistan.
Albaghdadi berjaya dibunuh, tetapi ribuan Al-Baghdadi lainnya muncul dan terus menghantui dunia.
Selepas Al-Qaeda dan IS, dijangka satu lagi kumpulan terroris akan muncul dan menjadikan episod perang ke atas pengganas oleh Amerika dan sekutunya akan berterusan.
MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai