Laporan Ranstad, kita perlu diberi perhatian
Satu laporan yang disiarkan oleh The Edge Markets berkaitan kajian 2019 oleh Ranstad, sebuah syarikat yang menjalankan perkhidmatan pengambilan pekerja, menunjukkan satu trend terkini yang harus diberi perhatian serius oleh kerajaan dan syarikat swasta.
Kajian tersebut mendapati negara-negara seperti Australia, Singapura dan Jepun menjadi pilihan utama untuk bekerja oleh responden tempatan.
Jika kita semak kadar upah di ketiga-tiga negara itu, Australia mencatat purata kadar upah paling tinggi disektor swasta iaitu sekitar AS$14.14 atau bersamaan dengan RM40.50 sejam.
Singapura pula sekitar AS$7 atau RM29.30 sejam, manakala Jepun sekitar AS$7.61 atau RM31.80 sejam.
Kajian itu turut mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 responden (rakyat Malaysia) yang berumur dari 18 hingga 34 tahun sanggup berhijrah keluar negara (tiga negara di atas) demi meningkatkan lagi kerjaya dan memperbaiki kehidupan mereka.
Malah, kumpulan terbabit berpendapat penghijrahan itu penting untuk meningkatkan kemahiran serta jaringan rakan kerja global.
Ini secara tidak langsung menjadi indikator kepada cabaran besar yang dihadapai, khususnya dalam kalangan syarikat tempatan untuk berusaha mengekalkan pekerja (bakat muda) di syarikat mereka.
Daripada kajian itu juga, pekerja golongan muda lebih tertarik dengan pekerjaan berkemahiran tinggi (teknologi) yang wujud di negara tersebut, dan kerana nilai tukaran matawang yang lebih tinggi.
Destinasi utama pelaburan
Kajian sama turut menunjukkan pelaburan ke atas teknologi dalam industri tempatan amat penting, bukan saja untuk mengekalkan bakat-bakat muda itu, tetapi bagi memastikan sektor tersebut terus berdaya saing dan mampu memberi upah dan faedah yang lebih wajar.
Bagi saya, laporan daripada kajian Ranstad itu boleh disifatkan sebagai petanda penting kepada kerajaan untuk melakukan sesuatu dengan lebih praktikal bagi memastikan tidak berlakunya senario ‘brain drain’.
Dapatan kajian juga menunjukkan sektor industri berkaitan teknologi dan internet of things (IOT) menjadi sektor penting dalam konteks modal insan/sumber manusia yakni menyediakan bakat-bakat baharu tempatan sesuai dengan keperluan industri dan pasaran ekonomi.
Jika kita merujuk kembali kepada inisiatif kerajaan dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan baru-baru ini, teras pertama yang menunjanginya ialah Memacu Pertumbuhan Ekonomi dalam Ekonomi Baru dan Era Digital.
Bagi teras pertama itu, strateginya adalah untuk menjadikan Malaysia pilihan utama destinasi pelaburan. Ia merupakan dasar secara makro yang saya kira penting untuk menarik minat pelabur dari kumpulan Fourtune 500 dan global unicorns yang menawarkan peluang pekerjaan dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreativiti dan ekonomi baru.
Ia bukan persoalan FDI sahaja tetapi pelabur ini dari jenama-jenama besar yang mana setiap pelaburan ini akan menjadi tarikan kepada golongan muda khususnya, untuk meletakkan karier dengan syarikat elit ini.
Dalam strategi kedua pula kerajaan akan menumpukan kepada infrastruktur rangkaian internet yang lebih pantas buat pengguna. Pada tahun ini saja kerajaan dapat mengurangkan harga jalur lebar sebanyak 49 peratus.
Ini membolehkan pengguna - khususnya perniagaan yang berasaskan internet - mengurangkan kos mereka dan meningkatkan lagi permintaan di kawasan-kawasan lain, khususnya di luar bandar, di samping membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna terhadap perkhidmatan jalur lebar di negara kita.
Selain itu, terdapat lagi inisiatif yang sedang dirancang untuk tahun hadapan melibatkan beberapa agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang akan melaksanakan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.
Tiada alasan untuk gagal
Cradle Fund melalui program Coach and Grow juga akan terlibat sama dalam menjadikan sektor kemahiran teknologi ini menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih menarik dan lumayan.
Ada banyak lagi inisiatif yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2020 lalu. Persoalan sekarang, bagaimana pihak swasta menanggapi semua inisiatif kerajaan?
Dan bagaimana pula ia dapat memberi harapan baru kepada bakat-bakat muda dari pelbagai bidang seperti kreativiti dan inovasi yang sangat kritikal di Malaysia?
Semua inisiatif itu tidak akan berjaya jika pihak swasta dan bakat-bakat muda melihat ke arah yang bertentangan. Sebaliknya, jika kita dapat membina hubungan kerja yang akrab dengan kerajaan dan agensi-agensinya, saya yakin tidak ada alasan untuk bakat-bakat baru itu gagal.
Ringkasnya, kerajaan hari ini mementingkan outcome atau result oriented, dan perlu juga kita kekal ingat, semua ini perlu melalui proses.
Untuk meningkatkan kualiti, kita tidak dapat lari daripada menambah kuantiti. Itulah kerja kita siang dan malam: improve… improve… dan improve.
Saya menyeru kepada semua bakat muda dari pelbagai bidang untuk terus yakin dan bekerja tanpa jemu.
SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai