Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nak jadi perdana menteri

Ada masanya kita semua ralit kerana bermain perang-perang. Habis segala papan yang kita jumpa, kita tarah dan gergaji. Kita jadikan pistol dan senapang.

Habis segala terung pipit yang tumbuh meliar kita jadikan peluru. Sakan kita bergaduh mahu jadi Sarjan Sounders dan tak mahu jadi askar Jerman.

Teringat kami suatu masa dulu, ketika pertandingan hoki Piala Dunia diadakan di Malaya. Ketika itu seluruh negara demam dengan permainan hoki.

Habis segala dahan pokok dijadikan kayu hoki, dan apa saja yang bulat boleh dijadikan bolanya.

Kadang-kadang tengah kita semangat dengan kedua-dua lengan kita dipenuhi getah gelang, kita pergi ke padang dan di sana kawan-kawan sudah beralih permainan.

Lawan tampar kad bergambar pula menjadi kegilaan.

Semua getah gelang yang kita kumpul entah kenapa itu terus tidak ada harganya. Kita terpaksa mula kembali dengan kad bergambar.

Kekecewaan-kekecewan ini tidak boleh dielak kerana kita tidak ada kuasa menentukan apakah musim sesuatu permainan ketika itu.

Penyokong parti hilang waras

Kadang-kadang datang juga pertanyaan: Siapa agaknya yang menentukan apakah jenis permainan yang ‘in’ pada masa itu?

Kita pun dewasa dan semua hal juga bergantung kepada musim.

Datang musim durian, kita pun sama-sama melahapnya. Yang suka durian kampung, meluru ke gerai-gerai yang menjualnya dan bersumpah bahawa itulah durian yang paling dalam dunia.

Segala jenis durian klon terbaru adalah 'sampah' dan palsu.

Yang gila musang king pula akan mempertahankan bahawa hanya itu saja durian yang layak dibawa ke tengah.

Kemudian datang pula musim pilihan raya. Penyokong partai akan mula mengila. Tidak ada partai selain yang mereka sokong yang mampu membina negara ini dan membawanya keluar dari dilabel sebagai negara yang tidak maju-maju.

Politikus dukungan mereka adalah hero yang dinanti. Seolah-olah al-Masih yang ditunggu manusia sedunia dan akan membawa angin perubahan kepada semua.

Selain politikus dan partai yang mereka suka adalah manusia jahat yang kerjanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjahanamkan negara, bangsa dan agama.

Yang baik adalah satu bangsa sedang yang lainnya adalah penderhaka yang tidak mengenal untung.

Teras perjuangan politikus dan partai tentu saja adalah apa yang mereka sangka akan memenangkan perjuangan mereka.

Jika bangsa adalah tiket yang akan menjadikan mereka wira, maka bangsalah yang mereka perjuangkan.

Mula cari kebebalan lawan

Jika wang ringgit adalah penggalak kepada sokongan, maka itulah yang mereka taburkan.

Melalak bergembiralah penyokong kerana yakin jika mereka menang, maka bangsa itu akan bertambah maju. Wang ringgit akan penuh disaku.

Penyokong hanya mahu nganga mulut dan tembolok mereka akan disumbat sehingga penuh tanpa perlu mengangkat walau sepitong jari untuk berkerja.

Berlainan dengan musim permainan semasa kita kanak-kanak, musim permainan semasa dewasa kita dirangka oleh mereka yang mempunyai kepentingan.

Kita ini seharusnya tahu akan permainan mereka yang sibuk mencari sebab untuk memulakan musim baru. Yang gila setelah mendapat kuasa akan giat memulakan musim menghentam musuh lama.

Segala macam usaha dilakukan untuk menampilkan diri mereka sebagai pahlawan yang membuka jalan baru untuk satu kehidupan yang lebih sempurna.

Yang gila mahu memang kembali pula akan segera memulakan musim mencari kebodohan kumpulan yang menewaskan mereka. Yang penting kepada kedua-dua kumpulan itu ialah kekal kembali memegang kuasa.

Pergi mampus dengan negara. Pergi jahanam kita semua.

Mahu bergaduhkah, mahu berperangkah, atau kekal bermusuh sehingga kiamat sekalipun, tidak akan mereka peduli, kerana yang teramat penting adalah mereka mahu kekal memegang kuasa pemerintahan negara ini.

Seperti mana tidak tidak faham siapa yang menentukan apa permainan pada zaman kanak-kanak dulu, kita juga tidak faham mengapa mereka berebut mahukan jawatan dalam pemerintahan sedang dalam diri masing-masing langsung tidak ada keinginan untuk memajukan, mendamaikan dan menjadikan negara ini sebuah petempatan yang aman kepada semua jenis manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Dua penyakit susah diubati

Itu belum lagi dikira bagaimana mereka melantik sesiapa saja daripada kumpulan mereka sebagai menterikah, excokah - atau tukang sorakkah - bagi pihak yang berkenaan.

Kerana itulah kita dapati ada antara mereka yang menepuk dada seperti King Kong dan bertempik memberitahu dunia akan jawatan masing-masing.

Melihat kebodohan demi kebodohan yang dipamerkan politikus daripada kedua-dua pihak yang bertelagah adalah memualkan. Itu belum lagi dikira kelaku mereka yang gila mahu menjadi perdana menteri.

Siang dan malam hanya itu yang ada di benak mereka gamaknya. Menjadi perdana menteri atau mahu kembali menjadi perdana menteri adalah dua penyakit yang ubatnya adalah mati.

Sekarang ini musim kempen berbelanja di kedai pak haji sudah agak dilupakan. Kita berharap Israel mula kembali membedil orang awam di Palestin agar kita boleh mula semula membenamkan perniagaan yang menyokong tindakan jahat itu.

Sementara menunggu itu semua, mohon pesankan kepada kami sebutir burger double quater pounder dengan ekstra acar dan Coca-Cola gelas besar.

Semua foto yang mengiringi tulisan kali ini adalah dari pameran solo Ahmad Shukri Mohamed yang berjudul Monuments.

Pameran sedang berlangsung di Galeri Segaris, Publika, Dutamas, Kuala Lumpur.


ABDULLAHJONES ialah lelaki boroi yang menjadi mangsa makanan segera.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.