Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pendatang dan negara bangsa

Pada satu ketika dahulu – dalam era kerajaan Melayu Melaka, Tanah Melayu berbentuk homogenus dalam alam Melayu.

Sila rujuk Hikayat Abdullah yang mana kita diberitahu apa itu Melayu Kedah, Melayu Kelantan atau Melayu Singapura. Justeru bumi tempat tinggal bani Melayu ini dipanggil Tanah Melayu.

Pada ketika itu Tanah Melayu sama seperti negara Jepun atau Korea hari ini. Bani Jepun tinggal di bumi Jepun justeru negara itu dipanggil negara Jepun. Bani Melayu tinggal di bumi Melayu justeru negara itu dinamakan Tanah Melayu.

Justeru Raja-raja Melayu bukan Raja-raja Malaysia. Justeru Keretapi Tanah Melayu bukan Kereta Api Malaysia. Justeru Askar Melayu bukan Askar Malaysia. Justeru adat istiadat Melayu bukan adat istiadat Malaysia. Justeru bahasa Melayu bukan bahasa Malaysia.

Kini Tanah Melayu telah berubah polity (tatanegara) budaya dan polity politik. Ini hasil daripada sejarah penjajahan Inggeris.

Kita sekarang ini dalam zaman pasca penjajah. Memasuki zaman pasca moden. Apa yang sedang berlaku di sekiling kita semuanya adalah hasil dari zaman penjajahan.

Semua ini adalah fakta perjalanan sejarah kita. Ianya wajib kita ketahui.

Kehadiran yang lain - the other - pendatang dari Tanah Besar China dan India telah mengubah Tanah Melayu dari sebuah negara homogenus untuk menjadi negara majmuk. Negara majmuk bermakna negara pelbagai bangsa, budaya dan agama.

Bagaimana pendatang lama masuk di wilayah kita? Bagaimana pendatang baru masuk ke wilayah kita?

Awas! Konsep pendatang lama dan pendatang baru ini muncul baru-baru ini dari mulut seorang India bernama Zakir Naik.

Tanpa diminta tanpa dipelawa Zakir Naik terus mengaku dirinya sebagai pendatang baru. Ini bertujuan untuk membezakan diriya daripada Lim Kit Siang atau Dr P Ramasamy yang ditakrif oleh Zakir Naik sebagai pendatang lama.

Sebelum soalan bagaimana pendatang meluru masuk dijawab tuntas, kita wajib memahami beberapa konsep. 

Kita wajib memahami konsep negara bangsa. Memahami konsep nasion dan konsep bangsa.

Setelah kita memahami ini maka dengan tersendiri dan mudah untuk kita memahami watak Zakir Naik dan watak Dong Zong yang kini wujud dalam Tanah Melayu. Saya menggunakan konsep Tanah Melayu yang homogenus untuk membezakan daripada konsep Malaysia yang majmuk.

Malaysia yang majmuk adalah hakikat. Malaysia majmuk adalah real politik. Menafikan ini sama saperti menafikan garam itu masin.

Malaysia yang homogenus hanya ilusi. Malaysia yang eksklusif untuk bani Melayu tidak wujud. 

Malaysia tanpa Lim Kit Siang, tanpa Ramsamy dan tanpa Zakir Naik tidak wujud. Ini real politik.

Tanah Melayu ini saya gunakan agar kita dapat memahami secara jelas dan tuntas tentang konsep bangsa dan nasion. Juga untuk memahami kenapa politik kita, kenapa budaya kita, kenapa bahasa kita - seperti yang kita hadapi hari ini.

Apabila saya menggunakan – kita – ini bermakna sesiapa sahaja yang menganggap diri mereka Melayu.

Kenapa adanya Zakir Naik dan kenapa adanya Dong Zong? Ini bermakna kita wajib memahami susur galur dan salasilah sejarah kita sendiri. 

Tanpa memahami dari mana asal-usul kita maka kita tidak tahu kenapa kita di sini. Dan tidak tahu dari sini kita hendak ke mana.

Apa yang sedang saya garap ini dan saya lakukan ini sama seperti tindakan Beijing yang tidak mahu lagi dipanggil Peking.

Menolak pengunaan nama Canton untuk kembali kepada nama asal usul Kwangtung. Atau bani Sinhalese menolak nama Ceylon dan kembali ke nama asal Sri Lanka. Atau nama Burma dipadamkan dan dimasyhurkan nama Myanmar.

Sayugia diberi tahu bahawa ketika saya membesar dan masuk ke Sekolah Umum - arwah ayah saya seorang soldadu bertugas di wilayah yang jauh manakala arwah emak saya seorang guru bertugas di kampung. 

Ayah dan emak saya sering berutus surat cinta bertanya khabar. Antara adik beradik - sayalah yang bertanggung jawab mengambil surat itu dari abang posmen. 

Saya melihat surat ayah saya dialamatkan kepada emak saya: Zaleha binti Sidek - Sekolah Umum Batu Serambai, Ulu Klawang, Jelebu Negeri Sembilan, PTM.

Ada perkataan PTM di akhir alamat. Apa dia PTM ini? Abjad ini membawa makna Persekutuan Tanah Melayu. Khalas.

PTM ialah negara tempat saya dilahirkan, membesar, masuk sekolah sehingga tahun 1963 apabila perkataan PTM ini dilupuskan dan diganti dengan Malaysia.

Melupuskan PTM ini dilakukan oleh United Malays National Organisation – gerombolan politik yang ditaja dan dibina oleh kuasa penjajah Inggeris.

Seperti sering saya tulis dan paparkan bahawa Malaysia ini adalah projek kolonial Inggeris untuk mematahkan gerakan nasionalis kiri di Tanah Melayu, di Indonesia dan di Kalimatan. Bila saya tulis Tanah Melayu ini bermakna termasuk pulau Singapura.

Keputusan menukar nama Persekutuan Tanah Melayu ini tanpa rujukan dengan bani Melayu. 

Ini sama seperti tindakan Inggeris menukar nama Kwangtung menjadi Canton tanpa merujuk dan bertanya kepada anak watan China. Atau menukar Mumbai menjadi Bombay tanpa merujuk pandangan anak watan India.

Ini salah satu jenayah United Malays National Organisation. Mungkin ramai warga generasi hari ini tidak menyedari kewujudan PTM. Tidak sedar jenayah dan pembelotan gerombolan yang mengakui berfalsafah ketuanan Melayu.

United Malays National Organisation bukan saperti watan nasionalis India atau watan nasionalis China atau watan nasionalis Sinhalese. Anak watan dan nasionalis dari negara-negara ini merampas kembali sejarah nama tempat mereka. Ini identiti jati diri mereka.

Manakala United Malays National Organisation meski pun mengakui pejuang Melayu tetapi telah melakukan pembelotan dengan menukar nama negara ini dari Tanah Melayu ke Malaysia.

Langkah pembelotan untuk menukar nama Persekutuan Tanah Melayu ini – sap sap sui – no sweat. Ini adalah kesinambungan kerja penjajah Inggeris yang awalnya telah membawa masuk kaum pendatang dari Tanah Besar China dan India.

Semuanya dilakukan tanpa ada pungutan suara atau merujuk kepada anak watan Tanah Melayu. Ini fakta sejarah.

Kemasukan China dan India ke Tanah Melayu berlaku kerana kepentingan penjajah Inggeris. Sistem kapitalis memerlukan buruh untuk menjarah harta kekayaan. Memerlukan orang ramai sebagai pembeli pengguna. Justeru pendatang meluru masuk.

Ini tidak berlaku di Jepun, tidak berlaku di Korea dan tidak berlaku di Jawa atau di Sumatera. Di wilayah-wilayah ini ada hukum-hukum politik dan hukum ekonomi yang menolak kemasukan pendatang asing ke dalam negara masing-masing.

Wajib kita memahami apa itu negara bangsa? Apa itu nasion?

Nasion atau bangsa ialah satu kumpulan yang sama etniknya. Ini bermakna Jawa, Jakun, Jambi semuanya di takrif Melayu.

Sama budayanya. Sama bahasanya. Berkongsi sejarah. Berkongsi kepercayaan. Justeru nasion Melayu inilah yang melingkupi alam Melayu Nusantara.

Indonesia, Malaysia, Sabah, Sarawak, Brunei adalah konsep ciptaan penjajah. Sempadan dan wilayah ini bertujuan untuk mempermudah urusan tentera, pentabiran dan urus niaga kuasa kolonial.

Contoh terbaik ialah Singapura yang dicipta oleh penjajah Inggeris. Sama seperti Israel yang dicipta khusus untuk menghuru-harakan bumi Arab. Singapura dicipta khusus untuk menghuru-harakan bumi Melayu.

Hakikatnya bangsa Malaysia belum wujud. Hakikatnya bangsa Malaysia masih dalam proses pembuatan. Proses untuk mendirikan negara bangsa ini bukan satu yang mudah.

Masa menjadi pereka yang baik dalam satu era sebelum kesampaian moden. Adunan etnik, adunan bahasa, adunan sejarah berjalan secara natural bersama masa. Yang menjadi saksi dan pemangkin adalah masa dan sejarah itu sendiri.

Masa bukan hanya menjadi saksi malah menjadi pembina dan pembentuk nasion. Daripada Jakun, daripada Sakai masa membantu menjadikan proto Melayu. Dan akhirnya masa membantu kelahiran bani Melayu. Sahih terbukti pada satu era masa menjadi juru bina.

Hari ini, pada era pasca moden niat untuk mendirikan negara bangsa memerlukan bukan hanya masa. Malah dalam era pascamoden ini masa telah jauh ketinggalan peranannya. Pengadunan negara bangsa memerlukan lebih dari masa.

Fikrah diperlukan. Pemikiran dan pandangan rasional diwajibkan. Penganalisaan sejarah, sosiologi dan budaya wajib sentiasa ada ketika merancang proses pembinaan untuk mewujudkan negara bangsa.

Masa bukan lagi fakta. Dalam era internet untuk semua perkara (IOT) peranan masa telah berlalu. Internet telah memandulkan peranan masa.

Satu ucapan Zakir Naik akan menggelegakkan suasana. Satu kenyataan Dr Ramasamy atau Tony Pua akan menaikkan kemarahan bani Melayu.

Internet untuk semua perkara (IOT) kini boleh menjadi perosak penghalang pembinaan negara bangsa.

Atau internet untuk semua perkara (IOT) boleh juga membantu pembentukan negara bangsa. Atau bolehkan negara bangsa dibina di atas keruntuhan Kota Melaka. Atau di atas keruntuhan Kota Melaka kita dirikan negara bangsa.

Apakah semudah itu. Apakah peranan pendatang baru dan pendatang lama ke Tanah Melayu ini. Apa asasnya untuk mewujudkan negara bangsa.

Apa asas untuk mewujudkan bangsa Malaysia. Atau ini hanya retorik politik. Labun politik. Atau propaganda mengolah persetujuan untuk mendapat undi dan kuasa. Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.