Bantah UEC, bukan tulisan Jawi
Baru-baru ini negara kecoh apabila Dong Zong dan NGO Cina mahu membuat satu himpunan protes membantah cadangan agar pengenalan tulisan Jawi dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran subjek Bahasa Melayu darjah 4.
Dong Jiao Zong nafi akan berhimpun
Sedar atau tidak, Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) anjuran sebuah pertubuhan Cina iaitu Dong Zong sedang diteliti kerajaan sama untuk layak diterima untuk kemasukan ke institut pendidikan tinggi awam (IPTA) atau universiti awam.
Sebenarnya inilah (UEC) yang perlu dibantah habis-habisan oleh setiap lapisan rakyat Malaysia, bukannya tulisan Jawi.
Sebuah jawatankuasa yang bernama Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) telah ditubuhkan oleh kerajaan untuk 'mengkaji' perkara ini yang antaranya dianggotai oleh Dong Zong sendiri.
Sebenarnya, terlalu banyak kajian dan perbahasan telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk pakar-pakar dan tokoh-tokoh pendidikan. Rata-ratanya menolak dasar ini. Malah, ramai juga yang menolak terus sistem sekolah vernakular.
Pengenalan UEC secara ringkas
Dalam sistem pendidikan vernakular Cina di negara kita, secara umumnya terdapat dua jenis iaitu swasta dan kerajaan.
Sebelum merdeka lagi, sekolah-sekolah vernakular cina telah pun wujud di Tanah Melayu. Tidak lama selepas kemerdekaan, sekolah-sekolah vernakular ditawar agar masuk ke dalam sistem pendidikan kerajaan sejajar dengan Akta Pelajaran 1961 yang memperuntukkan agar sistem pendidikan kebangsaan wajib menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar untuk pembinaan sebuah negara bangsa yang bersatu-padu.
Namun, ada sebahagian sekolah Cina (melalui Dong Zong) menolak dasar ini dan mahu terus membawa haluan mereka sendiri, termasuklah sistem peperiksaan tertinggi sekolah menengah mereka yang kini dipanggil sebagai UEC.
Maka, UEC adalah satu sebuah sijil pendidikan menengah yang diberi kepada graduan kepada sistem pendidikan swasta Cina yang menggunakan silibusnya sendiri, yang berbeza dengan silibus arus perdana yang ditetapkan dan disusun oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Malah, bahasa pengantarnya adalah bahasa Cina.
Kini, UEC sudah pun diterima untuk memasuki universiti swasta atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS). Malah, banyak universiti-universiti negeri juga menerima sijil ini.
Jadi, mengapa pejuang-pejuang UEC terutamanya Dong Zong dan DAP terlalu rakus mahu UEC diberikan laluan ke IPTA pula? Tidak cukupkah ruang-ruang yang telah dibuka selama ini?
Bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
Pertama sekali, jika UEC diterima sebagai salah satu syarat kemasukan ke IPTA, maka ini adalah satu pelanggaran pada Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 152 yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Seperti yang disebut tadi, sistem UEC telah mengingkari semangat yang dibawa oleh Akta Pendidikan Kebangsaan yang pada asasnya adalah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan ini.
Apalah nilai bahasa kebangsaan apabila bahasa seharian di sekolah adalah bahasa Cina dan pembelajaran subjek-subjek di dalam bahasa Cina. Malah, bahasa kebangsaan hanya dipelajari dalam satu subjek sahaja, itu pun silibusnya jauh lebih mudah dari silibus subjek Bahasa Melayu arus perdana SPM.
Maknanya, ini sama sahaja seperti kita mengambil subjek bahasa lain seperti Sepanyol, Perancis, Jepun dan sebagainya di sekolah. Hanya akan tinggal sebagai sebuah 'bahasa asing'.
Subversif kepada sistem sedia ada
Mengiktiraf sistem UEC yang banyak percanggahan kepada sistem pendidikan nasional yang sedia ada akan merosakkan negara. Malah, merupakan subversif dan akan merosakkan sistem pendidikan negara.
Jika UEC diiktiraf untuk dijadikan syarat kemasukan ke IPTA, bermakna UEC dijadikan satu aliran alternatif dan ini menjadi satu ancaman kepada sistem yang sedia ada. Ini kerana sistem alternatif ini dikelolai oleh sebuah NGO yang bebas dari campur tangan kerajaan. Maka, mereka bebas melakukan apa sahaja termasuklah menentukan apa yang terkandung di dalam silibus dan tahap kesukaran dalam peperiksaan mereka.
Berbanding sekolah aliran kebangsaan, mereka berpeluang untuk belajar segala-galanya dalam bahasa ibunda mereka manakala jika di sekolah aliran kebangsaan, mereka perlu bersusah payah belajar dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Malah, aras dan tahap silibus Bahasa Melayu di dua sistem ini juga berbeza.
Itu belum lagi ditambah dengan keadaan sekolah yang serba kekurangan serta dasar kerajaan yang dilihat flip flop dalam dasar PPSMI. Maka, sistem UEC ini akan kelihatan lebih menarik dan menguntungkan, terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina yang akhirnya akan hanya meluaskan lagi jurang pergaulan antara kaum.
Tahap pembelajaran Bahasa Melayu yang berbeza
Beza yang amat ketara antara dua sistem ini ialah tahap pembelajaran subjek Bahasa Melayu. Di dalam sistem UEC, subjek Bahasa Melayu itu wujud tetapi tahapnya hanyalah 'bare minimum' berbanding dengan Bahasa Melayu di sekolah aliran kebangsaan. Dengan kata lain, Bahasa Melayu di dalam sistem UEC tidak lain tidak bukan hanya satu 'elementary knowledge' di mana mereka tidak dapat mempraktikkan dengan bertutur dalam bahasa tersebut sekurang-kurangnya di dalam waktu persekolahan kerana bahasa pengantar di sekolah adalah bahasa cina.
Ini adalah satu ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku kepada anak-anak Cina yang sanggup bersusah payah belajar di sekolah aliran kebangsaan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan pembelajaran.
Sistem antinasional
Adil jika kita sifatkan UEC sebagai sebuah sistem yang anti-nasional kerana sejak peringkat sehingga sekarang mereka menolak akta pendidikan negara. Ini terbukti kerana mereka masih berkeras mahu melaksanakan sistem pendidikan dan peperiksaan mereka sendiri dan malah sekarang mereka mahu memaksa agar sistem mereka ini diterima sebagai sistem yang setaraf dengan sistem kebangsaan.
Para pemimpin, pakar-pakar akademik dan pendidikan serta pelbagai pihak telah bertungkus lumus untuk merangka dan membangunkan sebuah sistem nasional yang meraikan semua kaum dan agama. Sistem UEC adalah eksklusif, di mana kebudayaan Cina menjadi roh dalam sistem mereka? Maka, apa gunanya kita merangka dan membina sebuah sistem yang meraikan semua jika akhirnya kita mahu memisah-misahkan sistem pendidikan kita?
Perkauman dan rasa diri lebih bagus
Saya sudah banyak berinteraksi dengan pejuang UEC ini dan malah dalam sebuah town hall yang membincangkan dasar ini baru-baru ini, sebenarnya hujah mereka kebanyakan akan berkisarkan "sistem aku lebih bagus".
Kemudian, saya sifatkan hujah "sistem aku lebih bagus" sebagai satu bentuk perkauman dan chauvanisme yang nyata. Jika sistem mereka betul-betul bagus mengapa tidak mahu bersama kerajaan untuk sama-sama berkongsi dan membangunkan sistem pendidikan kebangsaan. Namun, sebaliknya mereka hanya memaksa kerajaan untuk menerima sistem mereka dengan pelbagai tuntutan.
Nilai patriotisme yang luntur
Antara hujah popular pihak pejuang UEC ini ialah "China bakal menjadi sebuah kuasa besar dunia". Bunyinya agak lucu, tetapi inilah antara hujah terbaik mereka.
Asas hujah bahawa negara China bakal menjadi sebuah kuasa besar ini adalah sangat lemah serta menunjukkan lemahnya jati diri dan kesetiaan mereka terhadap negara Malaysia. Ini kerana sewaktu China tidak berkembang maju dulu pun mereka sudah berkeras menolak sistem pendidikan negara. Adakah ini hanya satu bukti bahawa mereka walak kepada negara China?
Ditambah lagi dengan silibus subjek sejarah mereka yang berbeza dengan silibus arus perdana. Di sini timbul persoalan, adakah mereka mahu menerima hakikat bahawa sejarah negara bermula sejak 2,000 tahun yang lalu iaitu sejak bermulanya ketamadunan Melayu di alam Melayu? Adakah mereka sanggup menerima hakikat bahawa sejarah negara kita ini penuh dengan kisah-kisah perjuangan pejuang pribumi yang telah menentang penjajah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi? Apakah yang mereka faham mengenai hakikat bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan?
Terdapat banyak lagi hujah yang membuktikan bahawa UEC tidak layak untuk menjadi sebuah aliran pendidikan alternatif, terutamanya untuk diterima sebagai kelayakan untuk ke IPTA yang mempunyai ruang yang terhad ini.
Namun, kita tunggu sahaja apa keputusan kerajaan mengenai isu ini. Adakah mereka akan mengambil kira semua fakta dan hujah ini, atau hanya akan mengikut nafsu serakah demi kepentingan politik mereka kerana telah berjanji dalam manifesto?
Masalah sebenar kita adalah Dong Zong. Mereka bantah warisan negara seperti tulisan Jawi dan mengajarkan sejarah Malaysia 'versi sendiri' tetapi pada masa yang sama, mereka memaksa kita menerima sistem pendidikan mereka setelah menolak sistem nasional. Ironi sungguh.
AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai