Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Keberahian Anwar - babak 2

Saya menyambung surah keberahian Anwar Ibrahim. Ramai pembaca merasa tak puas hati kerana surah pertama saya terputus. Sebenarnya bukan sengaja saya putuskan. 

Saya berbuat sedemikian kerana budaya menulis dalam portal juga ada hadnya. Jika terlalu panjang tulisan pembaca akan menjadi peniaga buluh kasap – ujung hilang pangkal lesap.

Saya akui anak semua bangsa amat tertarik dengan keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri menggantikan Mahathir. 

Sebenarnya tulisan saya mengenai keberahian Anwar Ibrahim ini bukan satu yang baru. Keberahian ini menjadi ‘hot’ semenjak kemenangan Pakatan Harapan malam 9 Mei 2018 dahulu.

Seawal tahun 2013 saya pernah menulis tentang keberahian Anwar Ibrahim. Sila rujuk Malaysiakini. Pada 12 September 2013 saya ada menulis satu artikel bertajuk – Apa dia 2 September?

Temu bual majalah Times

Sejarahnya begini: Satu tahun sebelum Anwar dibuang dari United Malays National Organisation (Umno) saya telah ditemu bual oleh Ketua Pengarang majalah Times edisi Asia, John Comley. Temu bual ini muncul dalam majalah Times keluaran 6 Oktober 1997. Wajah Anwar Ibrahim menjadi hiasan kulit majalah.

Saya ditanya oleh ketua pengarang Times tentang keberahian Anwar Ibrahim. Di bawah ini saya pungut kembali apa yang telah berlaku dalam temu bual itu dan apa yang telah saya rakamkan pada 12 Septembar 2013 yang diterbitkan oleh Malaysiakini.

Sebelum tamat temubual tuan pengarang telah meminta saya meramalkan apakah Anwar akan menjadi perdana menteri Malaysia. Saya tidak menjawab dengan segera. Lalu si John ini mengulangi katanya.

"Mister Rais, let's take a bet would Anwar be the next prime minister?" Saya senyap tidak menjawab. Tuan Pengarang meneruskan lagi "Let's bet a house..."

Saya menerangkan yang saya tidak ada rumah. Dengan cepat tuan pengarang menyampuk "your mum's house."

Nah, ertinya kami bersetuju untuk bertaruh. Saya dengan rumah arwah ibu saya di Jelebu. Tuan Pengarang Times dengan rumahnya entah di mana.

"Mister Comley... Anwar has lots of political enemy, therefore he is not the next prime minister." Dalam bahasa Melayunya saya berkata "Tuan Comley, si Anwar ini banyak musuh politik saya yakin dia tidak akan menjadi perdana menteri".

Inilah jawapan yang saya berikan secara jujur kepada pengarang majalah Times. Ini lebih satu tahun sebelum 2 September 1998. Yang lainnya telah menjadi sejarah.

Hari ini keberahian Anwar Ibrahim semakin membuak-buak. Malah pada hemat saya keberahian si Anwar ini telah membajak agenda reformasi. 

Keberahian si Anwar hendak menjadi perdana menteri ini telah dijaja ke hulu ke hilir hinggakan menjadikan anak semua bangsa bosan muntah politik.

Perjuangan anak semua bangsa dan para reformis untuk membuka ruang demokrasi diganggu. Agenda reformasi menjadi corot.

Akibatnya anak semua bangsa di Malaysia telah dikepong dan dipaksa menerima keberahian Anwar ini sebagai agenda utama. 

Keberahian Anwar dijadikan pedoman dan teraju politik Malaysia. Agenda perubahan struktural dan agenda reformasi terpinggir.

"Bila Anwar jadi PM nanti semua boleh selesai. Hujan emas dan hujan Musang King setiap bulan."

"Saya sebagai YB…. saya sebagi senator…. saya sebagai menteri sekarang buat senyap-senyap nanti bila Anwar jadi PM baru saya akan keluarkan segala rancangan kebajikan untuk rakyat. Kalau buat sekarang Mahathir akan dilihat baik."

Inilah mantera sulit yang sesekali kita dengar apabila menteri ditanya kenapa senyap badak dalam parlimen dan kenapa pak menteri tak ada inisiatif baru untuk rakyat.

Semenjak 9 Mei 2018 – babak- babak politik di Malaysia adalah manifestasi dari keberahian Anwar Ibrahim. 

Secara hitam putih saya telah menyatakan bahawa hampir setiap minggu, hampir setiap bulan persoalan keberahian Anwar Ibrahim ini muncul. Tidak habis-habis. Tidak putus-putus persoalan apakah Anwar akan jadi perdana mentari sesudah Mahathir dibincangkan.

Dari warung Mek Ngoh ke restoran Mamak, ke portal berita, ke kumpulan Watapps, ke dewan kuliah – persoalan apakah Anwar Ibrahim akan dapat kerusi Mahathir digebangkan.

Pada 29 Julai 2019 persoalan keberahian Anwar muncul lagi apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang meminta agar Mahathir terus menjadi perdana menteri tanpa diganggu-gugat. Azmin Ali masuk semangkuk dengan memberi komen positif tentang kenyataan pemimpin PAS ini.

Jeng jeng jeng.

Seperti tiupan sangkakala telah sampai – segala rangka dan segala jembalang dari pelbagai pelusuk bangun membodek. Ops, bangun bersuara.

Watak-watak YB Abdullah Sani muncul senada bertempik dan melaungkan janji Mahathir. Janji Mahathir dua tahun. Janji Mahthir dua tahun. Dua tahun janji Mahathir menjadi mantera. 

Para pengikut YB Abdullah Sani beratip tanpa tasbih dengan mulut berbuih-buih menyebut dua tahun, dua tahun, dua tahun. Amin.

Pengikut ajaran mazhab YB Abdullah Sani yakin perjanjian Mahathir adalah muktamad. Mahathir akan berundur dalam masa dua tahun. Kerusi Mahathir akan diberikan kepada Anwar Ibrahim.

Bayangkan seawal 1973 lagi saya telah mendengar keberahian Anwar Ibrahim ini. Seawal 1973 saya telah terjumpa watak Abdulah Sani.

"Wahai Hishamuddin Rais seawal tahun 1973? Kamu biar betul? Kamu jangan buat fitnah. Kamu jangan fitnah Abam. Kamu ini dah kena dedak Atok. Dah jadi macai Azmin Ali..."

Tidak. Bukan dedak dan bukan macai. Ini sejarah. Babak keberahian Anwar pada tahun 1973 ini telah beberapa kali saya surahkan kepada kawan-kawan yang rapat. Tapi kali ini sejarah mewajibkan saya merakamkan sebagai bahan sejarah kepada umum.

Pada Oktober 1973 dunia gempar. Perang Arab-Israel pecah. Yahudi memanggil Perang Yum Kippur. Warga Arab memanggil ini Perang Ramadan. Ini kerana ia bermula dalam bulan Ramadan 6 Oktober 1973 dan tamat pada 26 Oktober.

Sebagai setiausaha agong Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) saya mengadakan sudut pidato pada pagi Sabtu 13 Oktober. Saya menghasut anak mahasiswa semua bangsa untuk menyokong perjuangan adil rakyat Palestin.

Akhirnya – lebih 500 orang siswa-siswi Universiti Malaya (UM) turun berdemo anti-Amerika di hadapan kedutaan Amerika Syarikat dalam bangunan AIA di Jalan Ampang.

'Anwar belot'

Demo mahasiswa penyokong rakyat Palestin dari UM telah diserang oleh gerombolan FRU. Bertempiaran kami lari.

Pada 16 Oktober sekali lagi satu demo yang besar disusun. Kali ini melibatkan pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan dari Institut Teknologi Mara (ITM). 

Hampir lima ribu kami bersetiakawan dengan perjuangan Palestin. Demo kami diawasi oleh polis. Pegawai polis yang bertugas pada hari itu ialah ASP Yahya – telah arwah.

Dari bangunan AIA kami bergerak ke Lincoln Center. Ini pusat budaya Amerika Syarikat. Kami menuntut pusat ini ditutup. 

Tiba-tiba menteri dalam negeri ketika itu, Ghazali Shafie datang ke hadapan Lincoln Center. Menteri berucap dari atas buntut kereta dengan menggunakan pembesar suara. 

Ghazali Shafie meminta pelajar bersurai.

Ketika ini saya berada di kawasan belakang bangunan. Bagi saya Anwar telah belot. Anwar telah memecahkan demo dengan membawa pelajar bersembahyang ke Masjid Negara. Ini menepati permintaan Ghazali Shafie.

Pada pagi Isnin 22 Oktober 1973 dilaporkan sebuah bom telah meletup di pusat membeli belah Robinson di Jalan Tun Perak – betul betul di sebelah Lincoln Center. Keadaan dan suasana politik menjadi tegang.

Dua hari kemudian saya dicari oleh polis. Bukan untuk ditangkap tetapi untuk dibawa bertemu perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein. 

Saya meminjam baju batik lengan panjang milik arwah Yunus Ali dan kasut kulit dari arwah Hamzah Kassim untuk dilihat bersopan.

Adi Satria dari Kolej Kelima UM menghantar saya dengan motosikal ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka di mana Abdullah Majid, setiausaha politik Tun Razak mengambil saya dalam kereta Volkswagen puteh.

Saya dibawa ke rumah Ghazali Shafie di wilayah Bellamy. Di sana telah ada pemimpin-pemimpin pelajar dari ITM dan UKM. Anwar Ibrahim dan Omar Jaafar – kini Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka - ada bersama. Kami berbuka puasa di rumah Ghazali Shafie.

Tiba-tiba ASP Yahya membentangkan sepanduk kain rentang bertulis – PKM menyokong perjuangan raayat Palestin.

Menurut ASP ini adalah kain rentang Parti Komunis Malaya ditemui di bangunan Robinson yang telah mereka bom.

"PKM telah mengambil kesempatan demo kamu. Ini bahaya," kata ASP Yahya kepada saya.

Kaum kiri eja rakyat guna K

Tetapi propaganda ASP Yahya ini kantoi-mantoi. Kaum kiri telah lama tidak lagi menggunakan dua A untuk mengeja perkataan raayat. Kaum kiri mempelopori penggunaan K untuk mengeja rakyat

Jelas ini perang saraf polis dan SB agar kaum pelajar jangan turun ke jalan raya. Ini jelas kain rentang buatan SB.

Malah bom di Robinson pun meletup awal pagi. Tidak ada siapa yang terdengar. Gambar dalam NST memperlihatkan cermin dinding yang pecah agak terlalu manja sehinggakan badan kucing pun tak boleh melintasi lubang yang pecah. Amin.

Dari rumah Ghazalie Shafie kami berangkat ke Sri Taman, rumah rasmi Tun Razak. Ketika kami sampai Tun Razak tidak ada di rumah. Kami dibawa ke ruang lapang. Semua pemimpin pelajar duduk seperti dalam parlimen.

Cuma kerusi tuan speaker masih kosong. Saya di bahagian hadapan di sebelah ASP Yahya. Ghazali dan Abdullah Majid ada sama. Anwar, Ibrahim Ali dan Omar Jaafar duduk sebaris.

Tiba-tiba Tun Razak sampai dengan pengawal peribadi. Dia memakai bush jacket.

"Maaf leh ye, saya terlambat. Ada hal tadi di Ipoh. Ada kemalangan. Lombong pecah." Saya masih ingat lagi tutur Tun Razak pekat dengan loghat Pahang telah memulakan perbualannya. Cuma Tun Razak tidak menggunakan kata ganti nama diri kawan dan koi.

"Lombong dekat Ipoh pecah kerna hujan lebat. Kena lawat di sana… ada kematian…."

Tetiba terdengar suara balas berloghat Kelantan. 

"Susoh la ye jadi PM ni… sebuk… di sini ada orang nak jadi PM… tu Anwar."

Keberahian Anwar terpancut bukan dari mulut Ibrahim Ali. 

Ia keluar dari mulut Hanapi Majid dari Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. 

Bayangkan seawal 1973 lagi telah wujud watak Abdulah Sani. Sahih watak Abdullah Sani ini bukan watak baru. Watak ini berani bercakap tapi bebal.

Saya memerhatikan muka Anwar yang tidak tahu ke mana hendak disorokkan kerana berahinya telah terbongkar. 

Yang membongkarkan ialah Hanapi Majid aka Abdullah Sani senior – kaki bodek dari persatuan mahasiswa Islam UM.

Anwar memandang ke bawah salah. Memandang ke depan salah. Berahinya telah kantoi. Anwar terbogel di hadapan Tun Razak perdana menteri pada waktu itu. Bayangkan betapa malunya keberahian Anwar. Kah kah kah.

"Kamu tulis apa?" ASP Yahya bertanya kepada saya yang sedang mengambil nota perbualan.

"Jangan tulis," Ini arahan polis kepada saya pada malam itu.

Babak sejarah ini telah berlalu selama 46 tahun. Kini Anwar Ibrahim telah menjadi Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Selama 46 tahuan ini, Anwar telah menyimpan berahi untuk menjadi perdana menteri. Pertanyaan dari ketua pengarng majalah Time datang bekali-kali kepada saya.

"Mister Rais… will Anwar Ibrahim be the next prime minister after Mahathir?"

Saya masih mencari John Comley untuk mendapatkan rumah yang telah saya menang dalam pertaruhan 1997. 

Siapa ingin bertaruh sila masukan duit pertaruhan. Gadai apa yang patut. Tunggu minggu depan untuk jawapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.