Amanat cai
Cukuplah peristiwa gugurnya setandan pimpinan secara serentak dalam suatu pemilihan empat tahun menjadi pengajaran. Sayangnya sejarah tersebut tiada dalam kamus pemikiran anggota Amanah yang pelbagai itu, terutama dalam kalangan yang menyertai parti selepas PH menawan Putrajaya pada 2018.
Maka mereka yang baru berusia setahun jagung mengorak langkah gagah. Mereka meredah adab dan kesusilaan bersiasah. Demokrasi difahami hanya dari persoalan angka. Sesiapa yang mempunyai angka besar bolehlah mendakwa memiliki kuasa.
Sedangkan demokrasi bukanlah semata-mata itu. Demokrasi juga membabitkan soal keadilan, kesejahteraan dan faedah yang dinikmati bersama.
Sayangnya persoalan-persoalan tersebut kurang dititikberatkan terutama dalam kalangan ahli politik yang tinggi angan impiannya.
Dalam sistem demokrasi, rakyat - atau pengundi - dikatakan mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin. Itulah yang disebutkan sebagai "kuasa rakyat".
Rakyat atau orang awam berasa megah dan hebat kerana kuasa yang kononnya milik mereka.
Hakikatnya "kuasa rakyat" hanya tertera dalam buku atau nota-nota di universiti. Rakyat atau pengikut adalah alat paling ampuh untuk mendapat kuasa.
Dalam politik sebenar, rakyat atau pengikut tiada kuasa mutlak bagi menentukan pemimpin mereka. Sebaliknya rakyat atau pengikut terpaksa memilih antara pilihan yang ditentukan oleh unsur-unsur yang ada dalam sistem.
Acuh tak acuh
Unsur-unsur tersebut boleh dimanipulasikan oleh mereka yang mempunyai keinginan memperolehi faedah daripada unsur-unsur tersebut.
Antaranya, penggunaan 'cai' menjelang hari pemilihan.
Cai adalah senarai calon yang dicadangkan untuk disokong atau sebaliknya. Oleh kerana sebahagian pemilih tidak mengenali calon-calon yang bertanding, cai ini membantu mereka untuk membuat pilihan.
Pihak yang menyediakan cai mempunyai agenda mengatur organisasi agar mengikut kepentingan mereka. Pemilih yang malas berfikir dan membuat penilaian secara objektif, biasanya tanpa soal hanya memilih berasaskan cai yang disediakan.
Malas berfikir dan tiada keinginan membuat penilaian secara objektif lahir dari sifat tidak serius, acuh tidak acuh dan ketiadaan idealisme perjuangan. Dalam benaknya hanya perut dan tembolok sendiri yang dipentingkan.
Sesetengahnya bukanlah kerana perut dan tembolok sebaliknya didorong jiwa tanpa semangat, emosi dan juga akibat doktrinisasi yang merosakkan deria kebijaksanaan. Ia hanya mengikut navigator yang disediakan.
Amanah yang lahir daripada perpecahan PAS mempunyai unsur yang diwarisi dari tembuni asalnya. Secara politiknya, keadaan ini tentulah cuba dinafikan oleh kedua-dua pihak yang saling menganjingkan.
Bahkan kewujudan Amanah sendiri adalah sesuatu yang lahiriah dalam sistem demokrasi.
Semangat berpuak-puak wujud dalam semua masyarakat. Itu adalah sifat semula jadi masyarakat. Yang dilarang adalah semangat berpuak melampau.
Islam menganjurkan kesederhanaan. Semasa Nabi Muhamad SAW berhijrah ke Madinah, wujud golongan Muhajirin dan Ansar. Kedua-dua golongan atau puak ini disatukan oleh Muhamad sehingga membentuk kekuatan Islam.
Dalam keadaan kritikal, kadangkala semangat berpuak-puak akan terpancut keluar. Sewaktu kewafatan Nabi Muhamad SAW dan Sayidina Ali mengurus pengkebumian baginda, sebahagian sahabat berhimpun di Bani Saqifah bagi memutuskan siapa yang akan memimpin umat selepas ketiadaan nabi.
Nak kembali ke jahiliah
Ketika itu, para sahabat berbincang dan butiran perbincangan awalnya - secara bawah sedar - timbul istilah Ansar dan Muhajirin yang wajar menggantikan tanggung jawab kepemimpinan pada masa itu.
Keadaan dapat diselamatkan apabila Sayidina Umar al-Khattab memberi baiah kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah.
Baiah tersebut kemudian diikuti oleh semua yang hadir.
Begitulah peristiwa selepas Perang Bani Mustaliq. Berlaku fitnah ke atas isteri Muhammad, iaitu Aishah RA.
Ketika itu berlaku salah faham dalam kalangan sahabat. Sentimen assabiyah dan perbezaan latar di antara Muhajirin dengan Ansar pun terpacul keluar.
Muhammad menegur dengan bersabda: "Apakah kamu hendak kembali ke zaman jahiliyah, sedangkan aku masih bersama dengan kamu?".
Sentimen perpuakan sebegitu hanya merosakkan organisasi.
Baca Firaun dan Qarun bertopeng PH
Perpuakan boleh wujud melalui persamaan unsur-unsur yang mengikat sesuatu kelompok. Mungkin unsur itu adalah faktor negeri, bangsa, agama, universiti, jemaah asal, pengalaman bersama, pendekatan dan sebagainya.
Persamaan tersebut dipersembahkan dalam pelbagai bentuk seperti slogan yang kelihatan seperti bersifat universal dan berjiwa besar.
Slogan-slogan dalam politik adalah satu bentuk strategi pemasaran pengaruh. Ia adalah tentang promosi dan propaganda.
Pengikut yang singkat pemikirannya akan terpengaruh dengan iklan-iklan politik yang ditawarkan. Dalam keadaan begitu mereka tidak lagi mengambil kira aspek kualiti kepemimpinan yang sewajarnya menjadi keutamaan dalam memilih pemimpin.
Situasi ini wujud dalam semua organisasi.
Oleh kerana mauduk artikel ini ialah tentang Amanah, bukanlah bermakna parti-parti lain tiada isu yang serupa. Parti mana, dan apa jua organisasi masyarakat mempunyai akan memiliki tabiat yang lebih kurang sama.
Ini adalah persoalan pemikiran masyarakat Melayu yang masih dikuasan ‘minda tertawan’.
Istilah ‘minda tertawan’ merujuk kepada ketidakupayaan seseorang berfikir secara kendiri, kurang mengkaji, lebih suka mengekori dan hanyut mengikut arus.
Ada nilai-nilai kepandiran yang naif dan lurus bendul walaupun di sana sini memang wujud kejujuran dan keikhlasan.
Dua kutub berbeza
Sistem pemilihan tampuk kepimpinan dalam Amanah lebih kurang sama dengan sistem koperasi. Sistem begitu dapat mengelakkan organisasi dikuasai oleh sesuatu puak atau rejim.
Sistem begini menjadikan Amanah lebih demokratik.
Namun idea inklusif dibawa Amanah membuka ruang seluas-luasnya untuk puak-puak Qabil - atau kelompok berkepentingan - menyusup dalam kerangka organisasi.
Setelah puak Qabil berkuasa, kelompok Habil yang ikhlas berjuang akan dibunuh tanpa rasa bersalah.
Perbahasan puak Qabil dan Habil telah saya huraikan dalam dua artikel sebelum ini.
Perlu diingat, Habil dan Qabil, kedua-dua adalah putera Nabi Adam AS. Kedua-dua pihak akan mengatakan bahawa mereka adalah saudara sedarah daging.
Hakikatnya, mereka adalah mewakili kutub masyarakat yang berbeza sama sekali.
Dalam konteks organisasi seperti parti, perpuakan yang ada masih dalam kerangka organisasi. Namun jika perpuakan itu melewati batas rasional, tunggulah saja saat kerosakan organisasi.
Apabila pertembungan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan organisasi, ia membawa makna persaudaraan dan kesetiakawanan akan terusir dari dalam diri.
Cai bukan panduan memilih pemimpin, sebaliknya ia mekanisme mencabut kebijaksanaan ahli membuat penilaian kualiti kepimpinan secara lebih objektif.
Cai adalah petanda bahawa pemimpin memiliki pengikut yang tidak berkualiti. Kerja pengikutnya hanya tukang angguk dan tukang kipas.
Negara tidak boleh dibina oleh pemimpin yang memiliki sejuta tukang kipas dan tukang angguk!
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai