‘Perpaduan ummah’ melalui pemerkasaan ekonomi umat Islam
Kita sering dimomokkan dengan doktrin bahawa penyatuan orang Melayu hanya melalui kerjasama antara parti-parti politik Melayu, spesifiknya antara PAS dan Umno. Hakikatnya, andai kata pakatan politik ini berjaya ‘menawan’ negara pada PRU-15, apakah isu-isu melibatkan orang Melayu akan selesai?
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk Malaysia yang beragama Islam ialah kira-kira 69 peratus pada tahun 2019. Ini bermakna umat Islam terutamanya orang Melayu mempunyai potensi kuasa yang sangat besar dalam pelbagai perkara. Jika mereka bersatu, maka mereka akan mendominasi perkara tersebut.
Ya, benar. Dalam konteks politik, jika orang Melayu bersatu padu menyokong satu pakatan politik, maka koalisi itulah yang akan menang.
Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa “perpaduan ummah” perlu lebih mencengkam kuat di akar umbi atas paksi kepentingan umat secara keseluruhannya. Salah satu caranya ialah menyatukan orang Melayu melalui ekonomi.
Mungkin ini salah satu benteng penyelamat kepada penyatuan orang Melayu jika gabungan PAS dan Umno retak semula seperti mana yang pernah berlaku satu ketika dahulu.
Kita semua sedar bahawa taraf ekonomi orang Melayu sedang jauh ketinggalan di belakang masyarakat Cina dan India. Pendapatan purata isi rumah orang Melayu juga jauh ketinggalan.
Malah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Hatta Ramli dalam kenyataannya baru-baru ini berkata majoriti syarikat di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dimiliki oleh usahawan bukan bumiputera walaupun hampir 70% populasi Malaysia adalah bumiputera.
Kemarahan orang Melayu mengenai isu “Mandarin speaking only” sebagai syarat pekerjaan di banyak syarikat swasta adalah bukti yang paling jelas bahawa orang Melayu sedang tertekan. Selain itu, apabila ‘Kempen Beli Produk Muslim’ dilancarkan, majoriti orang Melayu menyokong dan menyahutnya tanpa berbelah bahagi. Jadi, sentimen ekonomi adalah sangat penting dan relevan untuk dijadikan perjuangan masyarakat Melayu yang menyatupadukan mereka selepas politik.
Perjuangan ini sepatutnya diterajui oleh NGO kerana majoriti orang Melayu yang sebenarnya pengundi atas pagar dan tidak mempunyai keahlian kepada mana-mana parti politik.
Ini ditambah lagi dengan alergiknya mereka ini kepada mana-mana pengaruh politik.
Isu ‘Mandarin speaking only’ akan selesai
Kini, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) sudahpun ada lebih 300 NGO Islam bernaung di bawahnya. Kita ada kepakaran dalam isu ini kerana banyak NGO dan individu-individu yang aktif memperjuangkan isu-isu ekonomi umat Islam sedang bersama dengan Ummah.
Buat yang masih belum bersama, kami mengajak untuk sama-sama menjayakan agenda ini.
Baru-baru ini, kita baru sahaja menandatangani sebuah perjanjian usaha sama antara Ummah dan beberapa koperasi-koperasi Islam dalam merancakkan lagi kempen Beli Produk Muslim yang telah kami lancarkan beberapa bulan lepas.
Ini selari dengan hasrat Ummah untuk menyatupadukan koperasi-koperasi dan usahawan-usahawan Muslim dari segi gerak kerja serta strategi dalam memasarkan produk-produk keluaran Muslim sekali gus memperkasakan ekonomi umat Islam.
Saya pasti usaha ini bukanlah mudah tetapi jika berjaya, kita bakal saksikan satu gelombang kebangkitan ekonomi Melayu yang dahsyat. Sudah pasti kekuatan ekonomi Melayu ini akan mempengaruhi segala tindak-tanduk kerajaan, tidak kira parti mana sekalipun yang memerintah. Semua ini akan menyumbang kepada kekuatan tawar-menawar politik dan hegemoni orang Melayu yang akhirnya mengangkat maruah dan martabat orang Melayu dan Islam itu sendiri. Saya pasti, isu-isu seperti Mandarin speaking only akan selesai. Malah, cengkaman dan monopoli kapitalis-kapitalis juga akan semakin lemah.
Oleh itu, saya pasti dan optimis jika semua pihak bekerjasama, saling tolong-menolong dan memainkan peranan masing-masing, orang Melayu sukar dipecahbelahkan oleh ikatan politik yang sangat rapuh. Seperti yang selalu kita dengar, “apa-apa sahaja boleh berlaku dalam politik”.
Maka, orang Melayu perlukan satu lagi wasilah penyatuan, iaitu ekonomi.
AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai