Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘Perpaduan ummah’ Dr M – satu renungan

Apabila Dr Mahathir Mohamad menyeru orang Melayu agar bersatu demi kepentingan bangsa, ramai pemimpin-pemimpin politik baik dari kerajaan mahupun pembangkang menjadi kelam kabut.

Bagi pemimpin kerajaan, mereka bimbang akan kemasukan ahli-ahli parlimen Umno ke dalam Bersatu yang akan menjadikan parti berkenaan dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

Sudah pasti kuasa DAP dan PKR dalam PH akan tergugat yang akhirnya menyebabkan susah untuk mereka menuntut dan mendesak ‘hak-hak’ mereka dari Mahathir.

Mungkin juga akan berlaku rombakan kabinet yang menyebabkan mereka akan terpinggir diganti oleh ahli-ahli parlimen Bersatu.

Agenda mereka untuk merampas kepimpinan negara akan gagal. Sebab itu kita lihat mereka terlompat-lompat keresahan menyanggah saranan Tun ini.

Bagi pihak pembangkang (Umno dan PAS) pula, ia hanyalah dilihat satu strategi Tun untuk memecahkan program ‘perpaduan ummah’ yang berlaku antara mereka.

Sehingga kini, mereka seolah-olah mendapat nafas baru apabila program perpaduan ini mendapat sambutan luar biasa dari semua pihak.

Ceramah demi ceramah telah berjaya dianjurkan dengan kehadiran ribuan manusia sangat membimbangkan pemerintah.

Mengikut perkiraan undi pada PRU14 yang lalu, jika perpaduan ini dapat dikekalkan, maka peluang untuk Umno dan PAS merampas kembali kerajaan adalah besar.

Tetapi mereka lupa, PH tidak ‘naif’ semudah itu. Jangan ingat ia boleh berlaku dengan mudah.

DAP sudah masuk ke surau-surau dan masjid, melantik pemuda dan pemudi di kalangan orang Melayu, membuka cawangan di Kelantan dan pelbagai lagi strategi untuk memecahkan pengundi Melayu.

Beberapa pemimpin Umno dengan tegasnya menyatakan keengganan mereka untuk bersatu-padu dengan Bersatu terutamanya apabila ada DAP dalam koalisi politik mereka iaitu PH.

Namun agak menarik apabila ada dia tiga orang pemimpin Umno yang menyatakan sikap terbuka mereka terhadap pelawaan Tun itu. Apakah mereka ada niat untuk ‘bermigrasi’?

Itu satu misteri yang mereka saja ketahui tetapi telah jelas menampakkan bahawa Umno berpecah dalam soal ini. Sudah pasti pimpinan PAS juga bimbang dengan perkembangan ini.

Doa, harapan, buah mulut

Bagi rakyat terutama orang Melayu, perpaduan pemimpin-pemimpin Melayu sememangnya menjadi doa, harapan dan buah mulut mereka pada setiap hari. Orang Melayu sudah muak melihat perpecahan yang berlaku.

Kebimbangan bahawa hak mereka dan agama Islam akan terhakis kini menjadi kenyataan. Sedikit demi sedikit keistimewaan orang Melayu dan kedaulatan agama Islam mula dirobek-robek.

Orang Melayu tidak lagi sanggup menunggu lagi empat tahun untuk mengundi kembali kerana dalam empat tahun lagi seribu satu macam perkara boleh berlaku.

Kita dimaklumkan ada 100 Akta yang akan dipinda yang mungkin menjejaskan kedudukan Melayu dan Islam.

Mereka telah cuba beberapa perkara tetapi alhamdulillah rakyat berjaya menghalang seperti Icerd dan Statut Rom.

Namun mereka tidak akan berhenti mendesak demi kepentingan kaum dan kelompok mereka. Persepadanan semula, pilihan raya PBT, pemansuhan hukuman mati dan Akta Hasutan adalah antara agenda terdekat mereka.

Cuma persoalannya:

  1. Adakah Tun benar-benar ikhlas mahu menyatukan orang Melayu?

  2. Bukankah Tun sendiri yang memecahkan Melayu dengan menubuhkan Bersatu?

  3. Jika semua parti Melayu (Umno, PAS dan Bersatu) bergabung dalam satu gabungan baru, apa akan jadi pada PH? Bolehkah PKR dan DAP menerimanya?

Saya tidak ada jawapan kepada peroalan-persoalan ini. Sukar untuk kita menjangkakan apa yang sedang difikirkan oleh Tun.

Namun, bukanlah sesuatu yang mengaibkan atau salah untuk pemimpin-pemimpin Melayu duduk semeja dan berfikir sejenak secara mendalam tentang seruan Tun ini. Sudah pasti di sana ada keburukan dan kebaikannya yang harus ditimbangi.

Ada liku-liku yang harus ditempuhi terutama dalam meyakinkan rakyat bahawa ia akan membawa kebaikan kepada Melayu dan Islam.

Bagaimana merawat perasaan orang Melayu yang telah dihina dan dilekehkan oleh Tun sebelum ini?

Apakah gurisan ini mampu ditampung atau darahnya akan terus menitis di jiwa dan sanubari orang Melayu?

Tetapi bak kata orang, tidak ada yang mustahil dalam politik. Ia boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan suasana. Cuma kadangkala ego dalam diri dan ingin menjadi ‘juara’ menyebabkan pemimpin politik gagal untuk bersatu-padu.

Usia senja 94 tahun

Maslahat diri dan ahli keluarga menjadi keutamaan, bukannya agama dan bangsa. Akhirnya, fikiran tidak dapat digunakan secara waras dan matang yang akhirnya menyebabkan kebenaran gagal dilihat dengan keinsafan.

Di usia senja 94 tahun, sudah pasti Tun tidak mahu beliau dicatit dalam sejarah sebagai ‘pemecah bangsa Melayu’.

Orang Melayu tidak akan mengampunkan beliau jika beliau pergi dalam keadaan nasib orang Melayu dihina dan dikeji bangsa lain.

Jika ini berlaku, saya yakin 1,000 tahun lagi anak cucu orang Melayu akan terus mencemuh beliau.

Tetapi untuk menjayakan perpaduan Melayu ini ia memerlukan ‘political will’ yang tinggi dan saya lihat hanya Tun saja yang mampu melakukannya.

Jika dunia tergamam melihat Tun berpelukan dengan Lim Kit Siang, apakah Tun tidak boleh sekali lagi mengejutkan dunia dengan kembali ke tempat asal usulnya bersama dengan orang Melayu dan meninggalkan musuh ketatnya itu?

Ini satu renungan untuk pemimpin-pemimpin Melayu!


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.