Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bersedialah untuk Reformasi 2.0

Semenjak dua minggu yang lepas negara digemparkan dengan satu lagi adegan video yang dikatakan membabitkan seorang menteri. Maka riuhlah segala media samada media sosial, akhbar-akhbar utama negara mahupun siaran berita di televisyen. Di restoran, pejabat dan warung-warung tidak terlepas perbualan tentang isu ini. Rata-rata rakyat menzahirkan rasa kesal, kecewa dan mual dengan budaya politik bankrap yang sudah berlarutan selama lebih 20 tahun.

Namun di sebalik drama ini, tersimpul satu ‘peperangan dingin’ yang sebenarnya sedang berlaku. Ia tidak melibatkan menteri dalam video berkenaan tetapi dua orang pemimpin negara yang semua sudah maklum. Watak-watak di dalam video berkenaan bukanlah sebenarnya yang menjadi isu utama tetapi mereka ini tidak lebih hanya menjadi percaturan kepada ‘perang dingin’ ini. Mat Sabu kata, jika dua ekor gajah bergaduh maka rumput di tengah-tengah akan mati. Tetapi dalam konteks ‘perang dingin’ ini bukan rumput yang mati tetapi nampaknya ‘gajah muda’ akan mati.

Anwar Ibrahim ketika menggerakkan Reformasi 20 tahun lalu

Tetapi gajah muda kali ini tidak sebodoh 20 tahun dahulu. Gadingnya sudah semakin panjang, belalainya sudah semakin kuat, tubuhnya juga sudah semakin sasa. Maknanya, tidak muda untuk si gajah tua mengalahkannya kali ini. Dulu, si gajah muda duduk di luar gelanggang tetapi sekarang mereka sama-sama dalam gelanggang. Sudah pasti silatnya akan menjadi semakin lincah dan licik.

Namun, si gajah muda juga lupa bahawa si gajah tua kini semakin matang dan kematangan ini membuatkan si gajah tua ini menjadi semakin gila. Kegilaan ini sukar untuk dibaca sehingga teman-teman yang rapat juga kebingungan dalam membaca strategi yang digunakan. Sehingga ke hari ini tidak ada siapa yang boleh menjangka apakah langkah seterusnya yang bakal dilakukan oleh si gajah tua, termasuk si gajah muda.

Kalau kita lihat, ilmu dan strategi yang digunakan oleh si gajah tua memang boleh membuatkan si gajah muda mati dan terus berputih mata. Ketamakan si gajah muda tidak mampu menyaingi kegilaan si gajah tua kerana politik adalah mengenai kuasa dan kuasa itu ada pada si gajah tua. Jika semuanya berjalan lancar, si gajah tua akan mudah menguasai parlimen dengan mendapat kuasa majoriti tanpa memerlukan ‘puak’ gajah muda. Saya menjangkakan kumpulan gajah tua akan mampu mendapat sekitar 116 kerusi untuk terus memimpin gabungan baru. Si gajah muda dan konco-konconya harus bersedia menerima hakikat bahawa usia mereka kini semakin pendek.

Kawanan gajah, gambar hiasan

Persoalannya, adakah si gajah muda akan mengaku kalah dengan mudah? Mengenali perangai beliau selama ini sudah pasti tidak sama sekali. Bak kata pepatah Melayu ‘pisang takkan berbuah dua kali’. Sekali kena takkanlah kena sekali lagi.

Sudah pasti puak gajah muda hari ini sudah mula mengelupur seperti cacing-cacing kepanasan. Semua yang berlaku sehari dua ini nampaknya tidak memihak kepada si gajah muda. Terakhir ialah apabila si gajah tua mengatakan hanya akan menyerahkan mahkota singgahsananya selepas tiga tahun. Pelik tetapi benar. Dalam masa yang sama, puak gajah tua menafikannya. Tidak ada dokumen hitam putih yang dipersetujui tentang peralihan kuasa sebagaimana didakwa oleh si gajah muda. Ini semua adalah merupakan indikator-indikator bahawa si gajah tua tidak akan melepaskan mahkota kepada si gajah muda. Kalau dahulu si gajah tua tidak percaya kepada si gajah muda apakah mungkin kali ini dia akan percaya? Sudah pasti ia sesuatu yang mustahil. Apa yang berlaku hari ini hanyalah game yang dimainkan oleh si gajah tua untuk merampas takhta singahsana dan kekal dengannya.

Apakah episod yang seterusnya? Ini yang mendebarkan rakyat. Saya menjangkakan akan ada Reformasi 2.0. Tetapi Reformasi 2.0 kali ini tidak seperti Reformasi 1.0 seperti dahulu. Ia tidak akan melibatkan rakyat kerana saya tidak menjangkakan rakyat akan sanggup turun ke jalanan sekali lagi. Tetapi Reformasi 2.0 kali ini lebih strategik yang akan menyaksikan drama lobi-melobi di kalangan ahli parlimen. Kita akan menyaksikan siri-siri lompat-melompat parti di kalangan ahli parlimen yang mana dijangka ia akan melibatkan sejumlah wang yang besar untuk ‘mengumpan’ wakil-wakil rakyat.

Bagi mereka yang sudah terpalit dengan pelbagai kes, ia tidak sesusah mana untuk memastikan mereka melompat. Puak gajah tua sudah masak dalam hal ini kerana semua fail-fail mereka masih segar dalam simpanan, hanya menunggu masa untuk dikeluarkan.

Bagi rakyat yang mengundi mereka dahulu, sudah tentulah ini merupakan satu pengkhianatan apabila kepercayaan yang diberi telah dikhianati demi kepentingan diri. Tetapi dalam politik semuanya boleh jadi.

Apa pun, sebagai umat Islam dan bangsa Melayu kita mengharapkan natijah kemelut ini akan berakhir dengan memihak kepada mereka yang benar-benar ikhlas berjuang untuk agama bangsa dan tanah air. Insya-Allah.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.