Bersatulah kaum buruh universiti
"Bersatulah kaum buruh" adalah seruan keramat dalam sejarah perjuangan kaum pekerja dunia. Seruan Revolusi Bolshevik itu mengajak buruh di Rusia itu bangkit melawan kerakusan sang penguasa dan pemodal yang tamak.
Kuasa yang menjana gerakan buruh sepanjang sejarah dipimpin oleh para sarjana dan cendekiawan universiti.
Bacalah sejarah Sukarno, Ghandi, Burhanuddin Helmy, Che Guevara, Hassan al-Banna dan sebagainya.
Leon Trotsky bukan alang kepalang pemimpin muda yang memiliki pemikiran sosiologinya dalam menggarap idea komunisme Karl Marx.
Kesarjanaannya itulah yang membawa kepada pencerahan tentang ketidaksedaran penindasan rakyat oleh rejim yang memerintah.
Universiti pula bukan tempat si ulat buku yang khayal dengan idealisme, tetapi adalah gelanggang pertembungan pemikiran yang pelbagai. Idealisme universiti tercerna atas keragaman idea dan pendekatan (metodologi).
Universiti juga bukan tempat tukang buat laporan kajian dan membuat tanda bintang pada setiap pencapaian yang diperolehi. Universiti bukan trek larian untuk ke garisan penamat untuk menggapai pingat emas atau meraih bintang. Bukan, prof!
Tetap wujud kelas
Pensyarah, penyelidik, sarjana, professor adalah buruh. Buruh yang memintal ilmu pengetahuan menjadi bermakna pada kehidupan bermasyarakat. Mereka bukan sembarangan buruh.
Buruh universiti bermodalkan otak dan juga tulang empat kerat. Intektual dan fizikal. Roh dan juga semangat.
Buruh universiti seperti sekualiti Ali Syariati, Gramsci, Chomsky dan sebagainya memberi kuliah di universiti dan juga turun ke tengah masyarakat memberi pencerahan yang menghidupkan. Sanggup terpenjara atau diburu.
Buruh universiti jenis ini tidak terperap dalam bilik kuliah tetapi mendengar sendiri degup jantung rakyat tertindas. Inilah buruh yang nilai manusiawi. Mereka rela mati.
Dalam kalangan buruh universiti pula, tetap wujud kelas.
Meski Karl Marx mengklasifikasikan buruh terkelompok proletariat sebagai golongan tertindas, tetapi pada realitinya ada segelintir proletariat memakai baju dan perkakas borjois. Golongan itu adalah sesumpah.
Kelas atasan universiti yang sifatnya oligarki wajib memiliki kekuatan pemikiran kesarjanaan berbanding berlagak sebagai elit birokrat bagi kilang pengeluaran barangan.
Ini termasuk naib canselor, timbalan naib canselor, dekan dan sebagainya.
Melainkan universiti tersebut mempunyai misi mengeluarkan produk graduan laksanan robot. Itu bukan universiti. Itu ialah sebuah kilang.
Abaikan kebijaksanaan, penilaian hidup
Kezaliman oligarki universiti berlaku apabila penarafan universiti disalahgunakan sebagai penanda aras prestasi buruh universiti melalui kaedah constructive dismissal.
Buruh-buruh universiti secara sistematik diasak bagi memenuhi selera oligarki yang terpanar dengan silau sinar bintang kejora.
Apabila gagal memenuhi aras yang ditetapkan, pintu keluar dari universiti siap dibuka buat buruh universiti.
Penarafan sesuatu universiti pada awalnya adalah antara langkah persaingan bagi mewujudkan kualiti pendidikan yang lebih baik. Secara tidak langsung, ia akan memberi faedah kepada masyarakat.
Namun di sebalik itu, kehidupan buruh universiti mula dipenuhi dengan aktiviti yang disusun secara sistematik sehingga boleh mengabaikan kebijaksanaan dan pengalaman dalam membuat penilaian hidup.
Tanggungjawab asasi buruh universiti dan warga lain dalam universiti ialah mengisi borang kosong dengan maklumat yang diperlukan.
Kerangka mega ini diatur dan dibina untuk universiti mengapai seberapa banyak bintang di langit tinggi.
Selagi ada bintang dapat digapai, selagi itulah digagahi tanpa menyedari ada jutaan bintang yang bertaburan di langit tinggi. Tanpa menyedari bahawa secalit dari satu bintang itu sudah memadai untuk mendapat seabad cahaya mentari.
Penarafan yang dikatakan bersifat objektif sebenarnya terdedah kepada pelbagai manipulasi oleh oligarki untuk mereka kekal berkuasa.
Sistem penarafan adalah alat elit untuk terus berkuasa sebagaimana konsep daulat dan derhaka yang wujud pada zaman feudal.
Raja-raja zaman feudal membina konsep mega, kudus, tertinggi untuk mewujudkan kedaulatan yang dipercayai sepenuhnya oleh rakyat bawahan. Walhal, konsep-konsep tersebut adalah doktrin politik hegemoni.
Konsep yang sama juga digunakan pada zaman milenium melalui istilah-istilah moden.
Penarafan yang macam palsu
Doktrin-doktrin sebegitulah yang ditanam dan dipupuk dalam sistem pentadbiran universiti. Sebarang tindakan menongkah arus, doktrin-doktrin ini akan digunakan oleh elit di universiti bagi menyanggahnya, sekali gus mengekalkan hegemoni.
Buruh-buruh universiti terpaksa menjadi tikus-tikus makmal yang dieksperimen demi hegemoni elit.
Nilai objektivi boleh berubah menjadi subjektiviti melalui manipulasi indeks dalam data pencapaian tahunan buruh universiti.
Macam kes akaun Tabung Haji - sekejap untung, sekejap rugi. Bukan keajaiban, tetapi kreativiti perakaunan.
Kononnya Indeks Prestasi Utama (KPI) dibuat berasaskan ‘world rankings system’ yang disediakan seperti Times Higher Education World Universities Ranking (THE) dan QS World Universities Ranking akan meletakkan universiti pada kedudukan berprestij di dunia.
Sedangkan menurut Ketua Eksekutif University of Nottingham Malaysia, Prof Graham Kendall dalam forum National Education & Learning Summit 2019 di Seri Pacific Hotel baru-baru ini badan penarafan universiti banyak diasaskan atas motif perniagaan.
Pandangannya itu turut dikongsi Naib Canselor Binary University, Prof Sulochana Nair dan Naib Canselor International University of Malaya - Wales (IUMW) Tay Kay Luan, yang turut memberi pandangan dalam persidangan tersebut.
Dalam memburu kedudukan universiti dunia, banyak perbelanjaan dan tumpuan diperuntukkan ke arah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Menerbitkan tulisan dalam jurnal Q1, Q2, ISI, Scopus dan sebagai dijadikan asas utama mengukur prestasi buruh universiti.
Di sesetengah universiti yang terlalu ghairah mengejar bintang (symbol penarafan), mereka menjadikan aspek pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, kajian sebagai faktor sekunder.
Falsafah pendidikan akhirnya membeku dan universiti menjadi jentera pengeluaran produk untuk pasaran buruh yang kering jiwa manusiawi.
Inilah bahananya apabila golongan elit universiti gagal memahami falsafah universiti sebenar.
Selamat hari buruh, tuan profesor!
DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.
Rencana ini tidak semestinya mewakili pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai