Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 6 tahun diterbitkan

6 syarat bagaimana kerjasama PAS-Umno dapat dijayakan

Seperti yang diketahui, Umno dan PAS telah mengumumkan satu bentuk kerjasama politik. Kerjasama yang digelar sebagai 'perpaduan ummah' ini telah mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Sudah pasti pihak yang paling terkesan dan bimbang akan perpaduan ini adalah DAP kerana ia bukan saja akan menghakis keyakinan pengundi Melayu terhadap mereka, malah jika analisis statistik adalah benar maka pada PRU 15 nanti PH dijangka akan kalah. Ini bermakna segala strategi dan perancangan mereka untuk meliberalkan negara dan menguasai jentera pentadbiran negara akan terbantut. Lebih daripada itu segala kepincangan yang mereka lakukan hari ini sudah pasti akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.

Sebab itu DAP bersungguh-sungguh membuat kenyataan yang membidas malah ke peringkat mengancam semata-mata bagi menggagalkan kerjasama PAS-Umno ini. Malang juga kerana ada pemimpin-pemimpin Melayu yang termakan dengan dakyah DAP sehingga sanggup mempertahankannya walaupun mereka sedar ia sangat membahayakan Islam dan kedudukan orang Melayu.

Saya berpendapat bahawa kerjasama politik antara PAS dan Umno ini perlu disokong oleh seluruh rakyat terutamanya umat Islam. Saya tidak melihat ini adalah kerjasama politik semata-mata tetapi sebaliknya merupakan langkah awal ke arah perpaduan ummah secara keseluruhannya. Maka sebab itu kedua-dua pihak perlu mengambil segala langkah yang teliti dan berhati-hati supaya ummah terutama orang Melayu tidak dikecewakan. Rakyat sudah mual dengan gimik politik yang seolah-olah tidak bersempadan. Sudah tiba masanya kedua-dua parti ini menggunakan kesempatan yang ada bagi membuka lembaran baru politik negara supaya ianya tidak berlaku secara bermusim tetapi kekal untuk masa yang panjang.

Bagi pihak PH, sudah pasti mereka akan menghamburkan pelbagai dakyah dan fitnah supaya kerjasama ini berkubur. Kita sudah lihat pelbagai kenyataan-kenyataan negatif yang dikeluarkan oleh pimpinan mereka. Saya tidak risau pada musuh luar tetapi yang membimbangkan ialah musuh di dalam kedua-dua parti ini. Musuh dari dalam ini sukar untuk dikenal pasti sehinggalah detik-detik hampir kemusnahan sesebuah usahasama. Jadi kedua-dua parti ini mesti sentiasa meneliti setiap perbincangan dan kenyataan supaya tidak ditafsir dan diterjemahkan seperti ‘menikam belakang’.

Saya boleh beri jaminan, jika sekiranya kerjasama ini gagal maka ini adalah penamat kepada masa depan orang Melayu. Saya tidak dapat gambarkan apakah akan berlaku ketika itu dan untuk meraih kembali simpati orang Melayu kerana ini bukan sesuatu yang mudah. Sebab itu saya menganggap kerjasama ini sangat kritikal demi survival bangsa Melayu dan agama Islam.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada PAS dan Umno penetapan beberapa syarat penting bagi menjayakan kerjasama ini.

1. Islam dan Melayu sebagai agenda teras

Agenda Islam dan Melayu perlu menjadi teras utama dalam kerjasama 'perpaduan ummah' ini. Ini bukan bermakna ia satu langkah yang rasis tetapi selaku kaum majoriti di negara ini dan Islam adalah agama persekutuan, maka keabsahan orang Melayu adalah faktor penentu kepada kemakmuran negara. Perpaduan ini mesti berasaskan akidah dan semangat untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu serta bukan semata-mata atas sentimen politik atau sekadar untuk meraih kedudukan dan mendapat kemenangan. Kemenangan tanpa asas yang jelas tidak lebih dari sekadar mengulangi kembali segala kesilapan-kesilapan yang lepas di mana elemen-elemen buruk seperti rasuah dan salahguna kuasa akan terus berjalan walaupun yang memimpin adalah orang-orang Melayu. Inilah merupakan punca utama kenapa BN kalah dan kerjasama ini mesti meletakkan itu sebagai asas utama jika mencapai kemenangan nanti.

Dalam erti kata lain, mana-mana pemimpin yang terlibat dengan rasuah, isu akhlak serta apa-apa kontroversi dan kes perlu ditolak dan diketepikan. Mana-mana pemimpin yang mempunyai kepentingan peribadi juga wajib ditolak. Individu seperti ini tidak akan membawa apa-apa nilai dalam politik negara malah hanya sekadar liabiliti.

2. Menolak agenda liberal dan campur tangan luar

Kedua-dua parti perlu serius menentang dan membasmi agenda liberalisme dan campur tangan luar. Mana-mana pemimpin yang cenderung kepada liberalisme dan menjadi proksi pihak luar perlu diketepikan. Jika tidak, tiada gunanya jika orang Melayu berkuasa tetapi agenda yang berlawanan dengan Islam berleluasa dan menular dalam pemerintahan negara dan masyarakat. Kelemahan BN adalah mereka membiarkan golongan liberal ini mendapat tempat malah diangkat menduduki tempat-tempat yang strategik negara sehingga rakyat hilang keyakinan kepada BN untuk menyelamatkan agama Islam dan bangsa Melayu. Kesilapan seperti ini tidak harus diulang kembali jika kerjasama ini inginkan sokongan yang padu dari rakyat keseluruhannya.

3. Mengambil serius suara NGO dan pihak ketiga

PAS dan Umno perlu mendengar dan mengambil serius pandangan NGO dan pihak ketiga yang tidak berkepentingan sebagai semak dan imbang (check and balance) kerana perpaduan ummah yang sebenar bukanlah perpaduan parti politik semata-mata. Sebagai NGO, mereka tidak ada kepentingan untuk mendapat habuan kedudukan mahupun harta tetapi semata demi kepentingan agama dan kemakmuran negara.

NGO adalah suara ketiga yang melihat dari perspektif kepentingan negara dan rakyat keseluruhanya, bukan kepentingan parti atau survival politik. Kerjasama ini perlu menjadikan NGO sebagai rakan bukan lawan atau musuh yang harus dicantas atau diketepikan. Mungkin NGO tidak mempunyai pengikut yang ramai tetapi mereka ada kepakaran-kepakaran tertentu dan kelebihan-kelebihan yang tidak ada pada parti politik. Keyakinan rakyat kepada NGO pada aspek-aspek tertentu melebihi dari keyakinan kepada parti dan ini perlu diambil kira.

Malangmya, semasa pemerintahan BN yang lepas suara NGO-NGO Islam tidak langsung didengari malah dipinggirkan. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk menyuarakan pandangan kami kepada kerajaan namun mendapat sambutan yang sangat dingin. Maka sebab itu kekalahan BN dalam PRU14 adalah satu rahmat kepada NGO kerana baru sekarang mereka sedar peranan yang dimainkan oleh NGO adalah begitu besar. Himpunan Bantah Icerd adalah bukti kepada penyataan saya ini di mana NGO-NGO berjaya mengumpulkan jutaan rakyat.

4. Bertolak ansur dalam perkara-perkara teknikal

Kedua-dua parti politik ini seharusnya saling bertolak ansur dalam perkara-perkara teknikal kerana tidak ada ruang dan masa untuk mengangkat hidung atau mendabik dada. Hal ini demikian kerana kerjasama ini memerlukan keikhlasan yang jitu. Elemen keikhlasan dan rendah diri ini sangatlah penting dalam membawa agenda mendaulatkan agama dan bangsa. Jika tidak, masing-masing akan kembali bercakaran kerana hal-hal remeh.

5. Kerjasama secara berperingkat

Kerjasama antara dua parti ini perlu dilakukan secara berperingkat dan tanpa tergesa-gesa. Kesatuan pemikiran dan matlamat dalam kalangan pimpinan dan ahli perlu diperkasakan dahulu sebelum kesatuan dalam pentadbiran. Jika ahli di akar umbi tidak difahamkan secara serius akan keperluan dan kepentingan kerjasama ini, maka perpaduan ini sukar dicapai dan tidak bertahan lama.

6. Menyediakan piagam atau perjanjian umum

Piagam atau perjanjian antara dua parti ini perlu dibuat dan dimaklumkan kepada rakyat agar rakyat jelas akan prinsip kerjasama dan kesatuan tersebut. Piagam secara terbuka ini akan dapat menarik rakyat untuk sama-sama menjayakan agenda tersebut. Ini penting bagi melahirkan rasa kebersamaan rakyat pada usahasama kedua-dua parti ini. Kita tidak mahu rakyat merasakan bahawa usahasama ini adalah semata-mata kerjasama politik yang tidak lain tidak bukan hanya sekadar untuk menang dalam pilihanraya. Semakin ramai rakyat yang faham akan agenda ini, maka semakin ramai yang dapat memberikan sokongan dan dokongan terhadap usahasama ini.

Konklusi

Oleh itu, keenam-enam syarat perpaduan PAS-Umno yang saya cadangkan ini merupakan satu cadangan yang sangat penting supaya kerjasama politik ini berjaya menggerakkan rakyat terutamanya umat Islam untuk bersatu-padu dan mempunyai visi yang jelas dalam berpolitik.

Jika kerjasama politik ini berjaya dilaksanakan seperti yang saya cadangkan ini, maka saya yakin kita akan saksikan perubahan budaya berpolitik baru yang lebih matang dan bertamadun di Malaysia, insya-Allah.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.