Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 tawar hadiah lumayan
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi bertempat di Impiana Kuala Lumpur City Center Hotel. Majlis ini turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi di PTPTNOfficial dan Youtube rasmi di PTPTN TV. Turut hadir Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, Pengurusan Tertinggi KPT serta Pengurusan PTPTN.
PTPTN sentiasa komited untuk menggalakkan amalan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi. Usaha ini selari dengan Teras Pertama dalam Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 untuk menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama di Malaysia. Justeru itu, Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang merupakan kempen promosi tahunan yang diteruskan lagi pada tahun ini untuk mengalakkan penabungan dan sebagai penghargaan kepada pendeposit Simpan SSPN.
Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan dengan jumlah keseluruhan bernilai hampir RM500,000 menanti 138 orang pemenang. Cabutan kali ini terdiri daripada Cabutan Tahunan dan lima (5) Cabutan Siri seperti berikut:
Pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen. Setiap RM100 bagi Simpan SSPN Prime yang disimpan dalam tempoh kempen akan layak satu (1) cabutan dan RM50 bagi Simpan SSPN Plus pula akan layak dua (2) cabutan secara automatik.
Lebih menarik lagi, kempen kali ini turut memberi kelebihan bilangan cabutan berganda kepada pengguna aplikasi mobile app myPTPTN. Pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan RM100 melalui myPTPTN, akan mendapat bilangan cabutan sebanyak lima (5) cabutan, manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang membuat simpanan RM50 melalui myPTPTN akan mendapat sepuluh (10) cabutan.
PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan dalam memupuk budaya menabung bermula pada tahun 2004 dengan menyediakan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN. Simpan SSPN terus berada dilandasan yang kukuh sebagai produk simpanan yang berdaya saing dan setanding dengan produk simpanan lain di pasaran dengan pelbagai keistimewaan dan manfaat yang disediakan. Usaha berterusan dilakukan oleh PTPTN agar masyarakat Malaysia memperoleh manfaat daripada perancangan kewangan melalui produk simpanan yang diperkenalkan.
Kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan turut dilipatgandakan dalam memastikan manfaat penabungan diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat. Pada majlis yang sama PTPTN telah menyampaikan sijil penghargaan kepada lima (5) rakan strategik bagi kerjasama tahun 2022 sebagai simbolik kepada kejayaan kolaborasi dalam memperkasa dan memupuk budaya penabungan melalui Simpan SSPN. Rakan strategik tersebut ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Veteran ATM (YVATM), Kao Laurier Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
PTPTN sentiasa menggalakkan penglibatan rakan strategik dalam memperkasakan penabungan melalui Simpan SSPN. Kolaborasi dari semua agensi kerajaan mahupun korporat yang berminat amat dialu-alukan sebagai penyumbang kepada akaun Simpan SSPN.
Sehingga 31 Disember 2022, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM14.24 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.73 juta. Pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN boleh dibuat secara dalam talian dengan lebih mudah, cepat dan selamat melalui aplikasi mobile app myPTPTN.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai