Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Geran penyelidikan Dr Ranjeet Bhagwan Singh – Menyokong penyelidik muda tempatan dalam bidang perubatan dan saintifik

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi  (MOSTI) sebagai agensi peneraju agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) negara  sentiasa memberi galakan kepada saintis muda dalam bidang penyelidikan dan  pembangunan (R&D). Usaha ini penting selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan  Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 untuk menjadi negara berteknologi tinggi  berasaskan inovasi tempatan.  

Justeru itu, dana merupakan satu aspek penting dalam ekosistem R&D negara. Selain  peruntukan kerajaan, MOSTI juga mengawal selia Geran Penyelidikan Dr Ranjeet  Bhagwan Singh. Geran ini kekal menjadi komitmen MOSTI bersama Akademi Sains  Malaysia (ASM) untuk menyokong penyelidik muda tempatan setiap tahun dalam  bidang perubatan dan saintifik. 

Geran penyelidikan yang diuruskan menerusi Akaun Amanah Tabung Penyelidikan  Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh sejak tahun 1997 ini telah diberikan kepada  26 penyelidik muda dengan jumlah dana sebanyak RM632,265.00. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Dr. K.  Nagulendran dalam ucapannya mewakili Yang Berhormat Menteri MOSTI, Dato’ Sri  Dr. Adham Baba pada Majlis Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet  Bhagwan Singh 2022 berkata, “Mendiang telah mewasiatkan keseluruhan hartanya  dianggarkan berjumlah RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan berkenaan setiap tahun  sehingga kini. Ini jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang individu dengan  visi jauh ke hadapan, melihat kepentingan konsep filantropi bagi menyokong  penyelidik muda tempatan tanpa mengira bangsa dan agama.” 

Dr. K. Nagulendran kemudiannya mengumumkan Penerima Geran Penyelidikan Dr.  Ranjeet Bhagwan Singh 2022 iaitu Profesor Madya Dr. Tan Jun Jie daripada Universiti  Sains Malaysia. Beliau menerima geran penyelidikan berjumlah RM50,000 menerusi penyelidikan bertajuk ‘Preclinical Assessment of Human Induced Pluripotent Stem  Cell-derived Pre-epicardial Cell/Cardiomyocyte Theraphy in Acute Myocardial  Infarcted Rat Hearts’ yang bertujuan untuk mencipta sel jantung dari sel stem untuk  merawat serangan jantung. 

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor  Emerita Datuk Dr. Asma Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains  Malaysia, Puan Hazami Habib.  

Mendiang Dr. Ranjeet adalah seorang saintis penyelidikan perubatan tanah air terkemuka dan telah memberikan sumbangan tidak ternilai dalam bidang perubatan  dan saintifik, khususnya bagi pembangunan makmal diagnostik di Malaysia. 

Mendiang telah mewujudkan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh Medical Research  Endownment Fund sejak tahun 1982 dengan menyumbang dana awal berjumlah  RM50,000. Mendiang kemudiannya telah mewasiatkan keseluruhan hartanya  dianggarkan berjumlah RM1 juta untuk digunakan bagi tujuan berkenaan setiap tahun  sehingga kini yang diuruskan oleh MOSTI dan ASM menerusi Akaun Amanah Tabung  Penyelidikan Perubatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh. 


Kandungan ini disediakan oleh Akademi Sains Malaysia.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.