Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

UEM Sunrise melepasi sasaran jualan RM1.2 bilion bagi tahun 2021

UEM Sunrise Berhad (“UEM Sunrise” atau “Syarikat”) berjaya melepasi sasaran jualan sebanyak RM1.2 bilion pada tahun 2021 dengan menjual 1,595 unit hartanah. Syarikat turut mencatatkan jualan sebanyak RM1.46 bilion di sebalik pandemik yang melanda dan pengurangan pelancaran projek-projek baharu.

Pembangunan di Lembah Klang, termasuk Residensi Ava di Kiara Bay dan Residensi Allevia, menjadi penyumbang utama di mana masing-masing merekodkan nilai jualan sebanyak RM438.4 juta dan RM215.7 juta. Angka tersebut merangkumi 45% daripada jualan keseluruhan produk UEM Sunrise. Pembangunan di wilayah Tengah merangkumi 71% jualan keseluruhan dan selebihnya disumbangkan oleh produk di wilayah Selatan. Bagi wilayah Selatan, Senadi Hills (Fasa 1) mendahului jualan dengan nilai RM109.8 juta hartanah terjual bagi tahun tersebut.

Bagi tahun 2021, UEM Sunrise mengekalkan prospek konservatif memandangkan pandemik Covid-19 yang berlarutan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan dengan melancarkan hanya 40% daripada jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) produk daripada RM1.2 bilion yang ditetapkan pada awal tahun.

“Kami telah melihat jualan yang lebih baik berbanding tahun 2020 dengan mencatatkan jualan RM1.13 bilion. Meskipun pelancaran produk bersasar diambil bersama sentimen pengguna yang lemah serta protokol pemberian pinjaman yang lebih ketat berbanding tahun terdahulu, kami berjaya mengatasi sasaran jualan. Ini membuktikan bahawa pelanggan mempercayai kualiti dan nilai produk-produk kami. Pencapaian yang lebih baik ini juga memberikan petunjuk bahawa syarikat kini sedang menuju ke arah pemulihan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah.

Dengan kejayaan kempen Tahun Baru Cina ‘Must Cari Ong’ dan ‘Happy Chase Virtual Live Show’, kempen Pemilikan Rumah 2.0 oleh Kerajaan yang berakhir 31 Disember tahun lalu turut menyumbang kepada peningkatan jualan. Jualan pada Disember mencatatkan peningkatan 2.5 kali ganda berbanding jumlah jualan pada November 2021.

Bagi tahun ini, UEM Sunrise mengumumkan peningkatan sasaran jualan kepada RM1.5 bilion dengan perancangan untuk melancarkan projek dengan GDV RM3.3 bilion yang melibatkan pembangunan sebanyak 3,526 unit hartanah. Ia termasuk mengaktifkan kawasan seluas 1.3 ekar di Collingwood, Melbourne yang diperolehi pada 2020 bagi melancarkan projek pembangunan bercampur dengan jangkaan GDV AUD250 juta.

Dalam rancangan pelancaran yang agresif sekitar pertengahan tahun 2022, Syarikat akan terus melancarkan fasa baharu projek-projek popular seperti di Serene Heights Bangi dan Senadi Hills, serta produk bertemakan Aspira di Iskandar Puteri, selain rancangan untuk melancarkan projek-projek baharu di pasaran. Ia termasuk pembangunan bercampur berorientasikan transit di tanah berkeluasan 6.86 ekar yang terletak bersebelahan stesen MRT Taman Connaught di Cheras dan pembangunan bangunan tinggi integrasi bercampur di Mont’Kiara, dengan kod nama MK31. Maklumat lanjut pembangunan baharu ini akan diumumkan tidak lama lagi.

“UEM Sunrise akan terus memantau permintaan pasaran dan menawarkan produk yang berkualiti dan relevan di lokasi yang tepat, dibina dengan tatacara dan rekaan lestari, kesemuanya didatangkan dalam pakej bernilai yang bersesuaian dengan harganya,” kata Sufian.

Beliau menjelaskan bahawa Syarikat berjaya melonjakkan prestasi pada separuh kedua 2021 selepas ekonomi dibuka semula setelah pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara yang menyaksikan kesan pandemik Covid-19 terkawal susulan kejayaan program vaksinasi. UEM Sunrise kini bertungkus-lumus menyempurnakan kerja-kerja di tapak pembinaan yang terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan bagi memastikan projek siap mengikut jadual.

“Selepas tamatnya kempen Pemilikan Rumah, kami memberikan tumpuan terhadap kempen pemasaran yang kukuh, bermula dengan kempen Tahun Baru Cina, ‘Happy Duo Duo’, yang dilancarkan dua minggu lalu. Kempen ini menawarkan ganjaran dan hadiah menarik kepada pembeli rumah.

“Kami juga memastikan produk-produk kami dijual pada harga yang berpadanan dengan permintaan pasaran dan pada masa yang sama meneroka rekaan berpandukan ESG dan tidak keterlaluan. Tahun 2022 akan menjadi tahun kami merancakkan semula aktiviti jualan selepas hampir dua tahun hidup dengan pandemik,” katanya.

Baru-baru ini UEM Sunrise telah melancarkan strategi tiga serangkai - Triage (mengutamakan isu-isu yang perlu diberi perhatian segera dan mempercepatkan pelancaran), Stabilise (proses transformasi Syarikat yang melibatkan warga kerja, proses dan portfolio) dan Sustain (mempelbagaikan sumber pendapatan untuk pulangan yang mampan).

Pada masa yang sama, Syarikat juga akan mengorak langkah pantas untuk meletakkan agenda digital dan kelestarian sebagai keutamaan. Syarikat telah meletakkan batu asas untuk mengubah inovasi produk dan rekaan bagi membentuk DNA produk yang kukuh demi memenuhi keperluan rekaan serta menangani isu fleksibiliti ruang seperti yang dituntut pasaran.

Berikutan peningkatan kos bahan binaan, khususnya besi, konkrit dan simen, UEM Sunrise akan merombak semula strategi pemerolehannya bagi mencapai pengurusan kos yang lebih berkesan, dan meluaskan penggunaan alat seperti Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling) bagi membolehkan perancangan dan visualisasi keseluruhan projek yang lebih baik semasa peringkat prapembinaan.

Syarikat akan terus meneliti pasaran bagi memperoleh bank-bank tanah di kawasan strategik, khasnya di wilayah Tengah, untuk perancangan dan pelaksanaan projek baharu yang lebih pantas. Usaha untuk melucutkan hak tanah-tanah tidak strategik turut dilaksanakan, selaras dengan strategi mengimbangi portfolio bank tanah Syarikat.

Jualan belum dibil UEM Sunrise adalah pada RM2.34 bilion setakat 31 Disember 2021.


Kandungan ini disediakan oleh UEM Sunrise Berhad.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.