Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sudah tiba masanya, rakyat negeri Melaka memiliki kerajaan yang stabil

BEMBAN, MELAKA: Pertandingan lima penjuru bakal disaksikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Terdahulu, pagi semalam, Calon Perikatan Nasional N.24 Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub telah menyertai aktiviti bergotong-royong bersama penduduk kampung dan menziarahi warga emas dan pesakit di kampung Air Baruk, Melaka.

"Bagi saya secara peribadi, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat. Kebajikan rakyat mesti diutamakan,” beliau berkata.

Menurutnya, Parti Perikatan Nasional lebih berfokuskan terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat serta membawa satu agenda iaitu prihatin terhadap rakyat. Kami tidak memikirkan kepentingan individu, malahan lebih berfokus kepada kepentingan rakyat selain daripada menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Sudah tiba masanya, rakyat negeri Melaka memiliki kerajaan yang stabil dan berkesan. Kemelut politik yang berpanjangan ini hanya akan meresahkan rakyat. Beliau juga menjelaskan bahawa tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah untuk sentiasa peka dan mengenal pasti masalah di sekelilingnya.

Berkhidmat untuk rakyat

“Contohnya, baru-baru ini beberapa kawasan di daerah Melaka Tengah dan Jasin dilanda banjir kilat dan masalah ini kerap berlaku setiap tahun. Untuk menyelesaikan masalah ini kita perlu membentuk satu mandat untuk berkhidmat sebagai ADUN dan melaksanakan projek-projek yang akan mengatasi masalah banjir"

“Sebagai seorang doktor perubatan yang berkhidmat di kawasan Jasin selama lebih 12 tahun, sikap seorang doktor adalah untuk mendengar rintihan orang dan saya sering berjumpa dengan penduduk di Bemban untuk mendengar dan mengambil tahu tentang masalah yang mereka sedang hadapi,” beliau berkata.

Wakil rakyat tidak boleh hanya duduk di pejabat, kita perlu turun ke padang untuk bertemu dengan rakyat dan mengenalpasti kekangan yang mereka hadapi.

“Kebanyakan wakil rakyat hanya melakukan tugas menolong dan bertemu dengan orang awam pada waktu pilihan raya sahaja. Ini merupakan perkara yang perlu dielakkan, kerana kita menggalas amanah besar yang hendaklah ditunai dengan jujur dan bijaksana di kawasan daerah masing-masing”

SOP yang ketat

“Prosedur operasi standard yang ketat kali ini adalah untuk mengelakkan kes Covid-19 meningkat jadi kita perlu mematuhinya. Secara langsung, saya sebagai calon selalu memikirkan prosedur yang efektif untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat walaupun perlu mematuhi penjarakan sosial,” ujarnya.

“Antaranya ialah penggunaan sosial media amat dititikberatkan untuk memastikan golongan tertentu mendapat input daripada kami. Untuk golongan yang kurang menggunakan sosial media seperti warga-warga emas, saya selalu akan menyertai aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh mereka seperti bergotong-royong dan aktiviti sukan.”

Memakmurkan rakyat dalam semua bidang pembangunan.

Bemban masih mempunyai banyak ruang untuk dibangunkan seperti daripada sudut ekonomi, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan lain-lain. Memandangkan kita baru sahaja selepas fasa Covid, masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan.

Hasrat beliau adalah untuk mewujudkan hospital swasta di Bemban. Pendekatan ini akan membolehkan rakyat di kawasan tersebut mempunyai pilihan untuk mendapat rawatan di situ dan juga dapat mewujudkan konsep “medical tourism” seperti Hospital Mahkota yang merupakan daya tarikan orang luar untuk mendapatkan rawatan di Melaka.

Selain itu, Bemban juga boleh menjadi satu lokasi untuk pembinaan institusi pengajian tinggi dan taman tema yang dapat menjadi pemangkin pembangunan serta dapat meningkatkan pelancongan. Sektor-sektor ini sekaligus akan berupaya untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih untuk orang ramai.

Turun mengundi 20 November ini!

“Ramai di antara kita bimbang untuk keluar mengundi disebabkan oleh kes Covid. Tetapi saya yakin anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah membuat garis panduan yang teliti untuk menjamin keselamatan rakyat Melaka.

Jangan kita kuburkan aspirasi rakyat Melaka untuk berubah dengan hanya duduk di rumah dan tidak keluar mengundi. Saya berharap rakyat Melaka keluar mengundi pada 20 November ini, pilihlah calon-calon yang dapat membawa perubahan kepada Melaka khususnya Bemban, dan yang paling penting, bentuk kerajaan yang lebih stabil.”

[Kandungan Berjenama]