Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

UEM Sunrise melancarkan mural bertemakan alam semula jadi di pusat Bandaraya Kuala Lumpur

UEM Sunrise Berhad (“UEM Sunrise” atau “Syarikat”), salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, telah melancarkan mural bertemakan alam semula jadi di pusat Bandaraya Kuala Lumpur yang dihiasi dengan landskap tempatan berwarna-warni dan kepelbagaian biodiversitinya. Ianya melambangkan simbol komitmen Syarikat terhadap kelestarian pembangunan dan alam sekitar.

Terletak bersebelahan dengan Hotel W di simpang Jalan Ampang dan Jalan P.Ramlee berdekatan dengan KLCC (Kuala Lumpur City Centre), mural tersebut dinamakan ‘Happy Space at Lot 149’ dan dijangka menambahkan percikan warna untuk memaparkan keindahan alam semula jadi Malaysia dan menjanjikan kelainan berbanding dengan hutan konkrit Kuala Lumpur.

UEM Sunrise bekerjasama dengan pelukis tempatan daripada E&M Services dan Nippon Paint bagi menyokong inisiatif berterusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggabungkan para penggiat seni jalanan tempatan di ibu kota. Projek tersebut bermula pada 13 April dan disiapkan pada 31 Mei 2021 yang lalu.

'Happy Space at Lot 149’ terdiri daripada tujuh buah panel yang panjangnya lebih daripada 150m. Setiap panel memaparkan gambar lanskap semula jadi dan biodiversiti Malaysia termasuk pemandangan hutan tropika bersama-sama dengan pembangunan utama UEM Sunrise di Kiara Bay Kepong, Aurora di Australia dan perbandaran indah Puteri Harbour di Johor. Sebanyak 800 liter ‘low Volatile Organic Compounds (VOC)’ dan cat mesra alam ‘Nippon Paint’ bersama 100 liter pengedap dinding berkualiti telah digunakan bagi projek ini.

“‘Happy Space at Lot 149’ merupakan komitmen kami terhadap pemuliharaan dimana kami berusaha untuk mengekalkan lanskap persekitaran dan habitat biodiversitinya. Di samping itu, sebahagian daripada usaha kelestarian kami juga adalah untuk menyumbang kepada masyarakat yang lebih baik dan mencipta ruang yang kondusif untuk komuniti berkembang maju. Secara dasarnya, tujuan kami adalah untuk mencipta ruang gembira dan membina komuniti.

Kami harap lebih ramai orang dapat menikmati mural bertemakan alam semula jadi ini setelah Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan, dan diharapkan warna-warna ceria ini dapat memupuk keceriaan dan harapan positif yang diperlukan dalam tempoh yang amat mencabar ini. Dengan Hari Kemerdekaan yang bakal tiba, kami juga berharap melalui mural tersebut orang ramai terutamanya golongan remaja dapat memupuk rasa penghargaan terhadap alam semula jadi serta bakat pelukis tempatan kita yang telah mewarnai ruang ibu kota Kuala Lumpur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Sufian Abdullah.

E&M Services terkenal dengan kepakaran mereka dalam menghasilkan keindahan flora dan fauna Malaysia melalui seni mural mereka. Seramai lapan orang pelukis, yang semuanya merupakan Graduan Seni Lukis daripada UiTM terlibat dalam projek tersebut. Mereka diketuai oleh Ruhizad Mohd Ali, seorang pelukis mural sepenuh masa dengan pengalaman selama 30 tahun.

“Kebanyakan ciptaan seni mural kami diilhamkan oleh realiti sebenar kehidupan. Bagi ‘Happy Space at Lot 149’, kami ingin mempamerkan keindahan dan kepelbagaian hutan hujan bersama pemandangan pembangunan UEM Sunrise. Walaupun terdapat beberapa cabaran seperti ketidaktentuan cuaca dan permukaan papan penghadang yang tidak rata, kami berasa bangga dengan hasilnya. Saya berterima kasih kepada UEM Sunrise kerana membenarkan kami untuk mereka seni mural ini bagi menceriakan jalan-jalan di Kuala Lumpur,” kata Ruhizad, yang karya-karya lainnya juga menjadi paparan di sekitar Kuala Lumpur.

Seramai 30 orang sukarelawan daripada UEM Sunrise juga telah berkunjung dan menyumbangkan masa serta tenaga mereka bagi membantu menghasilkan ‘Happy Space at Lot 149’ bersama-sama para pelukis mural pada 28 April yang lalu.

Inisiatif DBKL untuk mentransformasikan Kuala Lumpur menjadi sebuah ibu kota seni jalanan sedang giat dibangunkan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada hiasan lorong belakang dan jalan-jalan utama dengan mural yang berwarna-warni oleh pelukis tempatan di sekitar pusat Bandaraya Kuala Lumpur.


Kandungan ini disediakan oleh UEM Sunrise.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.