Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seni ‘terus bernafas’: Jemputan buat Anak Seni Malaysia yang berminat untuk mempersembahkan karya mereka

Platform Arts for All Seasons (ArtsFAS) beri penghormatan buat penggiat seni selaku ‘barisan hadapan budaya’ sepanjang wabak Covid-19

Dalam ketidaktentuan musim pandemik dan penutupan ruang awam yang memberi kesan kepada penggiat seni dan budaya, kini muncul sebuah inisiatif yang kembali menghidupkan arena seni tanah air! Artis atau penggiat Seni, Warisan dan Budaya Malaysia dijemput untuk menghantar kertas cadangan untuk menjadi sebahagian inisiatif Arts for All Seasons atau Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS); di mana permohonan yang berjaya akan dipertimbangkan untuk menerima jumlah pendanaan projek sehingga RM 250,000.00. Permohonan dibuka sehingga 15 Ogos 2021.

Dianjurkan oleh Yayasan Hasanah (“Hasanah”) pada suku akhir setiap tahun, ArtsFAS ialah sebuah persada atau platform yang bertujuan untuk mengetengahkan warisan seni dan budaya tempatan melalui persembahan, pameran dan demonstrasi seni yang dibuka kepada orang ramai. Di samping memberi penghormatan kepada penggiat seni tanah air, tujuan utamanya adalah untuk melakar masa hadapan budaya – menurunkan warisan negara kepada generasi akan datang, walau musim bersilih ganti.

Platform ArtsFAS mengalu-alukan permohonan daripada penggiat Seni, Budaya dan Warisan Malaysia di bawah persatuan atau syarikat yang berdaftar merangkumi seni persembahan tarian, muzik, teater, tradisi penceritaan dan lisan, seni visual dan kraftangan; dengan elemen seni tradisional yang juga boleh dikontemporarikan selari dengan peredaran masa. Seiring dengan matlamat ArtsFAS, ativiti digalakkan untuk mempunyai elemen pendidikan kepada generasi muda, berkonsepkan ‘guru’ bersama-sama anak didiknya.

Dato ’Shahira Ahmed Bazari, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah berkongsi, “Melalui ArtsFAS, kami dapat terus menyumbang kepada kerja-kerja untuk merancakkan dan melestarikan kesenian di Malaysia. Tahun ini, kami berharap dapat menyokong komuniti seni selaku cultural frontliners atau ‘barisan hadapan budaya’ kita, menjana peluang ekonomi, sambil sedikit sebanyak meniupkan semangat kepada orang ramai dengan keindahan seni tanah air, tatkala kita menempuhi cabaran masa kini.”

Baru-baru ini, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan negara (PKP 3.0) dilaksanakan, ArtsFAS telah bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya untuk membawakan sebuah siri persembahan muzik dan kesenian ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terpilih. Dengan menampilkan pemuzik tempatan, ia menyokong komuniti seni di samping memperdengarkan halwa telinga buat penerima vaksin dan barisan hadapan kesihatan agar proses vaksinasi menjadi lebih selesa dan menyenangkan.

Sebelumnya pada tahun 2020, bagi menyokong komuniti anak seni yang terkesan dengan pandemik Covid-19, ArtsFAS telah berkolaborasi bersama tujuh persembahan berkumpulan dan tiga persembahan individu – The Temple of Fine Arts, Akasha, Hands Percussion, Geng Wak Long, Rhythm in Bronze, No Noise Percussion, Ex-MAS Crew, Endang Hyder, Dodi Mohasdi, dan Hajjah Rogayah Shukri.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2015, Hasanah, melalui salah satu bidang tumpuan utamanya - kesenian dan ruang awam - telah menyentuh kehidupan ramai insan di sektor ini dan juga orang ramai; menyumbang kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan seni, budaya, dan warisan yang lebih besar di Malaysia. Pada akhir tahun 2020, sejumlah 90,559 individu telah didedahkan kepada seni, warisan, dan budaya Malaysia melalui sokongan Hasanah untuk pelbagai persembahan, tayangan, produksi teater, bengkel, pameran, festival, dan usaha pewujudan ruang awam. ArtsFAS merupakan tambahan terbaharu kepada pelbagai inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan seni oleh Hasanah.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan butiran tentang cara permohonan, layari https://artsfas.yayasanhasanah.org/bm/. Permohonan dibuka sehingga 15 Ogos 2021.


Kandungan ini disediakan oleh Yayasan Hasanah.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di [email protected] atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.