Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sokong dan beli barangan Malaysia untuk memacu ekonomi negara pasca Covid-19

Tahukah anda, setiap ringgit yang anda belanja untuk menyokong dan membeli barangan atau perkhidmatan tempatan akan memastikan pengaliran wang tunai tersebut sentiasa berada dalam sistem ekonomi tempatan untuk manfaat keseluruhan masyarakat dan negara?

Nadi rantaian ekonomi tempatan

Ini adalah kerana apabila pengaliran wang tunai kekal dalam ekonomi tempatan, ia dapat memanfaatkan kesemua pihak dalam rantaian bekalan berkenaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Salah satu contoh yang paling menepati kehidupan harian kita ialah hasil tanaman petani tempatan yang dipasarkan melalui pelbagai saluran pengedaran dan peruncitan yang berlainan.

Katakan sayur yang baru dituai di Kundasang, Sabah perlu dihantar segera ke Kota Kinabalu untuk memenuhi permintaan tempatan, termasuk pembeli yang terdiri daripada pengusaha restoran. Pertama, rantaian bekalan tersebut memerlukan perkhidmatan pengangkutan lori. Apabila sayur tersebut sampai ke destinasi pengusaha restoran, ia akan digunakan sebagai bahan segar untuk menyajikan masakan popular kepada pelanggan. Apabila perniagaan mereka semakin berkembang, ini akan mencipta peluang pekerjaan baru dan memperkasakan ekonomi tempatan.

Sementara itu, peningkatan pendapataan daripada penjualan sayur kepada pengusaha restoran yang semakin maju membolehkan petani tempatan menyara hidup sekeluarga termasuk belanja persekolahan anak-anak mereka dengan lebih terpelihara dan oleh yang sedemikian, ini turut memperbaiki kualiti kehidupan mereka.

Jelas sekali, sokongan anda terhadap produk tempatan dalam ekosistem perniagaan tersebut akan membawa impak positif dari segi nilai ekonomi yang boleh dikuantifikasi untuk kesejahteraan segenap lapisan masyarakat, termasuk petani, pemandu lori, pengusaha restoran dan golongan berkepentingan yang lain, termasuk juga keluarga mereka.

Sokong lokal untuk giatkan ekonomi negara

Memandangkan kepentingan menyokong dan membeli barangan dan perkhidmatan tempatan yang begitu ketara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), menyaran rakyat Malaysia untuk sama-sama menjayakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan ‘berbelanja untuk ekonomi tempatan’, sebagai usaha memulihkan dan merancakkan ekonomi negara yang telah setahun lebih dilanda pandemik Covid-19.

“Kempen ini dijalankan sebagai salah satu inisiatif untuk memulih (recovery) dan merancakkan (revitalise) sektor peruncitan di dalam negara. Ini bagi membantu usahawan-usahawan tempatan untuk terus kekal berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa,” kata Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam bin Haji Ahmad, Ketua Setiausaha KPDNHEP, di majlis pra-pelancaran KBBM edisi terbaru yang dilakukan secara atas talian.

Beliau menegaskan, di samping menyemai semangat patriotisme, KBBM juga merupakan platform penjenamaan (branding) bagi mempertingkatkan kepercayaan pengguna (brand trust) terhadap kualiti produk tempatan serta mempamerkan keserbabolehan (versatility) barangan tempatan yang berdaya saing, di mana sokongan rakyat Malaysia akan memberi dorongan ‘pengiktirafan’ kepada pengusaha tempatan untuk terus berkembang maju sambil meneroka peluang perniagaan di pentas antarabangsa.

“Kita perlu terus buat advokasi dan membuat promosi galakan hinggalah barangan Malaysia menjadi pilihan nombor satu dalam setiap keputusan pembelian,” tambah beliau sambil menekankan peranan KBBM dalam meningkatkan permintaan domestik khususnya untuk memperkasa rantaian bekalan (supply chain).

Rakan peruncitan kerjasama strategik

Kempen mempromosikan produk tempatan yang disokong oleh peruntukan sebanyak RM20 juta di bawah Belanjawan 2021 ini turut diperhebohkan melalui pelbagai saluran media cetak, media elektronik dan plafform digital, di samping kolaborasi dengan rantaian peruncitan popular demi mencapai keputusan berimpak tinggi.

“Kempen ini semakin berkembang dengan pertambahan penglibatan rakan-rakan kerjasama strategik daripada sektor peruncitan saban tahun. Antara rakan kerjasama strategik KBBM sektor peruncitan pada tahun ini adalah AEON Big, AEON Co, Giant, Mydin, 99 Speedmart, The Store, Hero Supermarket, KK Supermart, Eco-Shop, Lotus Store, Econsave, Lulu Group, TF Value-Mart, Bataras, Petronas dan Shell,” ujar Hasnol, di mana KBBM turut disokong oleh rakan strategik atas talian terkemuka seperti Shopee, LAZADA dan PGMALL.

Peningkatan nilai jualan ketara

Menurut beliau, Kempen Beli Barangan Malaysia yang disertai seramai 1,800 usahawan PKS di seluruh negara sejak tahun lalu dengan melibatkan sebanyak 31,000 produk keluaran tempatan, menyaksikan peningkatan jualan ketara bagi dua tahun yang lalu ini.

Tahun lalu (2020) mencatatkan peningkatan jualan yang amat memberangsangkan, iaitu sebanyak RM3.3 bilion dengan jumlah unit simpanan stok (SKU) mencecah 326,000, berbanding RM2.87 bilion (279,000 SKU).

Jualan atas talian bagi tahun 2020 turut menonjol dengan nilai jualan melebihi RM145 juta, berbanding RM6.84 juta bagi tahun 2019, satu peningkatan besar yang didorong oleh trend berbelanja secara atas talian kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berulang kali dan corak hidup ‘normal baru’ rakyat Malaysia dalam mengharungi cabaran wabak yang berpanjangan.

Merangsang permintaan domestik

Sokongan anda terhadap barangan tempatan akan meningkatkan permintaan domestik dan ini bukan sahaja dapat membantu usahawan, pengusaha dan pengilang tempatan meluaskan jaringan pemasaran mereka, malah ia turut meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kualiti barangan dan perkhidmatan tempatan yang setaraf dengan piawaian antarabangsa.

Pada masa yang sama, selain menyumbang kepada pembangunan industri tempatan, pengguna juga dapat menikmati harga barangan tempatan yang lebih murah atau mesra poket berbanding barangan import.

Sektor berpotensi tinggi dan jenama lokal terkenal

Sektor peruncitan industri tempatan yang berpotensi tinggi adalah seperti fesyen dan pakaian; kraftangan dan hasil seni; makanan dan minuman; kesihatan dan kecantikan; perabot dan kelengkapan rumah; perkakasan elektrik, produk sampingan komunikasi dan automotif.

Sebenarnya terdapat banyak jenama tempatan yang telah sebati dengan kehidupan harian kita tanpa disedari. Malah ada yang telah mencipta nama di negara asing. Bonia, British India, Padini, Lewré, Marrybrown, Secret Recipe, Gardenia, Massimo, Munchy’s, MAMEE, Beryl’s, Spritzer, Giant Hypermarket, Mydin, SimplySiti, Enchanteur, Siti Khadijah, Neelofa, Habib Jewels, Wah Chan, Poh Kong, Khind, Pensonic, Elba, Ogawa, Proton, Perodua dan Modenas – adalah antaranya.

“Jom Sokong dan Beli” barangan Malaysia untuk memacu ekonomi negara pasca Covid-19!

Maklumat lanjut berkenaan #KempenBeliBaranganMalaysia turut dikongsi oleh KPDNHEP.