Akauntabiliti

Kemaskini

Sebagai sebuah organisasi media, Malaysiakini memahami keperluan untuk telus dalam aspek struktur pemilikan dan sumber pembiayaannya. Berikut adalah maklumat lanjut untuk sesiapa yang berminat mengetahui mengenai kami.

Pemegang saham

Pemegang saham utama ialah pengasas bersama - Ketua Pengarang Steven Gan dan Ketua Pegawai Eksekutif Premesh Chandran. Secara bersama mereka memiliki lebih daripada 60% Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat di sebalik malaysiakini.com. Dana Pelaburan Pembangunan Media (MIDF) membeli 29% kepentingan syarikat pada 2002. Steven, Premesh dan Ketua Pegawai Eksekutif MDIF Harlan Mandel membentuk lembaga pengarah. Antara peraturan yang mengawal organisasi kami ialah lembaga pengarah tidak boleh campur tangan dalam hal editorial.

Baki pemegang saham termasuklah kakitangan semasa dan bekas kakitangan yang menerima ekuiti mereka melalui skim pemilikan saham kakitangan, serta orang lain yang menyumbang kepada organisasi, termasuk empat individu yang menyediakan modal permulaan asal – aktivis kesatuan sekerja Bruno Pereira, aktivis sosial Joseph Paul, bekas aktivis hak asasi manusia dan bekas ahli parlimen Sivarasa Rasiah, selain jurubank Mary James.

Tiada pemegang saham atau sumber pembiayaan yang ‘tersembunyi’.

Tiada pemegang saham menjadi proksi kepada mana-mana pihak lain.

Pendanaan

Malaysiakini dilancarkan pada 1999 melalui modal benih daripada pengasasnya – Premesh Chandran dan Steven Gan – serta beberapa rakan, dan melalui geran AS$100,000 daripada Southeast Asian Press Alliance (Seapa) yang berpangkalan di Bangkok .

Malaysiakini amat berbangga dengan dasar bebasnya. Sesungguhnya media yang benar-benar bebas – yang tidak terikat dengan kawalan kerajaan, telunjuk pihak pengiklanan dan tekanan daripada pemiliknya, antara lain - jarang ada di Malaysia.

Malaysiakini memperjuangkan kebebasan tersebut dengan meminta pembaca membayar yuran langganan. Kami percaya bahawa media yang bergantung kepada sumbangan daripada pembaca, ditambah dengan kumpulan pengiklan yang pelbagai akan lebih mampu melaksanakan dasar bebasnya.

Kedua-dua langganan dan pengiklanan menyumbang kepada sebahagian besar kelangsungan operasi Malaysiakini.

Selain daripada operasi berita Malaysiakini, kami sering diminta untuk membantu media bebas dan NGO, sama ada di Malaysia atau di peringkat serantau. Lagipun, kami mempunyai pengalaman selama 22 tahun dalam mengendalikan media atas talian yang berjaya, yang dianggap terunggul di dunia.

Untuk mencapai matlamat tambahan ini, Malaysiakini mengumpul dana daripada agensi pembiayaan.

Selama bertahun-tahun, Malaysiakini telah menerima sokongan geran daripada pelbagai agensi untuk pelbagai projeknya. Selain daripada Seapa, ia termasuk:

  1. Yayasan Asia
  2. Canadian International Development Agency (CIDA)
  3. Kedutaan Belanda di Malaysia
  4. Free Voice (FV)
  5. Yayasan Friedrich Naumann (FNS)
  6. Pusat Wartawan Antarabangsa (ICFJ)
  7. Dana Pinjaman Pembangunan Media (MDLF) – juga pelabur minoriti Malaysiakini
  8. National Endowment of Democracy (NED)
  9. Open Society Institute (OSI)
  10. Internews Malaysia

Daripada pembiayaan tambahan itu, Malaysiakini telah melaksanakan pelbagai projek termasuk:

  1. Pusat e-Media Asia Tenggara, yang melatih dan menyokong organisasi media dalam talian serta kumpulan masyarakat sivil di 14 negara Asia.
  2. Program Kewartawanan Rakyat, yang melatih lebih 300 individu dari seluruh Malaysia dalam asas kewartawanan dan videografi, melengkapkan mereka dengan keupayaan mengetengahkan isu-isu yang melibatkan komuniti setempat mereka.
  3. Komunitikini, yang bekerjasama dengan wartawan rakyat untuk membangunkan portal berita setempat. Perpustakaan digital dalam talian, yang menyediakan sumber untuk penyelidik, dan pangkalan data dalam talian tentang pilihan raya umum, iaitu undi.info
  4. Kewartawanan berbilang platform, yang membina kandungan merentas bahasa yang berbeza dan pada pelbagai platform (IPTV, iPhone, iPad, Android)

Malaysiakini bekerjasama dengan rakan kongsi berdasarkan garis panduan berikut:

Yayasan itu mempunyai rekod prestasi yang mantap dalam berkongsi visi kebebasan media Malaysiakini – yang melaporkan isu-isu yang membimbangkan orang ramai tanpa rasa takut atau pilih kasih, serta mempunyai keberanian untuk mempertanggungjawabkan penguasa bagi mempromosikan kebebasan bersuara, keadilan sosial dan demokrasi.

Selaras dengan perkara di atas, yayasan terbabit tidak akan mengganggu laporan bebas Malaysiakini dalam apa jua cara atau bentuk.

Semua geran adalah di bawah 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan Malaysiakini bagi memastikan laman sesawang ini tidak bergantung kepada mana-mana sumber dana tunggal.

Soalan lazim